Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2022
25 Julai - 29 Julai 2022 dan 01 Ogos - 05 Ogos 2022 (Isnin - Jumaat dan Isnin - Jumaat)
198) PENGURUSAN SISA PEPEJAL
Tahun: 2022
Sesi: 2
Isu: Pendidikan
Adun: Y.B. Tuan Halimey Bin Abu Bakar
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah ada peruntukan khusus yang dikeluarkan bagi memberi pendidiklan atau pertandingan berkaitan pengurusan sisa pepejal di peringkat universiti atau sekolah?
Sisa pepejal merujuk kepada apa sahaja bahan buangan yang tidak dikehendaki oleh pemiliknya sama ada kerana rosak, lusuh atau telah sampai jangka hayatnya. Kewujudan pelbagai masalah berkaitan sisa pepejal telah menyebabkan pengurusan lestari sisa pepejal telah diberi keutamaan dalam usaha memastikan kesihatan awam terjamin, alam sekitar dilindungi dan dipulihara, sumber alam terpelihara serta kebersihan persekitaran dan nilai estetik terjaga. Namun, kejayaan utama pengurusan sisa pepejal bersepadu amat bergantung kepada sokongan dan penglibatan komuniti setempat secara aktif iaitu dengan mendekatkan diri atau mempunyai hubungan rapat dengan perancangan dan pelaksanaan sesuatu program berkaitan. Komuniti boleh berperanan antara lain dengan melaksanakan aktiviti kitar semula, pengkomposan serta pengasingan sisa pepejal di rumah sebagai salah satu langkah paling berkesan dalam usaha mengurangkan jumlah penjanaan dan penghantaran sisa pepejal ke tapak pelupusan.
Arus kemajuan yang berkembang pesat telah memberi banyak perubahan dan implikasi negatif kepada negara. Negeri Selangor juga masih lagi berdepan dengan isu-isu lama seperti pembuangan sampah dan amalan 3R (Reduce, Reuse and Recycle) yang masih rendah. Isu ini seharusnya dikendalikan oleh semua pihak di pelbagai peringkat termasuklah di peringkat institusi pendidikan. Susulan daripada itu, Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar, Perubahan Iklim dan Teknologi Hijau telah menyediakan peruntukan khusus bagi pelaksanaan program program berkaitan alam sekitar, termasuklah pengurusan sisa pepejal seperti Kempen 3R dan Kempen e-Waste. Program Geran Kecil Alam Sekitar dan Geran Kecil Teknologi Hijau adalah salah satu program tahunan Kerajaan Negeri bagi membantu komuniti di dalam organisasi dan persatuan untuk mengakses pembiayaan bagi projek-projek berkaitan penjagaan alam sekitar. Selain itu, peruntukan pembangunan di bawah Jawatankuasa Tetap ini jugal turut disediakan dan penyaluran dibuat terus kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) dan Jabatan/Agensi Negeri.
Kerajaan Negeri juga turut mempunyai peruntukan di bawah program Kutipan Caj Beg Plastik Negeri Selangor di mana hasil kutipan yang diperolehi oleh pihak PBT dan Kerajaan Negeri akan digunakan untuk membiayai program dan aktiviti berkaitan pemuliharaan alam sekitar.