Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2009

08 Julai hingga 10 Julai 2009 dan 13 Julai hingga 15 Julai 2009

3) PENGURUSAN PASIR

Tahun: 2009

Sesi: 2

Isu: Tanah & Sumber Alam

Adun: Y.B. Tuan Dr Shafie Bin Abu Bakar

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Kerajaan Negeri berhasrat mahu mengembalikan hasil jualan pasir di negeri Selangor kepada rakyat. Sejauh manakah berjayanya polisi baru di atas dapat dijalankan?

    Semenjak polisi baru dilaksanakan, masalah kecurian pasir terutama di kawasankawasan yang diluluskan kepada Kumpulan Semesta Sdn. Bhd. (KSSB) telah dapat dikawal. Walau bagaimanapun, masalah kecurian pasir sama ada di atas tanah hak milik atau tanah kerajaan di beberapa daerah lain yang tidak terbabit dengan operasi KSSB masih berlaku.

     

    Melalui polisi yang dilaksanakan ini juga, KSSB telah menyumbang sejumlah RM2.8 juta (sehingga 09 Jun 2009) dalam bentuk bayaran royalti dan keuntungan sebelum cukai yang telah disalurkan kepada Kerajaan Negeri setakat 31 Mei 2009 adalah RM6.9 juta.

     

  2. Mampukah sebuah syarikat dipertanggungjawabkan dapat mengendalikan urusan penjualan pasir?

    KSSB menjual pasir yang dilombong melalui tender terbuka. Setakat ini terdapat lebih dari 10 pelanggan tetap yang membeli pasir dari KSSB dan menjualkannya kepada ‘end user’. KSSB tiada masalah untuk menjual semua pasir yang dilombong kerana permintaan adalah tinggi.

  3. Mengapakah aduan kecurian pasir masih kerap berlaku di sana sini?

    Kecurian pasir masih kerap berlaku di sana sini disebabkan oleh keadaan berikut:-

    • Kemampuan Bahagian Penguatkuasaan di bawah Pentadbir Tanah Daerah yang sangat terhad untuk membendung insiden-insiden kecurian pasir yang kebanyakannya dilakukan secara terancang oleh sindiket-sindiket kecurian yang besar;
    • Peningkatan bilangan aduan lanjutan ketelusan Kerajaan Negeri mengundang penglibatan orang awam untuk mengemukakan aduan pencurian pasir; dan
    • Tindakan Kerajaan Negeri untuk mengawal pengeluaran permit memindah bahan batuan (Permit 4C) di atas tanah milik sememangnya menjurus kepada insideninsiden kecurian pasir.

    Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri terus menggiatkan usaha siasatan bagi membanteras kecurian pasir. Antara tindakan yang sedang diambil adalah melipat gandakan tindakan pemantauan penguatkuasaan oleh Pentadbir Tanah Daerah.

    Kerajaan Negeri sedang mengkaji untuk memperkenalkan dasar baru di mana pengeluaran pasir dibenarkan di atas tanah milik dengan garis panduan yang khusus.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.