Mesyuarat Ketiga (Bajet) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022

23 - 25 November, 29 - 30 November, 1 - 2 Disember & 5 - 6 Disember 2022

63) PENGURANGAN INTENSITI PELEPASAN GAS RUMAH HIJAU

Tahun: 2022

Sesi: 3

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Puan Jamaliah Binti Jamaluddin

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Kerajaan Negeri Selangor menyasarkan pengurangan intensiti pelepasan gas rumah hijau berdasarkan KDNK sebanyak 35% berdasarkan intensiti pelapasan pada tahun 2005. Adakah Kerajaan Negeri Selangor sudahpun mempunyai pelan tindakan (action plan) dan KPI untuk setiap tahun sehingga tahun 2025? Sekiranya ya, sila jelaskan.

    Bagi memenuhi sasaran pengurangan pelepasan gas rumah hijau (GHG) di Malaysia, semua negeri perlu melaksanakan tindakan mitigasi pengurangan pelepasan GHG mengikut dasar dan agenda pembangunan masing-masing serta diselaraskan dengan agenda pembangunan mampan seperti United Nations Sustainable Development Goals (UN-SDG). Malaysia telah menyatakan hasrat untuk mengurangkan 45% intensiti karbon yang merentas ekonomi pada tahun 2030 berbanding intensiti karbon pada tahun 2005.

    Kerajaan Negeri Selangor sentiasa komited dalam memastikan hasrat untuk menjadi negeri Selangor sebagai negeri bebas karbon seawal 2050 terlaksana. Di bawah Rancangan Selangor Pertama (RS-1), Kerajaan Negeri telah menggariskan indikator pencapaian untuk mencapai 35% pengurangan intensiti pelepasan GHG menjelang 2025 dalam Agenda Kelestarian. Melalui RS-1 ini, Kerajaan Negeri akan membangunkan mekanisme inventori GHG yang menyeluruh dan pembinaan kapasiti bandar rendah karbon di semua PBT. Pelaporan karbon untuk industri dan pembangunan rangka kerja pengiraan GHG ini adalah bagi membolehkan perancangan karbon rendah yang lebih baik di peringkat tempatan. Untuk makluman, negeri Selangor masih mempunyai pelepasan karbon yang positif. Sektor seperti tenaga, pengangkutan dan pembinaan merupakan penyumbang utama pelepasan karbon dalam negeri. Selangor berpotensi menjadi negeri rendah karbon dengan memberi tumpuan kepada penambahbaikan dalam sektor-sektor tersebut melalui penggunaan cara yang inovatif.

    Setiap program dan perancangan yang digariskan, telah ditetapkan outcome program, kriteria dan kaedah pelaksanaannya. Mekanisme pemantauan tahap pencapaian adalah dengan menetapkan kaedah pengukuran pada setiap program/inisiatif dan melaporkan kemajuan pelaksanaan kepada Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar, Perubahan Iklim dan Teknologi Hijau secara berkala. Jawatankuasa Tetap akan menyelaras laporan, pengumpulan data, pencapaian dan keberhasilan serta penggunaan peruntukan yang efisyen dan cekap dalam merealisasikan Selangor Negeri Bebas Karbon pada 2050.

    Selain itu, bagi memperkukuhkan kerangka pelaksanaan inisiatif rendah karbon dengan lebih sistematik serta mencapai sasaran pengurangan karbon yang jelas, Kerangka Bandar Rendah Karbon atau Low Carbon Cities Framework (LCCF) yang dibangunkan PBT mempunyai pelan tindakan yang komprehensif dalam melaksanakan program/inisiatif rendah karbon di bandar dan perbandaran masing-masing. Ini menunjukkan bahawa Kerajaan Negeri terus komited untuk mengambil langkah yang perlu dengan mengaplikasikan LCCF dalam dasar-dasar negeri dan rancangan tempatan dengan mengutamakan kepada aplikasi teknologi hijau ke atas bangunan rendah karbon, pengurusan sisa pepejal, pengangkutan, pengurusan air dan persekitaran bandar (urban environment). Dalam memastikan pelaksanaan LCCF lebih sistematik, setiap PBT akan membentuk Jawatankuasa Kerja diperingkat Jabatan bagi menangani isu-isu yang berkaitan alam sekitar dan rendah karbon.

Lampiran

Tiada Lampiran.