Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2022

25 Julai - 29 Julai 2022 dan 01 Ogos - 05 Ogos 2022 (Isnin - Jumaat dan Isnin - Jumaat)

151) PENGURUSAN SAMPAH YANG MAKIN TERUK

Tahun: 2022

Sesi: 2

Isu: Kerajaan Tempatan

Adun: Y.B. Tuan Mohd Fakhrulrazi Bin Mohd Mokhtar

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Adakah Kerajaan Negeri sedar isu pengurusan sampah yang makin teruk menyebabkan imej dan nama baik Negeri Selangor turut terjejas di mata rakyat?

    Kerajaan Negeri sentiasa mengambil perhatian akan isu-isu yang timbul dalam pengurusan sisa pepejal. Justeru, Kerajaan Negeri melalui MMKN Ke 7/2016 yang diadakan pada 24 Februari 2016 dan disahkan oleh MMKN Ke 8/2016 pada 2 Mac 2016 telah bersetuju untuk mewujudkan PMC milikan Kerajaan Negeri sebagai pengurus bagi pelaksanaan perkhidmatan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam secara bersepadu. KDEB Waste Management Sdn. Bhd. (KDEBWM) telah dilantik sebagai PMC untuk menguruskan kutipan sampah domestik dan pembersihan awam.

    Bagi memastikan mutu penyampaian perkhidmatan kepada rakyat sentiasa konsisten, Kerajaan Negeri melalui Mesyuarat Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan Negeri Selangor Bil. 3/2018 pada 24 September 2018 telah bersetuju agar satu kajian dilaksanakan bagi menilai prestasi pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam di kawasan PBT Negeri Selangor. Kajian tersebut dikenali sebagai Kaji Selidik Penilaian (Tracking Study) Untuk Penambahbaikan Prestasi PBT Negeri Selangor yang turut merangkumi pengurusan sisa pepejal. Kaji selidik ini telah dijalankan bermula pada 14 Februari 2020 dan tamat pada 5 Jun 2020 dengan melibatkan seramai 9,618 responden di seluruh kawasan PBT Negeri Selangor. Hasil daripada kaji selidik tersebut, didapati bahawa pandangan responden terhadap prestasi KDEBWM adalah—

    1. Tahap pengetahuan yang rendah terhadap KDEBWM, namun prestasi KDEBWM pada tahap yang memuaskan iaitu pada tahap 77%;

     

    1. Empat (4) perkhidmatan utama KDEBWM yang diukur iaitu perkhidmatan kutipan sampah domestik, kutipan sampah pukal, pemotongan rumput dan pembersihan parit; dan

     

    1. Prestasi kutipan sampah domestik dan pemotongan rumput memuaskan dengan lebih 70% berpuas hati. Namun bagi perkhidmatan kutipan sampah pukal dan pembersihan perparitan, prestasinya agak rendah dengan hanya separuh berpuas hati ekoran tahap pengetahuan terhadap jadual juga adalah rendah.

    Susulan daripada dapatan kajian yang dilaporkan, antara keputusan MMKN Ke 33/2020 yang diadakan pada 9 September 2020 dan telah disahkan oleh MMKN Ke 34/2020 pada 30 September 2020 adalah Kerajaan Negeri bersetuju supaya semua PBT dan KDEBWM memperbaiki kelemahan dan mempertimbangkan cadangan-cadangan yang dikemukakan dalam laporan penemuan kaji selidik tersebut antaranya seperti:

    A. Cadangan kepada PBT Negeri Selangor

    1. Penyelesaian kepada masalah penyelenggaraan infrastruktur awam seperti jalan raya, lampu jalan, lampu isyarat, sistem perparitan/longkang, Dewan Orang Ramai dan taman permaian awam yang memerlukan seliaan yang berpanjangan;
    2. Meningkatkan tahap pengetahuan pembahagian tanggungjawab ke atas prasarana di PBT kepada pengguna dengan mempamerkan agensi-agensi yang terlibat dalam pngurusan prasarana tertentu atau di kawasan tertentu;
    3. Menggunakan sepenuhnya platform media sosial dan internet sebagai platform sebaran am/maklumat yang dikemaskini bagi memaklumkan perkhidmatan yang disalurkan dan meingkatkan lagi tahap interaksi/penglibatan antara penduduk dan PBT;
    4. Memberi ruang pelaksanaan semakan cukai pintu supaya pengguna jelas tentang aliran perbelanjaan kutipan cukai taksiran;

    B. Cadangan kepada KDEBWM

    1. Menggiatkan iklan di media sosial mengenai KDEBWM sebagai badan pelaksana kepada pengurusan sisa pepejal di Negeri Selangor;
    2. Meningkatkan tahap pengetahuan terhadap perkhidmatan yang dibekalkan oleh KDEBWM kepada pengguna dan perubahan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam yang berlaku di kawasan PBT masing-masing, kewujudan lori kompaktor KDEBWM dan pemakluman jadual-jadual perkhidmatan selaiin daripada kutipan kediaman; dan
    3. Pihak KDEBWM perlu memastikan bahawa jadual pembersihan bukan sahaja dipamerkan tetapi turut dihebahkan menerusi media tempatan terutama media sosial.

    Selain itu, KDEBWM juga diminta untuk meningkatkan dan membaiki respons aduan rakyat, di mana pemakluman penyelesaian bagi setiap aduan perlu dibaiki.

  2. Adakah wujud isu sabotaj sampah dan sampai bilakah rakyat perlu menghadap isu masalah sampah yang tidak terurus ini?

    Setakat ini tiada kejadian sabotaj dilaporkan kepada pihak Kerajaan Negeri. Namun bagi mengelakkan perkara tersebut berlaku, pihak PBT masing-masing mempunyai pasukan pemantau yang sentiasa menjalankan pemantauan di lapangan secara berkala di kawasan PBT masing-masing bagi mengelakkan kejadian longgakan sampah di tepi jalan bukan sahaja dalam kawasan operasi PBT malah di kawasan-kawasan terpencil. Selain itu, bagi memastikan skop kerja kutipan sampah dan pembersihan awam dilaksanakan mengikut jadual, kontraktor boleh dikenakan Notis Tindakan Pembetulan (NTP) oleh PBT. Sekiranya didapati NTP berkenaan terbukti atas kegagalan kontraktor, maka kontraktor akan dikenakan denda antara RM250 sehingga RM500 atau lebih bagi setiap kegagalan dan bayaran bulanan kepada KDEBWM akan ditolak oleh PBT . Setiap NTP yang dikenakan kepada kontraktor perlu mendapat pengesahan daripada pihak PBT dan KDEBWM

Lampiran

Tiada Lampiran.