Mesyuarat Kedua (Bajet) Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021
26 November 2021, 29 November - 30 November 2021, 1 Disember - 3 Disember 2021 dan 6 Disember - 9 Disember 2021
39) PENGGUNAAN TAPAK TANAH PERKUBURAN ISLAM BAGI TUJUAN LAIN
Tahun: 2021
Sesi: 2
Isu: Alam Sekitar
Adun: Y.B. Tuan Syamsul Firdaus Bin Mohamed Supri
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah boleh digunakan tapak tanah perkuburan Islam bagi aktiviti lain selepas pewartaannya?
Tapak Perkuburan yang telah diwartakan tetapi masih kosong dan belum digunakan dengan kelulusan Pegawai Pengawal iaitu Pengarah JAIS. Aktiviti yang hendak dijalankan di atas tapak perkuburan tersebut mestilah aktiviti yang sah dan mematuhi undang-undang yang masih berkuatkuasa dan bersifat sementara.
-
Bagaimana jika ia telah digunakan bagi aktiviti lain sebelum pewartaannya?
Aktiviti yang dijalankan sebelum tapak tersebut diwartakan adalah di bawah tanggungjawab Pentadbir Tanah Daerah. Walau bagaimanapun, apabila tapak tersebut telah diwartakan di bawah kawalan Pengarah JAIS, pihak-pihak yang menjalankan aktiviti tersebut perlu mengemukakan permohonan penggunaan tanah tersebut kepada Pengarah JAIS.
-
Apakah langkah yang perlu untuk melindungi tapak tanah itu dari digunakan bagi aktiviti lain?
Pada masa ini, pihak JAIS telah mengambil beberapa langkah untuk melindungi tapak tanah tersebut daripada digunakan tanpa kebenaran bagi aktiviti lain seperti berikut: –
- Melaksanakan pemantauan ke atas tapak-tapak yang telah diwartakan di bawah kawalan Pengarah JAIS.
- Bekerjasama dengan Pejabat Daerah/Tanah dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi tujuan menguatkuasakan peraturan di bawah Kanun Tanah Negara.
- Melaksanakan dasar membuka penggunaan tanah dengan kebenaran pegawai pengawal bagi tujuan mewujudkan mekanisme penyelenggaraan tapak di bawah kelolaan JAIS.