Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2018

3 September 2018 hingga 7 September 2018

179) PENGURUSAN SAMPAH DI KAWASAN KAMPUNG

Tahun: 2018

Sesi: 2

Isu: Pembangunan Kampung

Adun: Y.B. Puan Juwairiya Binti Zulkifli

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah langkah dan mekanisme baru Kerajaan Negeri dalam menangani isu dan permasalahan sampah di kawasan kampung-kampung?

    Kampung tradisi, bagan dan tempat-tempat yang tidak terletak di dalam kawasan operasi PBT secara prinsipnya tidak diberi perkhidmatan kutipan sampah dan pengurusan sampah. Namun, Kerajaan Negeri melalui PBT sentiasa mengambil berat tentang pengurusan sampah di kampung-kampung luar kawasan operasi PBT khususnya kampung yang terletak di kawasan bandar.

    Walau bagaimanapun, PBT yang berkemampuan seperti MBSA dan MBPJ telah mengambil inisiatif untuk mengatasi masalah sampah di kawasan pentadbiran masing-masing dengan melantik kontraktor kutipan sampah di kampung-kampung untuk melaksanakan kutipan sampah dari rumah ke rumah.

    Pada masa ini, mekanisme yang digunakan oleh PBT lain adalah dengan menempatkan tong sampah berpusat (diletakkan di lokasi khas di tepi jalan utama) atau leach bin bersaiz 660 liter bagi memudahkan kutipan sampah oleh kontraktor ketika melalui jalan tersebut. Selain itu, spesifikasi kerja kontraktor kutipan sampah telah ditambah baik dengan mensyaratkan setiap kontraktor memungut dan melupuskan sampah sepanjang laluan kampung.

    Selain itu, mekanisme baru yang diambil oleh Kerajaan Negeri dalam memberikan perkhidmatan pengurusan sisa pepejal yang terbaik untuk rakyat adalah memfokuskan penstrukturan semula pengurusan sisa pepejal bagi meningkatkan kecekapan operasi dengan memperkenalkan KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM) sebagai Project Management Company (PMC) yang bertanggungjawab bagi menguruskan pelaksanaan perkhidmatan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam di Negeri Selangor termasuklah di kampung  tradisi di kawasan PBT yang terlibat. Setelah kejayaan pelaksanaan perkhidmatan ini dapat dilihat di Majlis Perbandaran Klang (MPK) pada tahun 2017, model PMC ini telah diperluaskan pada tahun 2018 ke Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) menggunakan modus operandi yang sama selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri untuk mewujudkan sistem pengurusan sisa pepejal yang efektif dan efisyen ke arah membangunkan Negeri Selangor sebagai sebuah negeri yang berkonsepkan Smart City dan Smart State.

  2. Adakah Kerajaan Negeri bercadang untuk menambahkan peruntukan pengurusan sampah dan sisa pepejal menggunakan mekanisma dan teknologi baru?

    Setakat ini, Kerajaan Negeri tidak menyediakan peruntukan kepada PBT dalam menguruskan sampah kampung, akan tetapi Kerajaan Negeri telah memberikan bantuan kewangan dengan menyalurkan sebanyak RM5 juta secara one off kepada PBT yang bertaraf Majlis Daerah pada tahun 2017. Oleh demikian, Kerajaan Negeri akan merancang untuk meneruskan bantuan kewangan tersebut sehingga tahun 2019 kepada PBT berstatus daerah yang memerlukan untuk menguruskan sampah di kawasan kampung.

    Bagi teknologi baru pula, pihak KDEBWM telah membangunkan aplikasi i-Clean Selangor bagi telefon pintar untuk memudahkan penduduk di Selangor mengemukakan aduan pembersihan berkaitan dan pembersihan awam di seluruh Negeri Selangor kepada Pengurusan KDEBWM.

    Selain itu, Kerajaan Negeri melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Ke 16/2016 yang diadakan pada 11 Mei 2016 dan disahkan oleh MMKN Ke 17/2016 pada 18 Mei 2016 telah menimbang dan bersetuju supaya anak syarikat Kerajaan Negeri iaitu Worldwide Holdings Berhad (WHB) menerajui usaha untuk membangunkan dan melaksanakan Integrated Solid Waste Management Centre (ISWMC) bersebelahan dengan Tapak Pelupusan Sanitari Jeram (TPSJ) Kuala Selangor.

    Terkini, dalam usaha untuk mempercepatkan pelaksanaan projek ISWMC, MMKN Ke 39/2017 yang diadakan pada 6 Disember 2017 dan disahkan oleh MMKN Ke 40/2017 pada 13 Disember 2017 telah bersetuju meluluskan cadangan pembinaan Loji Waste To Energy (WTE) 1 (yang merupakan Fasa 1 daripada keseluruhan sistem ISWMC) di atas sebahagian tanah seluar 25 ekar di Tapak Pelupusan Sanitari Jeram (TPSJ) 2, Kuala Selangor.

    Untuk makluman, ISWMC adalah satu sistem pelupusan dan rawatan sisa pepejal yang menyeluruh merangkumi fasiliti atau kemudahan seperti berikut:

    • Loji Waste to Energy (WTE);
    • Loji Kitar Semula;
    • Loji Pencernaan Anerobik (AD);
    • Loji Kompos;
    • Loji Kitar Semula Sisa Binaan; dan
    • Pusat Penyelidikan & Pembangunan

Lampiran

Tiada Lampiran.