Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

04 Julai - 05 Julai 2024, 09 Julai - 12 Julai 2024 & 15 Julai - 18 Julai 2024 (Khamis - Jumaat, Selasa - Jumaat & Isnin - Khamis)

248) PENGURUSAN BENCANA BANJIR

Tahun: 2024

Sesi: 2

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Tuan Syed Ahmad Bin Abdul Rahman Alhadad

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah perancangan Kerajaan Negeri Selangor bagi mencegah bencana banjir selari dengan laporan yang mengatakan fenomena La Nina akan lebih teruk pada tahun ini?

    Kerajaan Negeri sentiasa komited dalam menangani isu banjir yang berlaku. Terdapat projek-projek tebatan banjir yang telah diluluskan dan dalam pelaksanaan di seluruh Negeri Selangor yang mana setiap projek tersebut dijangka dapat mengurangkan kejadian banjir yang berlaku di kawasan yang terlibat. Kerja-kerja penyelenggaraan secara berkala dan one-off juga sentiasa dilaksanakan bagi memastikan saliran-saliran berada dalam keadaan baik terutamanya semasa musim Monsun Timur Laut (MTL).

    Langkah-langkah pengurusan terbaik (Best Management Practices) yang diamalkan oleh Kerajaan Negeri melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Selangor dalam mengatasi masalah banjir di Negeri Selangor adalah seperti berikut:-

    1. Mensyaratkan keperluan penyediaan tadahan (detention facilities) berdasarkan Purata Selang Ulangan 100 ARI ke atas sebarang permohonan pembangunan tanah dan reka bentuk tadahan tersebut perlu dirujuk sebagai parameter bagi penyediaan pelan induk saliran terperinci di kawasan pemajuan yang terlibat.
    2. Analisis hidraulik dan hidrologi bagi reka bentuk tadahan dan sistem saliran adalah disyaratkan untuk merujuk Manual Saliran Mesra Alam Edisi Kedua 2012 (MSMA 2nd Edition).
    3. Melaksanakan penyenggaraan dan penaiktarafan ke atas struktur sistem saliran termasuk kolam takungan, sistem perparitan, benteng, sistem amaran banjir dan sebagainya bagi memastikan keupayaan takungan dan kefungsian struktur-struktur saliran lebih optimum semasa waktu puncak. Tahap penyelenggaraan dan penaiktarafan yang dilaksanakan juga mengambilkira hasil kajian dan data-data banjir terkini bagi melihat keberkesanan mekanisme terbaik untuk menyelesaikan masalah banjir yang kompleks dan berbeza di setiap kawasan.
    4. Menjalankan beberapa siri kajian ke atas sistem saliran yang berada di dalam kawasan berisiko banjir bagi penghasilan simulasi hidraulik dan hidrologi serta mengenalpasti langkah-langkah penyelesaian dan pengurangan risiko masalah banjir di Negeri Selangor. Laporan kajian tersebut akan dirujuk sebagai parameter bagi penyediaan pelan induk dan reka bentuk saliran terperinci di kawasan sekitar.
    5. Perancangan strategi dan pemodelan yang digunakan adalah pendekatan yang melibatkan semua daerah di Negeri Selangor di mana kawasan yang sering berlaku banjir kilat atau hotspot banjir diberi keutamaan. Antara skop tebatan banjir yang dilaksanakan adalah seperti berikut:-
    • Menaiktaraf sungai
    • Melebar dan mendalamkan sungai
    • Membina kolam takungan banjir
    • Membina kunci air
    • Meninggi/ membina ban sungai
    • Menyediakan pam bergerak

      6. Kerajaan Negeri Selangor melalui JPS telah membuat perancangan pengurusan banjir melalui dua (2) kaedah iaitu langkah struktur dan langkah bukan struktur dalam menangani isu banjir pada masa akan datang.

     

    Langkah struktur melibatkan projek tebatan banjir yang merangkumi komponen seperti berikut:-

    • Pembinaan ban banjir, tembok penahan banjir (flood wall), terowong banjir (flood tunnel), bypass channel dan barrage bagi tujuan kawalan banjir.
    • Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) bagi menyediakan bekalan air terawat yang mencukupi di samping untuk tujuan pengurusan banjir.
    • Pembinaan kolam takungan banjir seperti underground storage, elevated pond, vertical & horizontal storage dan kolam takungan bertingkat.
    • Pembinaan pintu kawalan air dan rumah pam yang diintegrasikan dengan Sistem Kawalan Penyeliaan dan Perolehan Data Berkomputer – Supervisory Control And Data Acquisition (SCADA) bagi pintu air di kawasan yang berisiko tinggi mengalami banjir. Pintu Air ini akan dikawal secara automatik berdasarkan kenaikan paras air di sungai dan juga boleh dikawal serta dipantau menerusi komputer dan telefon pintar.
    • Melebar dan mendalamkan sungai seperti Projek Mendalamkan dan Melebarkan Sungai Klang Termasuk Meninggikan Ban Sungai Klang.
    • Menaiktaraf sistem saliran.

     

    Langkah bukan struktur pula terdiri daripada komponen-komponen seperti berikut:-

    • Program Ramalan Amaran Banjir Negara (PRAB) yang berupaya meramal kejadian banjir monsun 7 hari lebih awal, memberi amaran banjir monsun 2 hari lebih awal, ketepatan ramalan aras air (+/- 0.5m) dan ramalan banjir kilat 1-3 jam lebih awal berdasarkan data ramalan cuaca dari Jabatan Meteorologi Malaysia. Selain itu, PRAB juga berupaya memberi amaran dan hebahan banjir monsun dari 6 jam kepada 2 hari lebih awal kepada agensi berkepentingan dan penduduk yang terlibat dengan banjir. Perolehan program ini telah bermula pada September 2021 dan dijangka siap sepenuhnya pada 26 November 2024. Program ini merangkumi pengesanan, ramalan, amaran dan hebahan.
    • Pembangunan Rangkaian Stesen Hidrologi termasuk Sistem Siren Amaran Banjir untuk mengumpul dan memproses data hidrologi bagi tujuan ramalan dan amaran banjir.
    • Pembangunan Sistem Pemantauan Banjir melalui laman web Infobanjir Negeri Selangor untuk memberi amaran awalan banjir kepada orang awam mengenai status paras air sungai, taburan hujan dan kamera pemantauan status banjir.
    • Penggunaan Garis Panduan Manual Saliran Mesra Alam (MSMA) yang menetapkan keperluan mandatori yang perlu dipatuhi bagi pembangunan baru di kawasan bandar.
    • Pendekatan Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu dan Pengurusan Banjir Bersepadu bagi rancangan pengurusan banjir. Ini akan memberikan pendekatan yang lebih seimbang antara langkah-langkah struktur dan bukan struktur serta tahap penyertaan masyarakat yang lebih tinggi.
    • Kajian Pengurusan Lembangan Sungai Bersepadu (IRBM – Integrated River Basin Management) dan Kajian Pelan Induk Tebatan Banjir (IFMP – Integrated Flood Management Plan) serta Pelan Induk Saliran Mesra Alam (PISMA).

     

    Maklumat Tambahan Mengenai Pelan Induk Saliran Mesra Alam (PISMA)

    Pengenalan PISMA:-

    1. PISMA adalah pelan induk yang mematuhi konsep Manual Saliran Mesra Alam (MSMA).
    2. Mengenalpasti isu-isu dan kelemahan pada sistem saliran sedia ada termasuk isu-isu dan permasalahan kualiti air.
    • Mencadangkan kerja-kerja yang perlu dilaksanakan berdasarkan cadangan penyelesaian jangka pendek dan jangka panjang dalam mengatasi masalah banjir kilat dan pencemaran kualiti air di kawasan perbandaran.
    1. Membangunkan Inventori Aset Sistem Saliran.
    2. Merupakan panduan dan rujukan untuk merancang pembangunan masa hadapan yang lebih sistematik dan mapan.

     

    Objektif PISMA:-

    1. Untuk merangka pelan induk jangka masa panjang dalam pengurusan air larian hujan untuk mengurangkan risiko banjir.
    2. Untuk merangka pelan induk jangka masa panjang dalam pengurusan kualiti air larian hujan menggunakan Teknologi Tersedia Terbaik (BAT) atau Amalan Pengurusan Terbaik (BMPs) untuk mengurangkan kesan pencemaran pada air/ badan air.
    • Untuk membangunkan Inventori Aset Sistem Saliran.

     

    Hasil PISMA:-

    1. Pelan Induk Saliran menerangkan secara komprehensif penyelesaian jangka panjang untuk mengurangkan risiko kejadian banjir kilat.
    2. Pelan Induk Kualiti Air menerangkan Amalan Pengurusan Terbaik (BMPs) yang boleh dilaksanakan bagi mengawal pencemaran akibat pembangunan.
    3. Pembangunan sistem inventori adalah inventori infrastruktur-infrastruktur berkaitan saliran yang ada di kawasan kajian digunakan sebagai rujukan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta pihak berkaitan untuk pemantauan dan penyelenggaraan.
    4. Drainage Capacity Assessment menunjukkan kapasiti sistem saliran dan menyesyorkan sistem saliran yang perlu dinaiktaraf segera.
    5. Cadangan Aras Pembangunan
    6. Soil Erosion Risk Map
    • Pengurusan kawasan tadahan yang merangkumi kawalan pembangunan, pemeliharaan tanah dan pengurusan penggunaan tanah tinggi.
    • Peta Hazard Banjir yang digunakan untuk tujuan penilaian risiko bagi mengurangkan kerugian akibat banjir.
    • Kajian semula keupayaan dan operasi empangan di bawah Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan Syarikat Air Selangor untuk mengkaji kesesuaian Empangan Sg. Langat dan Empangan Sg. Semenyih digunakan untuk tujuan operasi kawalan banjir.
  2. Nyatakan gerak kerja Kerajaan Negeri bagi memperbaiki sistem perparitan dan tebatan banjir di kawasan Lembah Jaya.

    Untuk makluman Yang Berhormat, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Daerah Hulu Langat sentiasa melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan Sungai Ampang di kawasan Lembah Jaya secara berkala. Senarai kerja penyelenggaraan yang telah dan sedang dilaksanakan dari tahun 2022 hingga 2024 seperti jadual berikut:-

Lampiran

Tiada Lampiran.