Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2009
09 November hingga 13 November 2009 dan 16 November hingga 17 November 2009
220) PENGURUSAN SISA PEJAL PLASTIK
Tahun: 2009
Sesi: 3
Isu: Alam Sekitar
Adun: Y.B. Tuan Lee Kim Sin
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah dasar kerajaan Selangor dalam penggunaan beg plastik dan pembungkusan polisterin?
Kerajaan Negeri amat prihatin kepada pembangunan mampan. Oleh sebab itu, Kerajaan Negeri telah mula mengambil langkah bagi menggalakkan pengurangan bahan-bahan yang menjejaskan kualiti alam sekitar. Melalui kempen ‘Hari Tanpa Beg Plastik’, Kerajaan Negeri telah mengisytiharkan setiap hari Sabtu sebagai hari dimana pengguna-pengguna dikenakan bayaran 20 sen untuk setiap beg plastik yang diminta. Ini bertujuan untuk menggalakkan tabiat membawa beg sendiri semasa membeli belah. Kami berharap dalam masa yang terdekat, penggunaan beg sendiri akan menjadi amalan biasa rakyat Selangor, dan bilangan Hari Tanpa Beg Plastik dalam setiap minggu dapat ditambah lagi.
Manakala bagi pembungkusan polisterin, pihak kerajaan juga akan menggunakan kaedah yang sama sebagai langkah pengurangan. Kerajaan Negeri juga akan mengkaji cara yang sesuai bagi meningkatkan penggunaan alternatif kepada pembungkusan polisterin yang diperbuat dari bahan yang tidak memudaratkan alam sekitar.
-
Apakah rancangan (road-map) kerajaan dalam mengurangkan penggunaan beg plastik dan bahan berpolisterin?
Setakat ini, Kerajaan Negeri telah mengadakan beberapa siri perbincangan dengan beberapa pengusaha-pengusaha pasaraya besar, kompleks membelibelah serta peruncit mengenai kaedah-kaedah bagi mengurangkan penggunaan beg plastik di Negeri Selangor. Hasil daripada perbincangan tersebut, kesemua ahli mesyuarat telah bersetuju untuk menganjurkan Kempen ‘Hari Tanpa Beg Plastik Di Negeri Selangor’ pada setiap hari Sabtu dan telah berkuat kuasa pada 9 Januari 2010.
-
Apakah pencapaian kerajaan dalam usaha pengurangan sisa pejal beg plastik dan bahan polisterin?
Kerajaan Negeri berharap menerusi kempen ini, sebanyak 20% penggunaan beg plastik dapat dikurangkan pada setiap hari sabtu.