Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
15 November 2024, 18-22 November 2024, 25-28 November 2024
160) PENGUATKUASAAN TERHADAP KAWASAN YANG DIMAJUKAN SEBAGAI LOT LIDI DI SUNGAI MERAB
Tahun: 2024
Sesi: 3
Isu: n/a
Adun: Y.B. Datuk Seri Jamil Bin Salleh
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Pemaju kian rancak menjual lot lidi kepada pembeli di kawasan Sg Merab tanpa kelulusan kebenaran merancang. Apakah tindakan kerajaan supaya tidak berulang?
Kerajaan Negeri Selangor tidak pernah mengiktiraf penjualan dan pemilikan tanah lot lidi di negeri Selangor. Ini adalah kerana penjualan tanah lot lidi jelas melanggar syarat nyata tanah itu sendiri di mana tanah-tanah lot lidi yang dijual adalah bersyarat nyata “Pertanian” yang tidak dipohon ditukar syarat atau pecah sempadan di Pejabat Tanah dan Daerah. Bagi membendung aktiviti penjualan lot lidi ini secara berleluasa tanpa mengikut syarat-syarat pembangunan dan pendaftaran hakmilik yang dibenarkan di mana akan memberi kesan langsung kepada pembeli, Mesyuarat Penyelarasan Pentadbiran Tanah/Daerah dan Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Selangor (MPPTDPBTNS) Bil. 1/2018 pada 16 Julai 2018 dan Mesyuarat Pengarah Tanah Dan Galian Selangor Bersama Pentadbir-Pentadbir Tanah Daerah Negeri Selangor Bilangan 3 Tahun 2018 pada 29 Ogos 2018 telah bersetuju untuk menolak semua permohonan Pendaftaran Surat Ikatan Amanah atas semua sebab bagi kesemua lot-lot kecil tanah pertanian di negeri Selangor.
-
Apakah usaha Kerajaan Negeri dalam memastikan pembeli atau bakal pembeli sedar atau tahu risiko membeli lot lidi?
Antara usaha yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri dalam memastikan pembeli atau bakal pembeli sedar tentang risiko membeli lot lidi adalah seperti berikut:
- Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor (PTGS) dan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) sentiasa melaksanakan pelbagai sesi hebahan dan pemakluman kepada orang ramai seperti sesi seminar, poster dan banner berkaitan risiko pembelian tanah secara lot lidi.
- Individu yang ingin membeli tanah dinasihatkan untuk membeli carian rasmi hakmilik di portal awam e-Tanah atau datang sendiri di kaunter PTGS dan PDT yang berhampiran bagi menyemak status hakmilik terlebih dahulu. Pegawai-pegawai di PTGS dan PDT juga bersedia memberi khidmat nasihat kepada individu yang ingin mendapatkan nasihat berkaitan status hakmilik tanah.