Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017

24 Julai 2017 hingga 25 Julai 2017

215) PENGURUSAN SAMPAH DI KAMPUNG TRADISI

Tahun: 2017

Sesi: 2

Isu: Pembangunan Kampung

Adun: Y.B. Dato' Haji Amiruddin Bin Setro

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah inisiatif Kerajaan Negeri bagi menguruskan pembuangan sampah di kampung tradisi?

    Kerajaan Negeri Selangor sentiasa mengambil berat tentang pengurusan sampah di kawasan Kampung Tradisi, Kampung Baru, Kampung Bagan/ Tersusun. Pengurusan sampah di kawasan ini seharusnya diuruskan oleh penduduk kampung masing-masing kerana kawasan ini tidak terletak di dalam kawasan operasi PBT dan tidak disediakan perkhidmatan kutipan sampah oleh PBT.

    Walau bagaimanapun, dalam memberikan perkhidmatan pengurusan sampah yang terbaik untuk rakyat pada masa ini, PBT yang berkemampuan seperti MBSA dan MBPJ telah mengambil inisiatif untuk mengatasi masalah sampah di kawasan pentadbiran masing-masing dengan melantik kontraktor kutipan sampah di kampung-kampung berkaitan dengan membuat kutipan sampah dari rumah ke rumah. Selain itu juga, PBT seperti MPKj turut menempatkan tong sampah berpusat yang diletakkan di lokasi khas di tepi jalan utama bagi memudahkan kutipan sampah oleh kontraktor semasa melalui jalan tersebut.

    Manakala bagi PBT yang tidak mempunyai peruntukan yang mencukupi, Kerajaan Negeri Selangor akan menyalurkan peruntukan kewangan kepada PBT berkaitan bagi melaksanakan kerja-kerja kutipan sampah di kawasan kampung dan menyediakan tong sampah bersaiz 660 liter di lokasi-lokasi yang telah ditetapkan.

    Pada masa yang sama, Kerajaan Negeri sedang dalam usaha untuk penstrukturan semula pengurusan sisa pepejal dengan meningkatkan kecekapan operasi kutipan sampah dan melantik KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM) sebagai Project Management Company (PMC) yang bertanggungjawab sebagai pengurus bagi pelaksanaan perkhidmatan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam di Negeri Selangor, termasuklah di kawasan-kawasan kampung tradisi di kawasan PBT yang terlibat.

    Sebagai permulaan, Majlis Perbandaran Klang (MPK) telah dipilih sebagai projek perintis (pilot project) pada tahun 2014 bagi projek penstrukturan semula pengurusan sisa pepejal Negeri Selangor. Setelah kejayaan pelaksanaan perkhidmatan ini dapat dilihat di MPK, model PMC ini kini telah diperluaskan ke Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) menggunakan modus operandi yang sama.

    Seterusnya, Kerajaan Negeri turut bercadang untuk memperluaskan perkhidmatan ini ke semua PBT Negeri Selangor pada masa hadapan selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri untuk mewujudkan sistem pengurusan sisa pepejal yang efektif dan efisyen ke arah membangunkan Negeri Selangor sebagai sebuah negeri yang berkonsepkan Smart City dan Smart State.

  2. Nyatakan kesalahan pengurusan sampah di kampong tradisi yang boleh dikenakan tindakan?

    Antara kesalahan pengurusan sampah di kampung tradisi yang boleh dikenakan tindakan melalui Undang-Undang Kecil Pemungutan, Pembuangan, Dan Pelupusan Sampah Sarap Negeri Selangor (2007) adalah seperti berikut:-

    • Meletakkan sampah sarap di atas jalan;
    • Sampah tidak dimasukkan dalam beg plastik khas; dan
      Pembuangan sampah di lokasi yang tidak dibenarkan / haram.

Lampiran

Tiada Lampiran.