Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
119) PENGUATKUASAAN CUKAI PINTU BAGI KEDIAMAN KAMPUNG TRADISI, KAMPUNG BARU DAN KAMPUNG BARU NELAYAN
Tahun: 2024
Sesi: 1
Isu: Kewangan & Ekonomi
Adun: Y.B. Tuan Sallehen Bin Mukhyi
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Bila penguatkuasaan akan mula dilaksanakan?
Cukai taksiran kediaman kampung telah dikuatkuasakan mengikut aras tahunan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) masing-masing namun telah diberikan pengecualian selama lapan (8) tahun bermula dari tahun 2016 sehingga 2023. Bagi tahun 2024, Kerajaan Negeri akan meneruskan pengecualian cukai taksiran bagi pemilik kediaman kampung yang memerlukan serta berpendapatan sederhana.
Bagi memastikan proses ini berjalan dengan lancar, PBT akan mula menghantar bil cukai taksiran secara fizikal bagi kediaman kampung selewatnya pada penghujung bulan Februari 2024. Pemilik kediaman kampung yang menepati syarat kelayakan boleh mengemukakan permohonan pengecualian cukai taksiran bermula 1 Mac sehingga 31 Mei 2024 dan setiap keputusan permohonan boleh disemak mulai 1 September 2024.
Syarat kelayakan adalah seperti berikut;
- i) Pemilik pegangan yang mempunyai keluasan kurang dari 2,000 kaki persegi sahaja;
- ii) Pemohon mestilah warganegara Malaysia dan menetap di Negeri Selangor;
- iii) Pendapatan bulanan isi rumah adalah RM5,000.00 dan ke bawah (bagi yang telah berkahwin, ini adalah termasuk pendapatan pasangan yang bukan merupakan warganegara)
- iv) Pemohon hanya layak memohon untuk satu akaun atau satu rumah sahaja; dan
- v) Hanya pemilik harta yang berdaftar sahaja boleh memohon.
-
Apakah jenis-jenis rumah yang terlibat dengan kutipan cukai ini?
Semua jenis kediaman kampung telah dikenakan cukai taksiran akan menerima bil cukai taksiran. Namun, pemilik kediaman yang menepati syarat pengecualian cukai taksiran boleh mengemukakan permohonan.
-
Berapakah jangkaan jumlah keuntungan setahun bagi tiap-tiap pihak berkuasa tempatan sekiranya kutipan ini mula dilaksanakan?
Jumlah cukai taksiran kediaman kampung diseluruh PBT Negeri sejumlah RM11.22 Juta melibatkan 98,483 bilangan pegangan.