Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

15 November 2024, 18-22 November 2024, 25-28 November 2024

312) PENGLIBATAN WARGA ASING DALAM PERNIAGAAN

Tahun: 2024

Sesi: 3

Isu: n/a

Adun: Y.B. Dato' Noorazley Bin Yahya

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Bagaimanakah penglibatan warga asing dalam perniagaan mempengaruhi ekonomi tempatan di Selangor?

    Penglibatan warga asing dalam perniagaan di Selangor boleh memberi kesan negatif kepada ekonomi tempatan dengan mengurangkan peluang pekerjaan untuk rakyat tempatan, mencetuskan persaingan tidak sihat, mengakibatkan aliran wang keluar serta salah satu punca masalah sosial. Warga asing adakalanya menawarkan harga yang lebih rendah, yang boleh merugikan peniaga tempatan. Namun, jika dikawal dengan betul, penglibatan mereka juga boleh memberi manfaat dalam sektor tertentu dengan membawa kemahiran atau pengalaman tambahan. Oleh itu, penguatkuasaan yang ketat dan pemantauan terhadap warga asing dalam perniagaan adalah penting untuk melindungi kepentingan ekonomi dan sosial tempatan.

  2. Bagaimanakah pihak berkuasa memantau dan mengawal aktiviti perniagaan warga asing di PBT Selangor?

    Pihak berkuasa di Negeri Selangor mengambil langkah proaktif untuk memastikan perniagaan yang dijalankan oleh warga asing mematuhi undang-undang tempatan. Pemantauan dan penguatkuasaan yang ketat dilaksanakan untuk melindungi kepentingan peniaga tempatan dalam sektor perniagaan. Tindakan tegas seperti sitaan, pembatalan lesen, dan operasi bersepadu dilaksanakan bagi memastikan bahawa perniagaan yang dijalankan mematuhi peraturan dan tidak memberi ruang kepada aktiviti perniagaan yang tidak sah atau melanggar syarat pelesenan.

  3. Apakah cabaran utama yang dihadapi oleh warga asing dalam menjalankan perniagaan di Selangor?

    Antara cabaran utama yang dihadapi oleh warga asing dalam menjalankan perniagaan di Selangor :

     

    1. Pematuhan kepada Peraturan dan Perundangan: Warga asing perlu mematuhi peraturan untuk mendapatkan lesen perniagaan, termasuk perlu mengemukakan dokumen sah seperti pas pekerja dan permit yang sah daripada Jabatan Imigresen. Kegagalan untuk mematuhi syarat-syarat ini menyebabkan peniaga warga asing ini tidak dapat memperolehi lesen atau permit.

     

    1. Kesukaran Mendapatkan Lesen Perniagaan: Peniaga warga asing menghadapi kesukaran dalam memperoleh lesen perniagaan, terutamanya kerana tidak dibenarkan untuk memohon lesen penjaja dan kelulusan lesen hanya diberikan jika semua syarat pelesenan dipatuhi.

     

    1. Eksploitasi Pekerja Asing: Terdapat isu eksploitasi terhadap pekerja asing, terutamanya dari segi gaji yang tidak setimpal, keadaan tempat kerja yang tidak selesa, dan jam kerja yang panjang.

     

    1. Kekurangan Sumber Penguatkuasa: Kekangan jumlah anggota Jabatan Imigresen, Polis Diraja Malaysia, dan PBT menyebabkan kesukaran untuk melakukan pemantauan dan tindakan penguatkuasaan yang lebih kerap terhadap premis perniagaan warga asing.

     

    1. Lesen Ali Baba: Warga asing sering membeli lesen perniagaan dari individu tempatan yang tidak bertanggungjawab (lesen Ali Baba) bagi menjalankan perniagaan. Perkara ini menyebabkan isu pemantauan pemantauan pematuhan peraturan undang-undang menjadi sukar.

     

    1. Kadar Sewaan Tinggi: Pemilik premis yang menyewakan premis kepada warga asing sering mengenakan kadar sewaan yang tinggi, menjadikan perniagaan lebih mahal bagi warga asing dan mendorong mereka untuk mencari jalan pintas dengan membeli lesen atau menjalankan perniagaan tanpa lesen yang sah.

Lampiran

Tiada Lampiran.