Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2013

28 Jun 2013, 01 Julai - 05 Julai 2013 dan 08 Julai 2013

35) PENGURUSAN AIR

Tahun: 2013

Sesi: 2

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Tuan Dr Abdul Rani Bin Osman

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Sejauh manakah perkembangan perundingan mengenai pengurusan air Selangor mendapat kerjasama dari Kerajaan Persekutuan?

    Sepanjang tahun 2008 hingga 2012, Kerajaan Persekutuan sentiasa menegaskan bahawa Kerajaan Negeri Selangor hendaklah menyelesaikan apaapa isu pengambilalihan syarikat konsesi air melalui transaksi komersial willing buyer willing seller tanpa penglibatan Kerajaan Persekutuan, walaupun tanggung jawab mengenai perkhidmatan dan bekalan air telah diletakkan bersama kepada Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri di bawah Perlembagaan Malaysia melalui pindaan Perlembagaan di bawah Akta Perlembagaan (Pindaan) 2005 yang memindahkan perkhidmatan dan bekalan air dari Senarai Negeri kepada Senarai Bersama di bawah Senarai Perundangan, Perlembagaan

  2. Apakah sebenarnya dalih-dalih dan syarat-syarat yang diletakkan oleh Kerajaan Persekutuan yang merumitkan kerjasama bagi pengurusan air di Selangor?

    Pindaan Perlembagaan pada tahun 2005 telah meletakkan air di bawah

    Senarai 111- Senarai Bersama.  Melalui Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) telah diperuntukkan bahawa Kerajaan Persekutuan mempunyai kuasa eksekutif berkenaan dengan segala perkara berhubungan dengan sistem bekalan air dan perkhidmatan air di seluruh Semenanjung Malaysia dan Wilayah-wilayah Persekutuan Putrajaya dan Labuan.

    Selain dari itu, Kerajaan Negeri Selangor telah menswastakan perkhidmatan bekalan air semenjak tahun 1994 dan penswastaan sepenuhnya telah dilaksanakan pada tahun 2004. Melalui penswastaan ini, Perjanjian Konsesi telah ditandatangani di antara Kerajaan Negeri dan Syarikat Konsesi Air.

    Dalam proses untuk mengambil alih semula perkhidmatan bekalan air dari Pemegang Konsesi untuk diuruskan oleh Kerajaan Negeri sepenuhnya, ia perlu melalui proses deprivatisation yang akan melibatkan banyak pihak. Deprivatisation akan menjurus kepada penamatan perjanjian konsesi sedia ada.  Perlembagaan Malaysia memperuntukkan bahawa tiada seorang pun boleh dilucutkan hartanya kecuali mengikut undang-undang dan tiada undang-undang yang boleh memperuntukkan pengambilan atau penggunaan harta dengan paksa tanpa pampasan yang memadai.

    Oleh yang demikian, dalam melaksanakan pengambilalihan semula perkhidmatan bekalan air dari Pemegang Konsesi, Kerajaan Negeri adalah tertakluk kepada terma dan syarat perjanjian di mana sejumlah pampasan perlu untuk disediakan untuk dibayar kepada Pemegang Konsesi.  Sekiranya Pemegang Konsesi tidak dibayar pampasan yang setimpal, perkara ini boleh mendedahkan Kerajaan Negeri kepada tindakan undang-undang dan pada masa yang sama Kerajaan Negeri boleh dianggap bertindak bertentangan dengan Perlembagaan Malaysia.

    Pemegang Konsesi menuntut nilai pampasan yang tinggi walaupun Kerajaan Negeri telah bersetuju untuk membayar 12% sebagai pulangan kepada pelaburan yang dibuat serta mengambil alih semua liabiliti berkaitan air.

    Keengganan Kerajaan Persekutuan untuk turut serta bersama Kerajaan Negeri di dalam rundingan pengambilalihan syarikat konsesi telah melambatkan penstrukturan semula dimuktamadkan walaupun Kerajaan Persekutuan mempunyai kuasa eksekutif dalam sektor air sebagaimana diperuntukkan di bawah Akta Industri Perkhidmatan Air Negara 2006 (Akta 655).

    Kerajaan Persekutuan sering berpandangan bahawa dalam merealisasikan pelaksanaan Model Holistik yang dicadangkan, Kerajaan Negeri Selangor hendaklah menyelesaikan apa-apa isu pengambilalihan syarikat konsesi air melalui transaksi komersial willing buyer willing seller tanpa penglibatan Kerajaan Persekutuan, manakala penglibatan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) pula dalam inisiatif penstrukturan semula industri perkhidmatan air negara termasuk di Negeri Selangor adalah terhad kepada pengambilalihan liabiliti dan aset air berkaitan sahaja setelah pengambilalihan ekuiti diselesaikan oleh Kerajaan Negeri.

  3. Apakah langkah-langkah jangka pendek dan jangka panjang yang diambil bagi mengatasi masalah kekurangan bekalan air di Negeri Selangor sekiranya ia berlaku?

    Untuk tempoh 20 tahun akan datang, dijangkakan akan berlaku pertambahan penduduk dan pembangunan ekonomi. Pertambahan penduduk serta pertumbuhan ekonomi yang rancak secara langsung akan mendorong kepada permintaan air bersih yang lebih tinggi manakala pembekalan air tidak berubah. Kerajaan Negeri Selangor sentiasa mengambil langkah positif untuk memastikan rakyat Selangor sentiasa mendapat bekalan air yang mencukupi.

    Pada ketika ini, semua data berkenaan dengan permintaan dan pembekalan air adalah dipegang oleh SYABAS.  Kerajaan Negeri

    Selangor telah menubuhkan Jawatan Kuasa Pemantauan Air Negeri Selangor yang dipengerusikan oleh YB Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor bagi tujuan memantau operasi SYABAS supaya bekalan air yang semakin menipis dari segi rizab dapat diagihkan kepada pengguna tanpa sebarang gangguan. Bagi tujuan pemantauan ini, beberapa data diperlukan dari SYABAS, namun SYABAS enggan mengemukakan datadata yang dikehendaki oleh Kerajaan Negeri walaupun surat telah dikeluarkan kepada SYABAS.

    Oleh itu, penyelesaian menyeluruh ke atas semua masalah operasi dan pengurusan industri perkhidmatan air adalah melalui  penstrukturan semula industri perkhidmatan air negeri Selangor melalui Model Holistik yang dicadangkan oleh Kerajaan Negeri Selangor.

    Pada masa yang sama, Kerajaan Negeri Selangor sentiasa bekerjasama dengan operator loji pembersihan air seperti Splash, Abass dan Puncak Niaga serta agensi yang terlibat dan Suruhanjaya Air Negara (SPAN) langkah-langkah mitigasi telah dilakukan seperti berikut:

    1. Hanya melepaskan air dari empangan berdasarkan keperluan optimum loji sahaja.
    2. Menjalin persefahaman yang mantap bagi semua pihak berkepentingan dalam mengurus sumber air supaya bekalan air bersih tidak terganggu.
    • Memantau paras air di muka sauk bagi memastikan kuantiti air yang dipam adalah mencukupi dan tidak memberi kesan ke atas operasi pam air mentah hingga mengakibatkan kegagalan.
    1. Sentiasa memantau dan bertindak sewajarnya sekiranya simpanan air mencapai tahap 50%.
    2. Masyarakat umumnya senitasa diminta berjimat cermat terhadap penggunaan air sewaktu musim kemarau.

    Selain itu, LUAS sebagai badan yang bertanggungjawab terhadap pengurusan air di Negeri Selangor turut mengambil kira beberapa langkah yang perlu di ambil sekiranya berlaku masalah air di Negeri Selangor. Salah satu penyelesaiannya adalah penggunaan sumber air alternatif iaitu menggunakan air permukaan seperti air tasik, lombong dan sebagainya untuk keperluan harian. Sumber air bumi juga merupakan penyelesaian terhadap kekurangan bekalan air di Negeri Selangor. Walaubagaimanapun, sumber air bumi masih belum meluas penggunaannya dan perlu dikomersialkan.

    Beberapa projek sumber air tambahan telah pun dilaksanakan bagi memastikan sumber bekalan air adalah mencukupi, antaranya adalah seperti berikut:-

    1. Loji Rawatan Air Sg Labu / KLIA Alternative Water Supply Scheme Projek ini dioperasikan oleh Konsortium Air Selangor Berhad (KASB) bermula pada 01 Julai 2012 dan boleh mengeluarkan air sebanyak 105 JLH.
    2. Membaik pulih Kapasiti Loji Rawatan Air Sg Selangor Fasa 1 (SSP1)

    Kerja-kerja membaik pulih ini telah siap sepenuhnya pada 31 Mac 2013 dan kapasiti pengeluaran Loji Rawatan Air Sg Selangor Fasa 1 (SSP1) dapat  ditingkatkan pengeluaran dari 760 JLH  kepada 950 JLH, iaitu peningkatan sebanyak 190 JLH.

    • Projek Mitigasi 2

    Untuk menambah baik sistem agihan air bagi membolehkan air terawat diagihkan kepada pengguna.  Projek ini dijangka siap sepenuhnya pada akhir tahun 2015.

    Antara projek yang sedang dalam perancangan  untuk dilaksanakan oleh

    Kerajaan Negeri Selangor adalah:-

    1. Kajian untuk meningkatkan sumber air mentah (yield) di Sungai Selangor dengan membangunkan Hybrid Off River Augmentation Storage (HORAS) yang mana rancanganini adalah selari dengan cadangan Kerajaan Persekutuan mengenai “Penggunaan Storm Water di hiliran sungai sebagai sumber air terawat”  yang dibentangkan semasa Mesyuarat Majlis Sumber Air Negara;
    2. Projek menambah baik sistem pam air bersih ke Kolam Imbangan Bukit Mayong bagi tujuan meningkatkan kapasiti pengeluaran rumah pam tersebut bagi menampung permintaan bekalan di kawasan Klang;
    • Kajian mengenai keupayaan kapasiti air bawah tanah untuk digunakan sebagai sumber air melalui kaedah River Bank Filteration (RBF);dan
    1. Mengaktifkan semula Loji Sungai Damansara (Loji Bukit Jelutong) yang terletak di Pusat bandar Shah Alam.

    Selain dari pelaksanaan projek-projek, SYABAS hendaklah dipastikan dapat mengurangkan kadar NRW.  Di dalam Perjanjian Konsesi SYABAS, SYABAS menjanjikan penurunan NRW kepada 20%  pada tahun 2011 dengan perbelanjaan sebanyak RM784.1 juta. Namun kadar NRW pada tahun 2011 yang dapat dicapai oleh pihak SYABAS adalah melebihi 32% dengan jumlah perbelanjaan sebanyak RM995.70 juta,  jauh melebihi amaun yang ditetapkan dalam Perjanjian Konsesi. (Setakat April 2013, kadar NRW ditunjukkan sebanyak 35%)

    Ini membuktikan bahawa walaupun SYABAS telah diberikan peruntukkan yang jauh melebihi amaun yang dipersetujui dalam Perjanjian Konsesi, namun SYABAS masih gagal untuk menurunkan NRW kepada kadar yang sepatutnya. Kegagalan tersebut telah menyebabkan negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya terlepas peluang untuk mendapatkan penjimatan kira-kira 663 JLH yang sepatutnya dihasilkan dari penurunan NRW seperti dijanjikan Syabas.

    Kapasiti  663JLH itu adalah lebih kurang jumlah air yang dikeluarkan oleh Loji Sungai Semenyih yang dianggarkan boleh menampung keperluan 353,000 akaun atau dari bilangan orang, boleh menampung penggunaan untuk seramai 1.2 juta orang.

Lampiran

Tiada Lampiran.