Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
171) PENGURUSAN KAWASAN FLAT / PANGSAPURI
Tahun: 2024
Sesi: 1
Isu: Perumahan
Adun: Y.B. Datuk Wira Johan Bin Abd Aziz
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Banyak kediaman flat atau pangsapuri tidak mempunyai badan pengurusan yang boleh mengurus takbir dengan baik menyebabkan keadaan menjadi tidak teratur dan terbiar. Apakah usaha pihak COB dalam menyelesaikan masalah tersebut?
Berdasarkan Seksyen 86, Akta Pengurusan Strata 2013 (Akta 757), pihak COB diberi kuasa untuk melantik ejen pengurusan sekiranya didapati pengurusan di sesebuah skim pemajuan berstrata tersebut tidak dilaksanakan dengan sewajarnya. Pelantikan ejen pengurusan ini akan bertindak sebagai badan pengurusan JMB/MC untuk menjalankan kerja-kerja pengurusan dan penyelenggaraan sehingga jawatankuasa JMB/MC dapat dilantik. Walau bagaimanapun, pihak COB sentiasa berusaha untuk memastikan sesuatu skim pemajuan berstrata mempunyai jawatankuasa JMB/MC yang berterusan aktif dan teratur dengan kawalan dalaman yang dilaksanakan oleh pihak COB Majlis seperti berikut:
- Mengeluarkan notis arahan mesyuarat agung tahunan kepada JMB/MC setiap tahun;
- Menjalankan program pendidikan setiap tahun kepada jawatankuasa JMB/MC;
- Melantik seseorang untuk memanggil mesyuarat agung luar biasa bagi pelantikan jawatankuasa JMB/MC;
- Memberi taklimat/khidmat nasihat kepada pemilik-pemilik berkaitan perundangan dan kepentingan pengurusan dan penyenggaraan;
- Mengadakan mesyuarat penyelarasan bagi membincangkan serta menyelesaikan isu-isu berkaitan pengurusan dan penyenggaraan; dan
6. Membuat teguran serta melaksanakan tindakan penguatkuasaan berdasarkan Akta 757.
-
Bagaimana PBT menyelesaikan masalah kemudahan bersama yang tidak diselenggara dan rosak di kawasan berstrata?
Kawasan pemajuan berstrata adalah hartanah persendirian yang mempunyai kemudahan yang dikongsi bersama pemilik-pemilik yang lain. Tanggungjawab penyelenggaran dan pembaikan bagi kemudahan bersama tersebut adalah terletak di bawah tanggungjawab badan pengurusan sesuatu skim pemajuan berstrata tersebut. Pihak Majlis tidak mempunyai sebarang peruntukan/dana bagi menyelenggara kemudahan bersama persendirian. Walau bagaimanapun, sekiranya Badan Pengurusan JMB/MC memerlukan bantuan/dana bagi penyelenggaraan atau pembaikan kemudahan harta bersama, mereka boleh memohon peruntukan untuk pembaikan tersebut melalui program seperti berikut:
- Tabung Penyenggaran Perumahan Malaysia (TPPM) Program anjuran Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT); atau
- Program Skim e-CERIA iaitu Program anjuran Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS).
Pihak COB PBT sentiasa memberi maklumat/membuat hebahan info bantuan kepada Badan Pengurusan JMB/MC dan membantu/ memudahcara/ menguruskan permohonan bantuan tersebut serta mengemukakan permohonan kepada LPHS/KPKT untuk kelulusan.