Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

386) PENGURUSAN PERSISIR SUNGAI SABAK BERNAM

Tahun: 2024

Sesi: 1

Isu: Tanah & Sumber Alam

Adun: Y.B. Tuan Sallehen Bin Mukhyi

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah perancangan jangka pendek dan jangka panjang bagi JPS terhadap persisir Sungai Sabak Bernam?

    Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Selangor sentiasa komited dalam memastikan persisir Sungai Sabak Bernam dalam keadaan baik dan selamat untuk penduduk di kawasan sekitar. Antara langkah jangka pendek dan jangka panjang yang dilaksanakan adalah seperti berikut:-

    Langkah Jangka Pendek
    -Penyelenggaraan secara berkala bagi ban Sungai Bernam
    -Pembaikian tebing Sungai Bernam
    -Pengorekan muara di sepanjang persisir Sungai Bernam

    Langkah Jangka Panjang
    -Projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Bernam Fasa 1 (telah siap dilaksanakan pada tahun 2019)
    -Projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Bernam Fasa 2 (jangka tender pada sukuan kedua tahun 2024)
    -Pelaksanaan Kajian Integrated River Basin Management (IRBM) Sungai Bernam (dalam proses deraf laporan akhir)

     

    Perincian tiga (3) langkah jangka panjang dengan jumlah kos sebanyak RM17,717,365.24 adalah seperti jadual berikut:-

     

  2. Kenapa JPS tidak mengambil tindakan terhadap pihak yang membuang sisa pepejal di persisir sungai antara Pekan Sabak Bernam ke Jambatan Sempadan Selangor Perak?

    JPS

    Untuk makluman Yang Berhormat, JPS Negeri Selangor melalui JPS Daerah Sabak Bernam sentiasa melaksanakan pemantauan di tapak bagi mengelakkan aktiviti pembuangan sisa pepejal di persisiran Sungai Bernam berleluasa. Untuk makluman Yang Berhormat juga, pihak JPS tidak mempunyai kuasa di dalam melaksanakan tindakan penguatkuasaan. Walau bagaimanapun, pihak JPS akan sentiasa membuat laporan kepada pihak Pejabat Daerah dan Tanah (PDT), Majlis Daerah Sabak Bernam dan pihak Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) untuk tindakan penguatkuasaan kepada pengusaha yang membuang sisa pepejal ke sungai.

    LUAS

    Aktiviti pembuangan sisa pepejal di kawasan persisir sungai yang biasanya melibatkan tanah kerajaan akan diambil tindakan selaras Kanun Tanah Negara 1965 di bawah Pejabat Daerah dan Tanah Sabak Bernam dan juga Akta Kerajaan Tempatan 1976 di bawah Majlis Daerah Sabak Bernam.

    Manakala sekiranya ia melibatkan pembuangan sisa pepejal yang mengakibatkan pencemaran sumber air, ianya boleh diambil tindakan melalui Enakmen LUAS 1999 (Pindaan 2020).

    Selain itu, Pelan Pengurusan Bersepadu Lembangan Sungai (Integrated River Basin Management, IRBM) bagi Lembangan Sungai Bernam yang melibatkan negeri Selangor dan Perak sedang di peringkat akhir pembangunan oleh pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS). Perkara berkaitan pengurusan sisa pepejal ini merupakan antara perkara yang dipertimbangkan untuk dimasukkan sebagai salah satu strategi di dalam Polisi 4: Meningkatkan Pemuliharaan Alam Sekitar di dalam polisi tersebut.

Lampiran

Tiada Lampiran.