Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015

30 Mac - 3 April 2015 dan 6 April - 9 April 2015

192) PENGUASAAN JKKK TERHADAP DASAR-DASAR KERAJAAN NEGERI

Tahun: 2015

Sesi: 1

Isu: Pembangunan Kampung

Adun: Y.B. Tuan Haji Saari Bin Sungib

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah tahap penguasaan JKKK di seluruh Selangor terhadap dasar-dasar utama kerajaan?

    Sebelum pelantikan Ketua Kampung Tradisi yang terbaru pada tahun 2015, penilaian JKKK adalah dibuat melalui Borang Penilaian Prestasi. Penilaian ini dibuat oleh Penghulu dan Penolong Pegawai Daerah Bahagian Pembangunan untuk menilai prestasi Ketua Kampung. Pelbagai kriteria dinilai terhadap Ketua Kampung antaranya berkaitan Sasaran Kerja Tahunan, kegiatan dan sumbangan yang diberikan oleh Ketua Kampung, pengetahuan dan kemahiran yang dimiliki oleh Ketua Kampung, kualiti peribadi, jalinan hubungan dan kerjasama yang dimiliki dan beberapa kriteria lain. Walau bagaimanapun, untuk Ketua Kampung lantikan tahun 2015, tahap penguasaan JKKK terhadap dasar-dasar utama kerajaan belum lagi dapat diukur pada masa ini. Hal ini terjadi kerana Ketua Kampung baru sahaja dilantik pada 1 Februari 2015 yang lepas dan terdapat kampung yang baru mewujudkan JKKK selepas pelantikan Ketua Kampung dibuat. Sehubungan itu, tahap penguasaan JKKK hanya akan dapat diukur bermula pada bulan Ogos ini. Selain itu, Kerajaan Negeri juga akan mengadakan Pertandingan Anugerah Kampung Tradisi Terbaik Negeri Selangor Tahun 2015. Penilaian akan dibuat untuk mengukur keupayaan JKKK berdasarkan kriteria-kriteria berikut :

    • Kepimpinan;
    • Penyediaan profil kampung yang dikemaskini;
    • Pengwujudan biro-biro dalam organisasi JKKK; dan
    • Pengurusan mesyuarat
  2. Apakah kaedah penilaian yang digunakan bagi mengukur keupayaan seluruh JKKK?

    Sama seperti di SUB(a)

  3. Apakah faktor-faktor yang menyebabkan wujud jurang di segi keupayaan antara JKKK dalam dan luar bandar?

    Terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan wujudnya jurang dari segi keupayaan antara JKKK di dalam dan luar bandar. Antara faktor-faktor utama ialah dari segi kemudahan akses kepada ilmu pengetahuan, pembangunan modal insan, dan sumber kewangan bagi memajukan kampung. Bagi JKKK yang tinggal di dalam kawasan bandar, ada antara ahlinya yang bekerja dalam sektor profesional. Sehubungan itu, mereka mempunyai sumber kewangan yang lebih banyak berbanding JKKK yang tinggal di kawasan luar bandar. Oleh yang demikian selain peruntukan RM10,000.00 yang diterima daripada Kerajaan Negeri, JKKK di kawasan bandar mempunyai sumber kewangan daripada sumber yang lebih luas.

Lampiran

Tiada Lampiran.