Mesyuarat Kedua (Bajet) Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021

26 November 2021, 29 November - 30 November 2021, 1 Disember - 3 Disember 2021 dan 6 Disember - 9 Disember 2021

50) PENGURUSAN SAMPAH DOMESTIK DI MERU

Tahun: 2021

Sesi: 2

Isu: Kerajaan Tempatan

Adun: Y.B. Tuan Mohd Fakhrulrazi Bin Mohd Mokhtar

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Berapakah anggaran sampah yang dapat diuruskan oleh KDEB dan tidak dapat dikutip oleh KDEB dalam sehari di Meru berdasarkan kepada bilangan lori dan kontraktor KDEB di Meru?

    Secara puratanya, jumlah sampah yang diuruskan oleh KDEB Waste Management di Meru adalah sebanyak 56 tan sehari. Bagi tahun 2021, jumlah sampah yang tertinggi yang direkodkan di kawasan Meru adalah 66 tan sehari manakala yang terendah adalah 45 tan sehari.  Meru adalah antara kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi di Klang dengan pembangunan bercampur yang pesat meliputi kawasan kampung, taman-taman perumahan yang dibangunkan secara pocket development, kawasan perindustrian, komersil, industri dan lain-lain. Berdasarkan pengiraan inventori yang dilaksanakan oleh KDEBWM pada awal tahun 2021, sebanyak 32,508 unit pintu terdapat di Meru yang merangkumi rumah, kedai, strata, IKS dan institusi.  Ini adalah antara faktor yang menyumbang kepada penjanaan sampah yang tinggi di Meru.

     

    Bagi menguruskan kutipan sampah di Meru, sebanyak empat (4) kontraktor telah dilantik oleh KDEB Waste Management.  Terdapat empat (4) unit kompaktor digunakan di Meru di mana setiap kontraktor masing – masing menggunakan satu (1) lori kompaktor setiap hari di zon perkhidmatan masing-masing.  Adakalanya kontraktor lantikan KDEB Waste Management terpaksa melakukan trip tambahan khususnya pada hari Isnin dan Selasa. KDEB Waste Management dengan pemantauan Majlis Perbandaran Klang (MPK) perlu memastikan semua sampah dikutip mengikut jadual yang telah ditetapkan.

  2. Ada berapa operator sampah KDEB dan zon operasi mereka di Meru?

    KDEB Waste Management telah melantik empat (4) kontraktor di kawasan Meru yang setiap satunya beroperasi di empat (4) zon perkhidmatan yang melibatkan kawasan-kawasan seperti ringkasan berikut:

     

    Zon Kawasan
    KDK27 (Pekan Meru sebelah Kanan) Kawasan Taman Meru Utama, Taman Meru iii, Taman Daya Meru, Dan Kawasan Sekitar.
    KDK28 (Pekan Meru Sebelah Kiri) Kawasan Taman Meru iv (Jalan Meru Setia, Jalan Meru Indah), Taman Sri Puteri, Taman Berkat, Taman Dato Bandar Meru.
    KDK29 Kawasan Taman Saujana Meru, Taman Kiai Ridzuan, Taman Harumanis, Kampung Haji Mohd Shariff.
    KDK30 Kawasan Bukit Kapar, Kampung Bukit Kapar, Taman Desa Permai (Jalan Meranti Bunga, Jalan Meranti Putih), Jalan Iskandar, Jalan Cerakah
  3. Adakah pihak MPK mempunyai visi dan iktizam untuk mengindahkan Meru dan menjadikan Meru zon bebas sampah?

    Majlis Perbandaran Klang telah merangka dan menyediakan cadangan untuk memperindahkan keseluruhan kawasan Pentadbiran Majlis Perbandaran Klang terutama Kawasan Meru selaras dengan Pelan Induk Landskap, Majlis Perbandaran Klang secara berperingkat.

     

    Antara cadangan pengindahan yang dirancang adalah seperti berikut;

    • Landskap persimpangan utama pekan Meru termasuk landskap dan ‘Entrance Signage’ di dalam peruntukan Majlis tahun 2022.
    • Menyediakan kemudahan sukan dan rekreasi di Jalan Korporat, Meru sebagai Kawasan lapang dan rekreasi. Permohonan peruntukan telah dikemukakan ke Kementerian Belia dan Sukan untuk semakan dan kelulusan.
    • Pengindahan Landskap jalan-jalan utama / protokol dengan ‘entrance statement’ pintu masuk ke daerah Klang (Jalan Meru – Puncak Alam) Program pengindahan landskap dengan penanaman pokok mengikut kesesuaian dan keperluan.

     

    Selain itu, pihak majlis juga ada melaksanakan program-program di kawasan Meru seperti:

    1. Menambah sebanyak 40 unit serta menggantikan 40 unit tong komunal yang rosak dan uzur di kawasan kampung, juga menggantikan 20 unit tong komunal di flat-flat perumahan dan bangunan kerajaan dan merancang untuk membina slab tapak tong sampah berpusat untuk tong komunal;
    2. Mengawal dan Menyusun semula tong-tong kitar semula daripada pihak swasta seperti MAKNA, CRC Box dan lain-lain;
    3. Pemberian notis kepada premis perniagaan untuk mewajibkan premis perniagaan untuk meletakkan tong sampah MGB 240L dan juga meletakkan tong sampah MGB di kawasan rumah atas strata kedai;
    4. Memantau penggunaan beg plastic sampah bagi aktiviti perniagaan untuk sisa sampah penjaja;
    5. Melantik panel syarikat untuk mengawal pengurusan sisa industri. Sebanyak 43 syarikat panel untuk pengurusan sisa kilang dan 11 panel telah dilantik untuk pengurusan sisa binaan;
    6. Membuat promosi dan hebahan bagi penggunaan talian i-Clean bagi aduan dan pelupusan sampah pukal, program kebersihan, mengadakan program kitar semula dan program gotong royong Bersama komuniti dan Ahli Majlis, pertandingan pembersihan awam dan kutipan domestic antara zon-zon bagi meningkatkan komitmen pihak subkontraktor KDEB;
    7. Membina Pusat Kitar Semula berkonsepkan drop in; dan
    8. Menubuhkan anggota pemantau daripada komuniti yang dikenali sebagai ‘Squad Green Volunteers’.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.