Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025
18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025
358) PENGURUSAN PEMBANGUNAN INFRASTRUKTUR, SISTEM KOMUNIKASI, PENGANGKUTAN DAN LOGISTIK
Tahun: 2025
Sesi: 1
Isu: n/a
Adun: Y.B. Tuan Azmizam Bin Zaman Huri
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Bagaimana Kerajaan Negeri memastikan Selangor menjadi hab logistik yang kompetitif?
Kerajaan Negeri Selangor mempunyai beberapa strategi dan inisiatif yang sedang dan akan dilaksanakan bagi memastikan Selangor menjadi hab logistik yang kompetitif, bukan sahaja di Malaysia, tetapi juga di peringkat serantau. Antaranya adalah:
- Membangunkan infrastruktur dan pengurusan yang mantap seperti mempertingkatkan kecekapan di Pelabuhan Klang dengan mengurangkan kerenah birokrasi serta penambahbaikan infrastruktur, termasuklah terminal, kren, dan sistem pengendalian kargo.
- Mewujudkan jaringan pengangkutan yang efisyen dengan bakal wujudnya ECRL yang akan berakhir di Jalan Kastam (Seksyen C). Selain daripada itu juga, infrastruktur jalan raya yang selesa dapat memudahkan Selangor menjadi hub logistik yang lengkap.
- Menggalakkan penggunaan teknologi digital dalam operasi logistik, seperti “Internet of Things” (IoT), “blockchain”, dan kecerdasan buatan (AI) bagi meningkatkan kecekapan, ketelusan dan kebolehpercayaan rantaian bekalan serta menerapkan pengunaan automasi dan robotik di pusat-pusat logistik bagi meningkatkan produktiviti dan mengurangkan kos operasi.
-
Bagaimana Kerajaan Negeri memastikan pembangunan infrastruktur, sistem komunikasi, pengangkutan dan logistik di Pelabuhan Klang selaras dengan keperluan logistik moden?
Dalam usaha Kerajaan Negeri memastikan pembangunan infrastruktur, sistem komunikasi, pengangkutan dan logistik di Pelabuhan Klang selaras dengan keperluan logistik moden beberapa perancangan pembangunan infrastruktur telah dirangka untuk dilaksanakan dan dalam proses perlaksanaan.
Dalam usaha menjadikan jaringan jalan raya lebih efisien dan mengurangkan kesesakan trafik, pihak JKR Persekutuan mempunyai perancangan bagi penyambungan jalan dari Jambatan ke-3 Klang (Jambatan Raja Nala) ke Persiaran Raja Muda Musa dan terkini di dalam fasa untuk pengambilan tanah (peringkat awal).
Bagi pembangunan telekomunikasi, keseluruhan Pelabuhan Klang telah dilengkapi dengan infrastruktur fiber melalui kerjasama Kerajaan Negeri dengan pihak TM semasa perlaksanaan Pelan Fiberisasi (2018 – 2024). Melalui inisiatif ini, kemudahan infrastruktur telekomunikasi telah dinaik taraf kepada kemudahan fiber agar sistem telekomunikasi lebih efektif dan persekitaran yang lebih kondusif.