Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017

3 November 2017, 06 November hingga 10 November 2017 dan 13 November hingga 16 November 2017

179) PENGUATKUASAAN KEMPEN BEBAS PLASTIK

Tahun: 2017

Sesi: 3

Isu: Kerajaan Tempatan

Adun: Y.B. Datuk Rosni Binti Sohar

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah kerjasama yang dijalin bersama NGO dalam menggiatkan usaha memastikan kempen ini dipatuhi peniaga?

    Kempen #BebasPlastik yang sedang giat dijalankan oleh Kerajaan Negeri dengan kerjasama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) semakin menerima kesan yang positif daripada para peniaga dan pengguna. Pelbagai program dilaksanakan antaranya Program Bazar Ramadan Mampan, Karnival Pengguna #BebasPlastik dan Program Pembersihan Persisiran Pantai bagi memberi kesedaran dan pendidikan kepada orang ramai tentang kempen ini.

    Kerjasama dengan NGO turut dibuat, antaranya bersama Persatuan Tzu Chi. Selain itu, PBT Negeri Selangor banyak menjalankan Kempen #BebasPlastik dan polistirena di peringkat Majlis dengan kerjasama Ahli Majlis, jawatankuasa penduduk serta persatuan peniaga dan penjaja.

  2. Apakah tindakan yang drastik kepada peniaga seandainya masih berdegil?

    Kerajaan Negeri telah mengeluarkan arahan kepada semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) melalui Surat Pekeliling Setiausaha Kerajaan Negeri (SPBT) Bil. 1/2016 dan keputusan MMKN Bil. 21/2016 untuk meletakkan syarat larangan penyediaan beg plastik secara percuma dan larangan penggunaan polistirena dalam syarat-syarat permohonan lesen.

     

    Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) juga melakukan pemeriksaan mengejut ke premis-premis perniagaan, terutamanya pasaraya besar dan superstor bagi memastikan peniaga-peniaga mematuhi syarat-syarat lesen selain mengeluarkan notis amaran kepada peniaga-peniaga yang ingkar. Denda maksimum RM1,000.00 akan dikenakan ke atas peniaga atau atau mana-mana pemegang lesen perniagaan daripada PBT yang melanggar syarat lesen.

     

  3. Apakah terdapat skuad atau badan khusus untuk memastikan penguatkuasaan bebas plastik ini sebagai satu yang serius bukan kempen bermusim?

    Pemantauan, pemeriksaan berjadual dan penguatkuasaan sentiasa dilaksanakan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) tanpa mengira musim untuk memastikan kejayaan Kempen #BebasPlastik dan larangan menggunakan polistirena di kalangan peniaga dipatuhi.

     

     

     

Lampiran

Tiada Lampiran.