Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

182) PENGURUSAN SAMPAH DI KAMPUNG

Tahun: 2024

Sesi: 1

Isu: Kerajaan Tempatan

Adun: Y.B. Dato' Dr Ahmad Yunus Bin Hairi

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Adakah sebarang penambahbaikan terhadap sistem pengurusan sampah di kampung?

    Pengurusan sampah di kampung adalah di bawah urusan pihak Pejabat Daerah Dan Tanah (PDT) melalui Bahagian Pembangunan Luar Bandar Bandar. Namun, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) turut bekerjasama dan menambah baik pengurusan sampah tersebut antaranya seperti berikut:

     

    1. MBSA dalam peringkat perancangan untuk melaksanakan kaedah kutipan sampah domestik di kawasan kampung tradisi daripada pintu ke pintu di setiap premis dengan menggunakan kenderaan trisikal. Hebahan, pemakluman dan penguatkuasaan akan dijalankan kepada semua penduduk melalui pemasangan banner, pemakluman melalui Majlis Perwakilan Penduduk (MPP), Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Ahli Jawatankuasa (AJK) masjid / surau serta edaran notis kepada premis perniagaan mengenai kaedah kutipan sampah domestik dari pintu ke pintu. Semua premis perlu menyediakan tong sampah yang standard seperti ketetapan pihak MBSA dan diletakkan di hadapan premis bagi memudahkan kutipan sampah. Semua tong sampah berpusat yang terdapat di lorong / jalan utama kampung akan dihapuskan secara berperingkat dan membuat pengindahan landskap di tapak asal tong sampah berpusat bagi mengelakkan pembuangan sampah di lokasi yang berkenaan;

     

    1. MBPJ melaksanakan perkhidmatan kutipan sisa domestik secara kutipan pintu ke pintu mengikut jadual yang ditetapkan serta membekalkan satu (1) unit tong sampah MGB 120 Liter kepada setiap rumah;

     

    1. MBSJ melaksanakan kutipan sampah secara tong berpusat di kampung-kampung. Tapak tong sampah berpusat akan dibina di lokasi-lokasi yang sesuai dan selamat. Kutipan sampah tong berpusat ini adalah termasuk sampah domestik dan sampah longgok yang dibuang di sekeliling tong;

     

    1. MBDK telah menambah baik perkhidmatan kutipan sampah dari kutipan sampah berpusat kepada kutipan secara pintu ke pintu atau lot ke lot;

     

    1. MPS telah menambah baik kaedah kutipan sampah domestik secara kutipan pintu ke pintu bagi kampung tersusun /terancang yang mempunyai akses laluan lori yang baik. Manakala, bagi kawasan kampung yang tidak mempunyai akses laluan lori yang baik akan disediakan tong sampah bepusat dan diletakkan di tempat yang sesuai.

     

    1. MPKj menempatkan tong-tong leach bin yang terletak di tepi jalan ke dalam kawasan kampung serta memberikan kemudahan kepada penduduk kampung bagi memudahkan kutipan dilaksanakan oleh pihak KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM). Walau bagaimanapun masih terdapat kawasan-kawasan yang belum mendapat kerjasama sepenuhnya daripada ketua kampung di dalam mencadangkan lokasi penempatan tong leach bin yang bersesuaian. Semua kos pengurusan dan pelupusan sisa pepejal di kawasan kampung adalah ditanggung sepenuhnya oleh pihak MPKj;

     

    1. MPAJ membekalkan tong sampah berpusat dan kutipan dilaksanakan sebanyak tiga (3) kali seminggu oleh KDEBWM;

     

    1. MPKL menyediakan 238 tong sampah domestik di Kampung Tradisi dan telah meningkatkan jadual kekerapan kutipan sampah berpusat bermula tahun 2021 iaitu dari tiga (3) kali seminggu kepada setiap hari di 35 buah Kampung Tradisi dan satu (1) kali seminggu kepada tiga (3) kali seminggu bagi kutipan sampah pukal. Selain itu, bagi pemantauan secara berkala, MPKL telah memasang dua (2) unit CCTV khususnya di Jalan Aman Kg. Sijangkang dan Jalan Akasia Jenjarum;

     

    1. MPKS menyediakan 1256 buah tong sampah di kampung tradisi dan kampung baru dengan kekerapan tiga (3) kali seminggu. MPKS akan menambah baik skop kerja perkhidmatan dalam dokumen perjanjian yang baru diantara MPKS dan pihak KDEBWM setelah kontrak sedia ada tamat;

     

    1. MPHS menyediakan tong berpusat sebanyak 87 buah tong dengan kekerapan kutipan tiga (3) kali seminggu dan sampah pukal satu (1) kali seminggu; dan

     

    1. MDSB telah meningkatkan jadual kekerapan kutipan sampah domestik di tong berpusat dari tiga (3) kali seminggu kepada setiap hari;
    2. MPSP telah menyediakan 80 buah tong sampah di 39 lokasi dengan kekerapan kutipan sampah domestik tujuh (7) kali seminggu.
  2. Berapakah kos yang terlibat di dalam pengurusan sampah kampung?

    Kos pengurusan sampah kampung mengikut PBT seperti berikut:

     

    BIL. PBT KOS PENGURUSAN SAMPAH KAMPUNG
    SEBULAN

    (RM)

    SETAHUN

    (RM)

    1. MBSA 298,920.00 3,587,040.00
    2. MBPJ 55,085.00 661,020.00
    3. MBSJ 104,054.00 1,248,648.00
    4. MBDK 316,064.00 3,792,768.00
    5. MPS 374,626.00 4,495,512.00
    6. MPKj 44,666.66 535,999.92
    7. MPAJ 78,053.10 936,637.20
    8. MPSp 71,600.00 859,200.00
    9. MPKL 210,000.00 2,520,000.00
    10. MPKS 134,335.00 1,612,020.00
    11. MPHS 92,503.00 1,110,036.00
    12. MDSB 164,500.00 1,974,000.00
    JUMLAH 1,944,406.76 23,332,881.12

              *Sumber: PBT Negeri Selangor

Lampiran

Tiada Lampiran.