Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015

30 Mac - 3 April 2015 dan 6 April - 9 April 2015

152) PENGURUSAN SAMPAH DI SELANGOR

Tahun: 2015

Sesi: 1

Isu: Kerajaan Tempatan

Adun: Y.B. Tuan Razaly Bin Hassan

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Adakah kerajaan mempunyai rancangan untuk membuat kajian mengenai penggunaan teknologi tinggi (incinerator) yang mesra alam dan dapat menukarkan sampah kepada bahan produk yang berguna seperti menjadi baja kompos atau plastik atau sebagainya

    Kerajaan Negeri telah menjalankan feasibility study berhubung pembangunan loji tenaga sisa di Negeri Selangor. Kajian ini dilaksanakan memandangkan tapak pelupusan sedia ada iaitu di Jeram akan mencapai tahap maksima pada 2023 dengan penerimaan sisa pepejal sebanyak 3,000 tan sehari. Mengikut feasibility study yang telah dijalankan tersebut, loji tenaga sisa ini boleh dibangunkan di Negeri Selangor dengan menggunakan sistem stoker ataupun jeriji bergerak. Sistem ini mampu melupuskan sisa pepejal tanpa membuat sebarang pengasingan. Di samping itu juga ia mampu menjana tenaga elektrik berkapasiti 15MWatt. Sistem ini mampu mengurangkan jumlah sisa sebanyak 90% di mana hanya 10% akan dilupuskan ke tapak pelupusan sanitari. Sementara itu, sistem lain seperti Loji Kitar Semula (MRF) dan baja kompos telah pun dilaksanakan. Namun begitu, boleh dikatakan hanya 5% ke 10% sisa pepejal sahaja dapat dikurangkan melalui proses tersebut. Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri masih belum memutuskan untuk membina incinerator.

  2. Jika tiada, apakah penghalang dan langkah-langkah alternatif?

    Antara langkah-langkah alternatif yang boleh dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri adalah mendidik masyarakat supaya lebih bertanggungjawab dalam perihal pengurusan sisa pepejal ini. Sisa yang dihasilkan dari rumah perlu diuruskan dengan baik agar pengurusan pada peringkat yang lebih tinggi menjadi mudah dan berkesan. Oleh kerana kos pengurusan sisa pepejal semakin meningkat, maka program kitar semula dilaksanakan bagi mengurangkan kuantiti sisa pepejal yang dibuang. Kaedah pengurangan penggunaan (reduce), penggunaan semula (reuse) dan kitar semula (recycle) atau lebih dikenal dengan kaedah 3R merupakan teras pertama dalam dasar pengurusan sisa pepejal. 3R juga merupakan pendekatan terbaik dalam perancangan sisa pepejal yang efektif. Konsep 3R ialah mengurangkan kuantiti penghasilan sisa pepejal, menggunakan semula barang dan kitar semula sisa pepejal menjadi satu bentuk produk baru. 3R berupaya mengurangkan penjanaan sampah pada punca. Berbanding pengurangan dan penggunaan semula sisa pepejal, kitar semula merupakan aktiviti yang lebih diberi penekanan disebabkan manfaat yang dapat diperoleh melaluinya. Walau bagaimanapun, kitar semula di Selangor masih belum berada di tahap yang membanggakan kerana faktor lemahnya sikap kebertanggungjawaban terhadap alam sekitar dan isu persekitaran yang lain di kalangan rakyat. Hal ini dapat dilihat apabila kebanyakan Kempen Alam Sekitar yang diadakan tidak mendapat sambutan yang menggalakkan dari pihak awam.

    Oleh yang demikian, bagi mengurangkan penghasilan sisa pepejal, kempen kesedaran untuk mendidik dan mendisiplinkan masyarakat harus dipertingkatkan demi menggalakkan pengasingan sampah di peringkat sumber (separation at source), membendung gejala membuang sampah merata-rata dan mengurangkan penggunaan bekas berasaskan polisterina serta beg plastik. Kerajaan Negeri akan melakukan kempen secara besar-besaran dan berkesan untuk mengubah paradigma bahawa tanggungjawab dan masalah sisa pepejal adalah tanggungjawab bersama bukan hanya kerajaan atau lebih bersifat dari masyarakat kepada kerajaan (bottom-up). Apabila pihak awam mula melibatkan diri dalam aktiviti berkaitan kitar semula, ini merupakan indikator terbaik bagi Kerajaan Negeri untuk mengurangkan pembuangan sisa pepejal ke tapak pelupusan.

    Untuk itu adalah penting kempen kesedaran terhadap pemeliharaan alam sekitar dilaksanakan secara berterusan. Kerajaan Negeri yakin pengurusan sisa pepejal yang cekap dan berkesan mampu membawa sesebuah masyarakat ke arah pembangunan lestari.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.