Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017

3 November 2017, 06 November hingga 10 November 2017 dan 13 November hingga 16 November 2017

104) PENGURUSAN SISA PEPEJAL

Tahun: 2017

Sesi: 3

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Datuk Seri Dr. Wan Azizah Binti Wan Ismail

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah status rancangan pengwujudan Pusat Pelupusan Sampah konsep teknologi hijau untuk semua PBT di Selangor?

    1. Berkaitan cadangan pelaksanaan projek Konsep Pembangunan Sumber Hijau dalam pengurusan pelupusan sisa pepejal, Kerajaan Negeri melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor Ke 30/2015 pada 17 September 2015 dan disahkan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor Ke 31/2015 pada 22 September 2015 telah bersetuju dengan perkara-perkara seperti berikut:

     

    • Bersetuju supaya Syarikat AE Carbon Capital Sdn. Bhd. melaksanakan projek perintis dalam skala lebih kecil bagi membolehkan pihak syarikat mengkaji serta membuat perubahan teknologi sekiranya perlu. Segala kos dan liabiliti dalam pelaksanaan projek ini akan ditanggung oleh pihak syarikat;

     

    • Secara dasarnya, cadangan pelaksanaan projek perintis akan dilaksanakan di dua (2) PBT iaitu Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dan Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) dengan syarat-syarat seperti berikut:

     

    • Syarikat AE Carbon Capital Sdn. Bhd. diminta memohon kelulusan secara terus dengan kedua-dua PBT berkenaan dan mematuhi keperluan teknikal termasuk keperluan Jabatan Alam Sekitar;
    • Sekiranya pengurusan PBT bersetuju untuk melaksanakan konsep ini, cadangan perlu mendapat persetujuan daripada Majlis Mesyuarat Penuh PBT masing-masing; dan

     

    • PBT berkaitan tidak terikat untuk melaksanakan konsep ini sekiranya PBT memutuskan bahawa ia tidak bersesuaian atau tidak mendatangkan kebaikan kepada PBT.

     

    Projek perintis ini telah dimulakan pada 1 September 2017 di kawasan Perusahaan Beranang, Selangor Darul Ehsan. Pada ketika ini, pihak syarikat sedang dalam proses memantap dan menambahbaik logistik untuk penerimaan kapasiti sepenuhnya sisa pepejal yang berjumlah 100 tan sehari seperti yang dijadualkan.

     

    Pada masa yang sama, Kerajaan Negeri melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor Darul Ehsan (MMKN) Ke 16/2016 yang diadakan pada 11 Mei 2016 dan disahkan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor Darul Ehsan (MMKN) Ke 17/2016 pada 18 Mei 2016 telah menimbang dan bersetuju supaya anak syarikat Kerajaan Negeri iaitu Worldwide Holdings Berhad (WHB) menerajui usaha untuk membangunkan dan melaksanakan Integrated Solid Waste Management Centre (ISWMC) bersebelahan dengan Tapak Pelupusan Sanitari Jeram (TPSJ) Kuala Selangor. ISWMC merupakan satu sistem pelupusan dan rawatan sisa pepejal menyeluruh yang merangkumi fasiliti atau kemudahan seperti berikut:

    • Loji Waste To Energy (WTE);
    • Loji Kitar Semula Domestik (MRF);
    • Loji Pencernaan Anerobik (AD);
    • Loji Kompos;
    • Loji Kitar Semula Sisa Binaan; dan
    • Pusat Penyelidikan & Pembangunan

    Usaha membangunkan ISWMC akan melibatkan empat (4) fasa seperti berikut:

    Fasa (1) – Pembangunan dan Pengujian Loji WTE (1)

    Fasa (2) – Pembinaan Loji MRF (1) dan Loji Kompos

    Fasa (3) – Pembangunan dan Pengujian Loji WTE (2)

    Fasa (4) – Pembinaan Loji MRF (2) dan Loji Pencernaan Anerobik (AD)

    Pada ketika ini, pihak WHB selaku peneraju ISWMC sedang dalam proses melaksanakan kerja-kerja berkaitan untuk Fasa (1) pembangunan yang meliputi perkara-perkara seperti berikut:

    • Pelaksanaan Kajian Kebolehlaksanaan (Feasibility Studies) untuk Loji WTE serta pelaksanaan Kajian Pengasingan Sumber Sampah (Segregation of Source Study);
    • Pemilihan rakan kongsi penyedia teknologi bagi pembangunan Loji WTE (1). Pemilihan rakan kongsi adalah berdasarkan penilaian dari aspek teknikal, kewangan, perundangan dan korporat;
    • Pembangunan kapasiti dan kemahiran melalui latihan, kursus serta lawatan untuk pembinaan modal insan bagi membentuk tenaga kerja pakar yang kompeten bagi pelaksanaan ISWMC kelak; dan
    • Perolehan kelulusan daripada agensi yang terlibat seperti Sustainable Energy Development Authority (SEDA) yang melibatkan permohonan kuota tenaga boleh diperbaharui dan tariff elektrik bagi tenaga yang dijana dari Loji WTE serta kelulusan Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk Laporan Kajian Impak Alam Sekitar (EIA).
  2. Adakah Kerajaan mempunyai rancangan penguatkuasaan pengasingan sisa domestik di sumber (separation at source)?

    Kerajaan Negeri sememangnya mempunyai perancangan bagi penguatkuasaan pengasingan sisa domestik di sumber melalui deraf Enakmen Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam dengan memasukkan input-input berkenaan pengasingan sisa seperti yang telah dipersetujui oleh semua PBT dalam deraf Enakmen tersebut. Antara input-input berkenaan termasuklah:

    • Hukuman sekiranya seseorang itu tidak mematuhi arahan berkaitan pengasingan sisa. Jika disabitkan kesalahan, mereka boleh dikenakan denda sebanyak lima (5) ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam (6) bulan atau kedua-duanya dan denda tambahan tidak melebihi lima (5) ratus ringgit bagi setiap satu hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan; atau
    • Hukuman sekiranya seseorang itu suatu pertubuhan perbadanan, jika disabitkan kesalahan mereka boleh didenda tidak melebihi sepuluh (10) ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu (1) tahun atau kedua-duanya dan denda tambahan tidak melebihi satu (1) ribu ringgit bagi setiap satu hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.
  3. Apakah rancangan pengurusan sisa komersial untuk memastikan tiada ketirisan yang mengakibatkan pencemaran?

    Bagi pengurusan sisa komersial, Kerajaan Negeri melalui PBT telah pun melaksanakan perkara-perkara seperti berikut:

    • Kutipan sisa pepejal di kawasan komersial seperti premis perniagaan dan restoran adalah melalui kontraktor kutipan yang dilantik yang mana kerja kutipan dilaksanakan dengan kekerapan tujuh (7) kali seminggu (setiap hari);
    • Bagi kutipan di pasaraya besar seperti pusat membeli belah, pengurusan sisa pepejal dilaksanakan oleh pihak pengurusan pusat membeli belah tersebut. PBT akan mensyaratkan pengurusan pusat membeli belah untuk melantik kontraktor kutipan sisa pepejal yang telah berdaftar dengan PBT sebelum kelulusan lesen atau pembaharuan lesen diluluskan oleh PBT berkaitan;
    • Mewajibkan penyediaan tong sampah kepada semua premis perniagaan mengikut spesifikasi yang ditetapkan oleh pihak PBT; dan
    • Mewajibkan pemilik premis menghantar laporan bulanan pembuangan sisa pepejal sebagai bukti pematuhan syarat.

Lampiran

Tiada Lampiran.