Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2022

25 Julai - 29 Julai 2022 dan 01 Ogos - 05 Ogos 2022 (Isnin - Jumaat dan Isnin - Jumaat)

134) PENGURUSAN SAMPAH DI SEPANJANG JALAN HULU LANGAT

Tahun: 2022

Sesi: 2

Isu: Kerajaan Tempatan

Adun: Y.B. Tuan Edry Faizal Bin Eddy Yusof

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah usaha kerajaan untuk menyelesaikan masalah lambakan sampah (tempat pembuangan sampah) sepanjang jalan Hulu Langat?

    Kerajaan Negeri melalui Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) telah mengambil maklum berkaitan masalah sampah di Hulu Langat. Perkhidmatan yang diberikan oleh MPKj di kawasan tersebut dan kawasan-kawasan kampung tradisi di Hulu Langat adalah secara percuma. Namun tong-tong yang dibekalkan ini tidak digunakan secara berkesan oleh peniaga-peniaga dan pengendali pusat penginapan dari resort di sekitar Hulu Langat. Oleh yang demikian, pihak MPKj melalui pejabat Yang Berhormat Ahli Dewan Negeri Hulu Langat akan mengadakan perbincangan bersama Ketua Kampung untuk mengalihkan kesemua 54 tong di sepanjang jalan Hulu Langat untuk diletakkan di kawasan kampung masing-masing. Perkara ini telah dilaksanakan di kawasan Berangan dan Jalan Cheras dan telah menerima maklum balas yang positif dan memberangsangkan.

    Secara dasarnya, kerjasama yang baik dan erat antara penduduk dan PBT adalah sangat dituntut supaya proses pengurusan sampah dapat berjalan dengan teratur.

  2. Apakah kerajaan berpuas hati dengan alasan KDEB Waste Management bahawa mereka kekurangan lori dan kemampuan untuk mengutip sampah yang banyak?

    Kerajaan Negeri telah mengambil maklum akan isu ini dan mendapati bahawa di sekitar jalan utama Hulu Langat adalah merupakan kawasan tumpuan orang awam berikutan banyak aktiviti pelancongan dan aktiviti perniagaan yang terdapat di kawasan tersebut seperti resort, restoran, gerai makanan dan gerai buah-buahan yang merancakkan ekonomi setempat. Namun, aktiviti-aktiviti ini telah menyumbang penjanaan kuantiti sampah yang tinggi seperti sisa perniagaan, sisa dapur, sisa makanan dan sisa buah-buahan yang dibuang secara harian. KDEB Waste Management Sdn. Bhd. (KDEBWM) telah menyediakan sebuah lori kompaktor khusus untuk membuat kutipan di jalan utama tersebut dan kontraktor menjalankan kutipan sampah pada setiap hari di sebelah pagi melibatkan sampah daripada 36 buah tong sampah berpusat untuk dilupuskan di Tapak Pelupusan Tanjung Dua Belas, Kuala Langat. Walau bagaimanapun, masih terdapat sampah baharu pada waktu tengah hari selepas sampah selesai dikutip.

    Perkara ini telah dibincangkan di antara pihak MPKj dan KDEBWM dan didapati bahawa terdapat keperluan tambahan trip kutipan pada sebelah pagi dan tengah hari bagi menyelesaikan isu tersebut. Namun, ia akan melibatkan kos yang besar dan PBT tidak mempunyai peruntukan tambahan untuk menampung keperluan tambahan tersebut. Susulan kekangan tersebut, KDEBWM membantu MPKj dengan menghantar sebanyak dua (2) buah lori kompaktor selepas selesai melaksanakan kutipan di kawasan perumahan sekitar Hulu Langat dan inisiatif ini membantu pengurangan sampah walaupun tidak dapat diselesaikan sepenuhnya. Sehubungan itu, pihak MPKj disarankan untuk merancang jadual kutipan yang terbaik dan dapat menyediakan peruntukan yang sewajarnya pada masa akan datang.

Lampiran

Tiada Lampiran.