Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2009
10 Mac hingga 13 Mac 2009 dan 16 Mac hingga 17 Mac 2009
36) PENGURUSAN JALAN RAYA
Tahun: 2009
Sesi: 1
Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam
Adun: Y.B. Tuan Lee Kim Sin
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Berapakah peruntukan persekutuan untuk pembinaan dan pengurusan jalan setiap PBT di Negeri Selangor bagi tahun 2008 dan 2009?
Berdasarkan Perkara 109(1)(b) Perlembagaan Persekutuan, Kerajaan Persekutuan hanya memperuntukkan Pemberian Penyelenggaraan Jalan raya kepada Kerajaan Negeri, dan tiada peruntukan khusus untuk pembinaan dan pengurusan jalan kepada PBT. Namun begitu, Kerajaan Negeri tetap menyediakan peruntukan dan telah menyalurkan peruntukan penyelenggaraan jalan raya kepada PBT pada setiap tahun.
-
Bagaimanakah pengiraan peruntukan jalan setiap PBT dan berapakah jumlah perbelanjaan yang digunakan untuk tahun 2007 dan 2008?
Peruntukan penyelenggaraan jalan raya yang disalurkan oleh Kerajaan Negeri kepada PBT pada tahun 2007 dan 2008 adalah masing-masing sebanyak RM50,538,740.00 dan RM134,963,298.49. Peruntukan ini adalah tertakluk kepada kemampuan dan keperluan penyelenggaraan jalan raya PBT masing-masing. Pemberian kepada PBT juga dibuat berdasarkan kepada prestasi pelaksanaan projek-projek penyelenggaraan tersebut. Perincian peruntukan kepada PBT adalah seperti di lampiran A
-
Apakah rancangan dan peruntukan untuk menaik taraf jalan di kampung tradisi?
Di bawah Kerajaan Persekutuan, program menaik taraf kampung tradisi dilaksanakan melalui peruntukan Kementerian Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah (KKLW) dan negeri (UPEN). Cadangan jalan diperoleh dari permohonan Ahli Parlimen, Jawatankuasa Keselamatan Kampung (JKKK), orang perseorangan dan dari JKR Daerah atas kelulusan KKLW. Senarai projek jalan kampung untuk daerah Hulu Langat untuk tahun 2009 adalah sebanyak 9 projek dengan peruntukan berjumlah RM 840,000.00. Senarai projek seperti Lampiran B.
Di bawah program Kerajaan Negeri peruntukan yang disediakan untuk tahun 2009 adalah RM 0.5 Juta. Cadangan jalan-jalan dilaksanakan sedang disemak oleh JKR.