Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2022

25 Julai - 29 Julai 2022 dan 01 Ogos - 05 Ogos 2022 (Isnin - Jumaat dan Isnin - Jumaat)

199) PENGURUSAN PERMINTAAN (DEMAND MANAGEMENT) AIR

Tahun: 2022

Sesi: 2

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Puan Michelle Ng Mei Sze

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah dasar pengurusan permintaan air yang dirancang/dilaksanakan bagi mengurangkan penggunaan air di Selangor daripada 260l/p/d kepada saranan 165l/p/d oleh WHO, yang sekaligus menyelesaikan isu margin rizab air yang tipis?

    Air Selangor giat meneruskan usaha ke arah meningkatkan kesedaran pemuliharaan air dalam kalangan pengguna di sekitar Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya. Jumlah penduduk untuk ketiga-tiga kawasan ini mencecah 8.43 juta orang iaitu bersamaan dengan 25.8 peratus daripada jumlah penduduk di Malaysia.

    Sikap pengguna memainkan peranan penting dalam pemuliharaan air. Memandangkan kebanyakan tabiat dan perilaku ini wujud sejak kecil, ini menjadi cabaran besar untuk diubah. Dengan itu, kami merangka pelan hala tuju untuk 2022 hingga 2025 yang menggunakan pendekatan 4E – Enable, Engage, Encourage & Exemplify untuk mendorong kepada pemahaman yang lebih mendalam tentang pemuliharaan air. Pelan hala tuju ini berfungsi sebagai rangka kerja bagi pembangunan pelan tindakan terperinci untuk mendapatkan impak yang ketara yang menjadikan setiap penurunan dikira – yang dlihat akan membawa perubahan dalam kehidupan orang ramai.

    Enable

    1. Menyediakan maklumat dan pendidikan melalui kerjasama jangka panjang dengan universiti dan sekolah
    2. Perkongsian dengan BoBoiBoy (siri animasi dan francais popular Malaysia) untuk mempromosikan mesej pemuliharaan air kepada generasi muda
    3. Akses kepada maklumat melalui Buku Panduan Air, Air Selangor yang boleh didapati dalam laman web Air Selangor
    4. Menyediakan alat penjimatan air secara percuma (iaitu bidal air) kepada orang ramai
    5. Projek perintis mengenai pemuliharaan air untuk menganggarkan penjimatan kos dan tempoh bayaran balik
    6. Penambahan aplikasi Air Selangor untuk menyediakan data penggunaan air yang lebih terperinci untuk pengguna

    Engage

    1. Mewujudkan kesedaran melalui pelbagai aktiviti penglibaran bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), agensi kerajaan, NGO, sekolah dan pertubuhan keagamaan
    2. Melibatkan ‘influencer’ media, bekerjasama dengan ‘influencer’ alam sekitar dan personaliti terkenal untuk menggalakkan kesedaran pemuliharaan air dalam kalangan orang ramai

    Encourage

    1. Air Selangor akan meneliti cara-cara untuk mengiktiraf dan memberi ganjaran kepada hasil yang diingini

    Exemplify

    1. Mempertimbangkan langkah untuk menambah baik, mengukuhkan dasar serta latihan dalaman berkaitan pemuliharaan air. Ini termasuk kesedaran, dasar dan prosedur serta projek penjimatan air seperti pemasangan sistem penuaian air hujan di pejabat-pejabat Air Selangor.

     

    Air Selangor akan terus meneliti dan menerima pakai amalan terbaik untuk mewujudkan kesedaran yang lebih bermakna dan memberi impak dalam kalangan pengguna domestik tentang pemuliharaan air, memupuk budaya serta menyemai pemikiran jimat air.

Lampiran

Tiada Lampiran.