Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023

10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)

374) PENGURUSAN SAMPAH

Tahun: 2023

Sesi: 2

Isu: Kerajaan Tempatan

Adun: Y.B. Tuan Dr. Afif Bin Bahardin

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Sila nyatakan berapakah jumlah tapak pelupusan sampah berlesen yang masih beroperasi di Negeri Selangor dan apakah rancangan Kerajaan Negeri untuk melestarikan perkhidmatan pelupusan sisa pepejal di Negeri Selangor.

    Jumlah tapak pelupusan sampah berlesen yang beroperasi di Negeri Selangor dan diuruskan oleh Worldwide Holdings Berhad (WHB) adalah lapan (8) buah seperti seperti berikut:

    Bagi memastikan kelestarian perkhidmatan pelupusan sisa pepejal di Negeri Selangor, Kerajaan Negeri telah mengimplementasikan kaedah pemisahan sisa kepada dua (2) jenis tapak pelupusan yang berbeza bagi dua (2) klasifikasi asas sisa iaitu sisa domestik seperti sisa organik atau sisa rumah dan sisa lengai iaitu sisa pukal dari bahan runtuhan binaan, perabot buruk, tayar buruk atau cantasan pokok.

     

    Kaedah ini merupakan kaedah yang pertama di Malaysia di mana sisa domestik dilupuskan di tapak pelupusan yang lengkap dengan pengurusan air larut resap dan gas bagi tujuan penjagaan alam sekitar, manakala sisa lengai yang tidak menghasilkan bahan tercemar dilupuskan di tapak yang berasingan. Melalui kaedah pemisahan klasifikasi sisa ini, jangka hayat setiap tapak pelupusan akan dapat bertahan dengan lebih lama berbanding dengan kaedah konvensional.

     

    Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri turut merancang dan bersedia dengan kaedah pelupusan yang lebih lestari dengan meneroka teknologi pelupusan yang terkini berbanding dengan kaedah pelupusan sedia ada yang memerlukan penggunaan tanah atau penggantian tapak baru sebagai tapak pelupusan kerana pembukaan tapak pelupusan baharu akan menyebabkan tanah semakin kurang dan terhad. Selain itu, tapak pelupusan yang telah penuh akan memerlukan perbelanjaan yang tinggi bagi kerja-kerja tutup selamat dan kerja-kerja penyelenggaraan selepas tapak pelupusan ditutup selamat.

     

    Justeru itu, Kerajaan Negeri telah bersetuju untuk WHB menerajui usaha untuk membangunkan dan melaksanakan Integrated Solid Waste Management Centre (ISWMC) di tapak pelupusan sedia ada iaitu di Jeram dan Tanjung Dua Belas. ISWMC adalah satu sistem pelupusan dan rawatan sisa pepejal yang menyeluruh merangkumi fasiliti dan kemudahan seperti berikut:

     

    1. Loji Waste to Energy (WTE);
    2. Loji Kitar Semula;
    3. Loji Pencernaan Anaerobik (Anaerobic Digester);
    4. Loji Kompos;
    5. Loji Kitar Semula Sisa Binaan; dan
    6. Pusat Penyelidikan Dan Pembangunan.

     

    Rancangan perkhidmatan pelupusan sisa pepejal yang lestari di Negeri Selangor melalui ISWMC ini, bukan sahaja sisa pepejal yang dijana dilupuskan terus tetapi juga akan menjadi sumber kepada tenaga baharu, penghasilan baja, kutipan barangan kitar semula dan lain-lain yang dapat menambah nilai serta menepati ke arah ekonomi kitaran (circular economy).

     

Lampiran

Tiada Lampiran.