Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2012
19 Mac - 23 Mac 2012 dan 26 Mac - 27 Mac 2012
161) PENGURUSAN SISA PEPEJAL
Tahun: 2012
Sesi: 1
Isu: Kerajaan Tempatan
Adun: Y.B. Tuan Lee Kim Sin
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah punca masalah kegagalan kutipan sisa pepejal di PBT-PBT pada Nov & Dis 2011?
Kerajaan Negeri melalui PBT mengalami masalah kegagalan sisa pepejal pada bulan November dan Disember 2011 disebabkan oleh tindakan pihak AFSB yang telah menamatkan sepenuhnya kerja-kerja kutipan sisa pepejal secara tibatiba berkuat kuasa pada 15 Oktober 2011. Oleh yang demikian, semua PBT mengalami masalah dalam melakukan proses pelantikan semula kontraktor berserta dengan jumlah kontrak yang berbeza semasa di bawah kendalian pihak AFSB. Masalah juga berpunca daripada kontraktor yang dilantik apabila terpaksa melakukan pembahagian kerja semula mengikut kepada jumlah kos yang ditawarkan oleh PBT.
-
Apakah rancangan Kerajaan dalam menyelesaikan masalah sampah di PBT- PBT?
Kerajaan Negeri sentiasa mencari jalan penyelesaian bagi mengatasi masalah sampah yang dihadapi oleh PBT. Sehubungan dengan itu, Kerajaan Negeri telah mengarahkan supaya dilaksanakan pemantauan dan penguatkuasaan yang tegas bagi memastikan kontraktor yang dilantik menjalankan tugas dengan sempurna. Selain daripada itu, Kerajaan Negeri telah melancarkan Talian Hotline Aduan Sampah (1-800-88-2824) yang diselaraskan oleh Bahagian Korporat SUK Selangor bagi memudahkan semua pihak untuk membuat sebarang aduan berhubung dengan masalah kutipan sisa pepejal dan pembersihan awam yang dihadapi.
-
Adakah Kerajaan mempunyai rancangan kitar semula sisa pepejal PBT?
Kerajaan Negeri melalui semua PBT telah mengadakan pelbagai program bagi mengatasi masalah sampah yang semakin meningkat seperti program kitar semula. Di antara program yang telah dilaksanakan oleh PBT adalah dengan mengadakan ceramah berkaitan kitar semula, menempatkan tong kitar semula di setiap tempat pengumpulan bahan kitar semula. Selain daripada itu, Kerajaan Negeri telah melancarkan program Hari Tanpa Beg Plastik pada setiap hari Sabtu bagi mengurangkan penggunaan beg plastik di kalangan pengguna dan langkah ini telah diakui keberkesanannya oleh Kerajaan Persekutuan.