Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
328) PENGURUSAN BAHAN BUANGAN ELEKTRIK DAN ELEKTRONIK
Tahun: 2024
Sesi: 1
Isu: Alam Sekitar
Adun: Y.B. Tuan Ong Chun Wei
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah rancangan Kerajaan Negeri terhadap pengurusan bahan buangan elektrik dan elektronik (e-waste)?
Kerajaan Negeri melalui Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Selangor melaksanakan beberapa tindakan bagi memastikan pengurusan e-waste dapat dilaksanakan secara lestari. Antaranya, JAS Negeri Selangor telah melesen sebanyak 28 premis atau fasiliti kitar semula e-waste di negeri ini yang berupaya memproses e-waste ini secara mesra alam bagi menghasilkan logam-logam berharga seperti emas, perak, tembaga, platinum dan palladium. Tindakan ini diambil bagi memastikan e-waste tidak dilupus secara sesuka hati termasuk memberikannya kepada pihak yang tidak sepatutnya, membuang ke dalam sungai, tapak pelupusan sampah atau membakarnya secara terbuka. Di samping itu, pihak JAS juga sedang melaksanakan Mekanisme Pengurusan Buangan Peralatan Elektrik dan Elektronik (E-Waste) di Malaysia yang merangkumi kawalan terhadap enam (6) jenis item iaitu pendingin hawa, mesin basuh, telefon bimbit, televisyen, komputer riba/komputer dan peti sejuk. Di bawah mekanisme ini, satu kerangka undang-undang khusus telah dirangka bagi mengawal pengurusan peralatan elektrik dan elektronik daripada pembuatan sehingga ianya dilupuskan sebagai e-waste. Mekanisme ini mengetengahkan konsep Extended Producer’s Responsibility (EPR) bagi memastikan pihak pengeluar bertanggungjawab dalam menguruskan produk elektrik dan elektronik secara mesra alam selepas jangka hayat akhir (end of life) produk tersebut. Selaras dengan pemakaian konsep EPR, pihak pengeluar dan pengimport adalah dipertanggungjawabkan untuk membayar deposit atau sumbangan kitar semula bagi setiap peralatan elektrik dan elektrik yang ditempatkan dalam pasaran negara.
Selain itu, Kerajaan Negeri melalui JAS Negeri Selangor dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) telah dan sedang menjalankan beberapa aktiviti bagi meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap pengurusan e-waste antaranya seperti berikut:-
i. Pelaksanaan projek perintis bagi menjadikan stesen-stesen minyak di Negeri Selangor sebagai Pusat Pengumpulan E-Waste;
ii. Pelaksanaan projek perintis bagi menjadikan pasaraya-pasaraya di Negeri Selangor sebagai Pusat Pengumpulan E-Waste;
iii. Program pengumpulan e-waste pada hari Sabtu terakhir setiap bulan di lokasi tumpuan orang ramai;
iv. Program kerjasama dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Rakan Strategik Alam Sekitar (RSAS) bagi program pengumpulan e-waste di lokasi-lokasi berdekatan dengan komuniti sempena hari bertemakan alam sekitar seperti Sambutan Hari Bumi, Hari Alam Sekitar Sedunia, Hari Ozon Sedunia dan Hari Alam Sekitar Negara;
v. Program ceramah dan pameran kesedaran alam sekitar mengenai pengurusan e-waste secara mesra alam dan lestari di sekolah-sekolah, agensi kerajaan dan swasta serta premis kilang;
vi. Galakan premis untuk berdaftar sebagai pusat pengumpulan e-waste bagi kemudahan setempat di kawasan komuniti;
vii. Pembinaan Pusat Kitar Semula setempat oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di kawasan komuniti;
viii. Makluman secara infografik di laman media sosial Jabatan Alam Sekitar, pembangunan laman web berkaitan e-waste https://ewaste.doe.gov.my; dan
ix. Pembangunan satu aplikasi mudah alih (mobile aps) bagi tujuan rakyat mendapat maklumat pusat pengumpulan yang terhampir dengan lokasi iaitu ‘MyEwaste’. Aplikasi ini juga akan memberi maklumat jenis-jenis e-waste yang boleh dihantar ke pusat pengumpulan tersebut.