Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025
18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025
149) PENGUATKUASAAN CURI TANAH
Tahun: 2025
Sesi: 1
Isu: n/a
Adun: Y.B. Datuk Seri Jamil Bin Salleh
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Kejadian curi tanah berleluasa di kawasan Kampung Semarang, Jenderam Hilir, Sungai Merab dan Bukit Damar. Apakah tindakan penguatkuasa memandangkan perkara ini sudah berlarutan begitu lama dan memberi kesan hakisan dan banjir pada penduduk sekitar?
1.0 Aktiviti pengeluaran, pengalihan dan pengangkutan bahan batuan (tanah) adalah ativiti yang dikawalselia di bawah perundangan Kanun Tanah Negara [Akta 828] di mana anya diselia oleh Pejabat Daerah dan Tanah. Sebarang aktiviti pengeluaran, pengalihan dan pengangkutan bahan batuan tanpa kebenaran dan Permit 4C yang sah adalah merupakan satu kesalahan di Akta 828.
2.0 Sepanjang tahun 2024, sebanyak 35 Permit 4C melibatkan permohonan baharu dan pembaharuan permit telah diluluskan oleh Pejabat Daerah dan Tanah Sepang bagi aktiviti pengeluaran, pengalihan dan pengangkutan bahan batuan di bawah Seksyen 70, Kanun Tanah Negara [Akta 828].
3.0 Unit Penguatkuasan PDT Sepang juga telah menerima pelbagai aduan berkenaan kecurian tanah merah, jalan kotor dan lori keluar masuk yang menganggu dan menimbulkan keresahan orang awam.
4.0 Susulan daripada itu, Unit Penguatkuasaan PDT Sepang telah menahan dan menyita 17 lori dan 3 buah Excavator yang didapati melakukan kesalahan pengeluaran, pengalihan dan pengangkutan bahan batuan secara tidak sah di bawah peruntukan Seksyen 426, Kanun Tanah Negara [Akta 828].
5.0 Unit ini juga telah menjalankan operasi bersepadu bersama Pejabat Tanah dan Galian Selangor bagi membanteras kejadian kecurian tanah merah ini. Jumlah kompaun yang telah berjaya dikenakan sepanjang tahun 2024 adalah RM 210,500.00 melalui 16 kertas siasatan yang telah dibuka.
6.0 Selain daripada itu, tindakan penguatkuasaan bersama pihak polis juga turut dilakukan melalui operasi sekatan jalan raya yang dilakukan dari masa ke semasa.