Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025

18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025

303) PENGUATKUASAAN TERHADAP LORI SAMPAH HARAM

Tahun: 2025

Sesi: 1

Isu: n/a

Adun: Y.B. Datuk Seri Jamil Bin Salleh

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Pembuangan sampah haram masih berlaku dikebanyakan tempat. Apakah langkah - langkah kerajaan untuk membasmi lori-lori haram yang tidak berdaftar ini supaya tidak mengulangi pembuangan sampah haram di kawasan awam?

    Kerajaan Negeri melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sentiasa komited untuk membasmi aktiviti pembuangan sampah haram yang melibatkan lori sampah haram di kawasan awam di Negeri Selangor. Antara tindakan yang telah diambil oleh PBT adalah seperti berikut:

     

    1. Penguatkuasaan Undang-Undang

    PBT menjalankan operasi penguatkuasaan secara berkala untuk mengesan lori-lori haram yang terlibat dalam aktiviti pembuangan sampah secara haram. Lori yang didapati terlibat dengan aktiviti pembuangan sampah secara haram, akan disita dan tindakan undang-undang akan dikenakan terhadap pemilik dan pemandu lori tersebut.

     

    1. Pengawasan Berterusan

    Pegawai penguatkuasa PBT memantau kawasan-kawasan yang dikenal pasti sebagai tempat pembuangan sampah haram. Ini termasuk menggunakan kamera pengawasan dan melakukan rondaan berkala di kawasan hotspot.

     

    • Kompaun dan Denda

    Pihak yang terlibat dengan aktiviti pembuangan sampah haram termasuk pemilik lori, pemandu lori dan pemilik tanah, dikenakan kompaun dan denda berdasarkan peraturan yang berkuat kuasa.

     

    1. Kerjasama dengan Agensi Lain

    PBT dengan kerjasama dengan lain-lain Jabatan/Agensi seperti Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta Badan Bukan Kerajaan (NGO) melaksanakan inisiatif bagi menangani masalah lori sampah haram. Kerjasama ini dilaksanakan untuk memastikan tindakan bersepadu dapat diambil terhadap lori -lori haram tersebut.

     

    1. Kempen Kesedaran

    PBT juga menjalankan kempen kesedaran kepada masyarakat mengenai bahaya pembuangan sampah haram dan kesan negatif terhadap alam sekitar. Penduduk setempat digalakkan untuk melaporkan aktiviti pembuangan sampah haram kepada pihak berkuasa supaya pelaku dikenakan tindakan sewajarnya.

  2. Apakah tindakan , hukuman atau denda yang dikenakan terhadap lori - lori sampah haram ini?

    Lori yang ditahan dan didapati terlibat dengan aktiviti pembuangan sampah haram akan disita oleh PBT. Selain itu, pemilik lori atau pemandu yang terlibat dalam pembuangan sampah haram turut dikenakan denda kompaun berdasarkan kepada keseriusan kesalahan dan jumlah sampah yang dibuang. Kesalahan yang lebih serius boleh dibawa ke mahkamah dimana pelaku boleh dikenakan hukuman penjara. Hukuman yang boleh dikenakan ke atas pemilik atau pemandu lori yang terlibat dengan aktiviti pembuangan sampah haram adalah seperti berikut:

     

    BIL PERUNTUKAN UNDANG-UNDANG HUKUMAN
    1. Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) i.       Denda tidak melebihi lima ratus ringgit.

    ii.      Sabitan kali kedua atau kali kemudian didenda tidak melebihi satu ribu ringgit.

    2. Undang-Undang Kecil Pemungutan, Pembuangan dan Pelupusan Sampah Sarap 2007 i.       Pengkompaunan kesalahan sejumlah wang yang tidak melebihi satu ribu ringgit bagi kesalahan mengikut tempoh tawaran.

    ii.      Penalti am jika disabitkan kesalahan denda tidak melebihi dua ribu ringgit atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.

    iii.    Kesalahan berterusan boleh sebagai tambahan didenda tidak melebihi dua ratus ringgit bagi setiap hari kesalahan dilakukan.

    3. Undang-Undang Kecil Mencegah Kekotoran (MPPJ) 1999 i.       Pengkompaunan kesalahan dengan sejumlah wang yang tidak melebihi satu ribu ringgit oleh mana-mana pegawai yang diberi kuasa.

    ii.      Disabitkan kesalahan dengan denda tidak melebihi sepuluh ribu ringgit atau satu tahun penjara atau kedua-duanya.

    iii.    Kesalahan berterusan boleh sebagai tambahan didenda sebanyak satu ribu ringgit bagi setiap hari selama kesalahan itu berterusan.

Lampiran

Tiada Lampiran.