Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
15 November 2024, 18-22 November 2024, 25-28 November 2024
321) PENGURUSAN POKOK TUMBANG DI KAWASAN KAMPUNG
Tahun: 2024
Sesi: 3
Isu: n/a
Adun: Y.B. Dato' Harrison Bin Hassan
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Jabatan atau agensi manakah yang bertanggungjawab ke atas pemantauan dan penebangan pokok-pokok berisiko tumbang di kawasan kampung?
Merujuk kepada Akta 171 (Akta Kerajaan Tempatan 1976), tanggungjawab menanam, memangkas atau membuang pokok diberikan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Meskipun begitu, tanggungjawab ini terhad kepada kawasan pentadbiran/ operasi PBT yang tidak termasuk kawasan kampung.
Bagi pokok-pokok berisiko yang berada dalam kawasan awam di kampung, belum terdapat ketetapan khusus mengenai perkara ini. Namun begitu, terdapat Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan Ahli Dewan Negeri/ Pegawai Penyelaras DUN yang melaksanakan penebangan pokok-pokok berisiko dalam kawasan awam di kampung menggunakan peruntukan program daripada Kerajaan Negeri atau menggunakan peruntukan ADN/ Pegawai Penyelaras, yang dilaksanakan melalui Pejabat Daerah/ Tanah (PDT).
Berdasarkan Pekeliling Perbendaharaan Bilangan 1 Tahun 2019 (Garis Panduan Penggunaan Peruntukan Ahli Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri dan Ahli Dewan Negeri Selangor), ADN dibenarkan menggunakan sebahagian peruntukan yang disalurkan bagi tujuan pelaksanaan projek infrastruktur, kemudahan awam termasuk penyelenggaraan seperti contoh dalam sub perenggan (i) perenggan 6.1 (ii) “Penyelenggaraan landskap sedia ada dan bersesuaian.”
Dalam masa yang sama, PDT akan sentiasa bekerjasama dengan mana-mana pihak bagi memastikan struktur pokok-pokok dalam kawasan awam di kampung dalam keadaan baik dan tidak mendatangkan bahaya kepada orang awam.