Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2014

16 Jun 2014 hingga 18 Jun 2014

63) PENGHAPUSAN KUOTA DISKAUN 7% BUMIPUTERA

Tahun: 2014

Sesi: 2

Isu: Perumahan

Adun: Y.B. Datuk Halimaton Saadiah Binti Bohan

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah langkah kerajaan untuk memastikan golongan kurang berada dapat memiliki rumah dengan penghapusan kuota diskaun 7% pembelian rumah Bumiputera ini?

    Bermula 1 Januari 2014, Kerajaan Negeri telah memperkenalkan dasar perumahan yang baru yang dikenali sebagai Dasar Perumahan Mampu Milik (Rumah Selangorku) bagi menggantikan dasar perumahan sebelum ini yang dikenali sebagai Dasar 20:20:10 (bagi kawasan Dalam Lembah Klang) atau 20:10:10 (bagi kawasan Luar Lembah Klang) yang telah digunapakai sejak dari tahun 2000 lagi. Pengenalan Dasar Rumah Selangorku ini mengambil kira keperluan bagi penyediaan rumah daripada harga jualannya RM42,000.00 hingga RM250,000.00 seunit mengikut jenis dan saiz serta berdasarkan kawasan pembangunan perumahan yang telah dipecahkan kepada tiga (3) Zon iaitu Zon 1 (kawasan bandar utama dalam Lembah Klang), Zon 2 dan Zon 3 (kawasan Luar Bandar / luar Lembah Klang). Dengan penetapan syarat keperluan penyediaan Rumah Selangorku iaitu di antara 20% sehingga 50% daripada keseluruhan unit rumah yang perlu dibina bagi sesuatu kawasan pembangunan berdasarkan kepada keluasan saiz tanah pembangunan, Kerajaan Negeri secara tidak langsung akan dapat mengawal sehingga 50% penyediaan rumah pada harga kawalan yang mana ia akan dapat dinikmati oleh semua golongan sama ada pembeli Bumiputera atau bukan bumiputera yang layak berdasarkan kepada syarat-syarat yang telah ditetapkan.

  2. Nyatakan kesan positif kepada sosioekonomi rakyat Selangor dengan langkah penghapusan kuota 7% ini?

    Berkenaan dengan 7% diskaun Bumiputera, Kerajaan Negeri berpandangan harga rumah di bawah skim Rumah Selangorku merupakan harga kawalan yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Negeri yang mana kos pembinaannnya adalah lebih tinggi berbanding harga jualan yang telah ditetapkan. Contohnya; Kos Pembinaan sahaja bagi Apartment yang mempunyai keluasan 800 kaki persegi adalah sekurang-kurangnya RM120 kaki persegi. Kos ini tidak termasuk kos infrastruktur dan kos tanah. Ini dapat dibuktikan sebagaimana cadangan pelaksanaan Projek Perintis Rumah Selangorku Kerajaan Negeri di Ukau Indah, Sungai Sering yanga mana kos pembinaan bagi seunit rumah jenis Apartment bersaiz 900-1,000 kaki persegi sahaja adalah diantara RM200,000-RM240,000.00 seunit tidak termasuk kos tanah yang ianya milik Menteri Besar Incorporated (MBI). Sehingga kini rumah-rumah berharga

    RM42,000.00 sememangnya tidak pernah diberi diskaun 7% semenjak tahun 2000 lagi. Dari itu tidak timbul isu ianya akan membebankan mereka.

    Oleh yang demikian, sekiranya harga jualan tersebut masih perlu diberikan diskaun akan lebih membebankan pemaju yang mana langkah utama yang akan diambil adalah meningkatkan harga jualan rumah jenis bebas bagi menampung subsidi yang tinggi terhadap keperluan penyediaan rumah mampu milik yang telah ditetapkan. Di samping itu, ia dapat memberi galakan kepada pemaju untuk membina lebih banyak rumah mampu milik sebagai salah satu tanggungjawab sosial terhadap masyarakat. Ia juga secara tidak langsung dapat mengurangkan atau mengawal ketidakpatuhan pemaju yang tidak membina rumah-rumah mampu milik sebagaimana yang berlaku sebelum ini yang mana Kelulusan Kebenaran Merancang / Pelan Susunatur diberikan oleh PBT tetapi sehingga kini ianya tidak dibina seperti yang berlaku di sesetengah PBT berdasarkan rekod lebih daripada 35,000 unit Rumah Kos Rendah, Rumah Kos Sederhana Rendah dan Rumah Kos Sederhana telah diluluskan sejak dari tahun 2000 tetapi sehingga kini masih belum dibina. Walau bagaimanapun, Kuota Jualan Bumiputera masih lagi kekal sebagaimana yang ditetapkan dalam ‘Blue Print’ Perumahan Selangor.

Lampiran

Tiada Lampiran.