Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2022

25 Julai - 29 Julai 2022 dan 01 Ogos - 05 Ogos 2022 (Isnin - Jumaat dan Isnin - Jumaat)

202) PENGGUNAAN SAINS , TEKNOLOGI DAN INOVASI

Tahun: 2022

Sesi: 2

Isu: Sains, Teknologi & ICT

Adun: Y.B. Puan Haniza Binti Mohamed Talha

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah tahap penggunaan STI dalam pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor?

    Penggunaan Sains, Teknologi & Inovasi (STI) dalam pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor boleh dilihat menerusi proses pengukuhan dan pemantapan digitalisasi sistem penyampaian perkhidmatan Kerajaan Negeri. Pelbagai projek atau inisiatif telah dikenalpasti di bawah empat (4) domain perkhidmatan; Smart Government, Smart Economy, Smart Community dan Smart Digital Infrastructure; untuk menjayakan agenda Smart Selangor.  Antara projek atau inisiatif yang telah dilaksanakan adalah seperti berikut :

     

    1. Smart Selangor C5i Operation Centre Project

    Penubuhan Pusat Kawal Selia Berpusat untuk membolehkan kolaborasi data dari pelbagai jabatan Kerajaan Negeri bagi keperluan pengurusan bencana, pengawasan, analisis Big Data dan sebagainya di peringkat pentadbiran Kerajaan Negeri.

     

    1. Cashless Society – Citizen E-Payment

    Aplikasi mobil yang merupakan gerbang atau platform digital bagi semua perkhidmatan berbayar Kerajaan Negeri di pelbagai peringkat berasaskan keperluan rakyat dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT), agensi negeri, institusi kewangan dan pemain e-dompet.  Ini menggalakkan kerjasama pelbagai pemegang taruh dengan sektor swasta sekali gus memacu inovasi dalam pembayaran elektronik, teknologi kerajaan (Govtech) dan teknologi kewangan (Fintech).

     

    • Closed-Circuit Television (CCTV) Analytics

    Smart Selangor CCTV dilengkapi dengan keupayaan analitik yang bersesuaian untuk pengesanan sesuatu insiden bagi membolehkan pemantauan yang lebih berkesan di kalangan anggota penguatkuasa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan juga pengoperasian di Smart Selangor C5i Operations Centre menggunakan sistem kamera pintar.

     

    1. Sistem Permohonan Bantuan Kewangan di Pejabat ADUN Selangor

    Sistem ini sedang dibangunkan oleh Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) secara rintis (pilot) di lima (5) pejabat ADUN terpilih iaitu (i) ADUN Seri Setia, (ii) ADUN Kinrara, (iii) ADUN Bukit Melawati, (iv) ADUN Sungai Tua, dan (v) ADUN Banting serta dua (2) Pejabat Tanah dan Daerah untuk menguruskan permohonan dan penyaluran bantuan kewangan tahunan YB ADUN.  Tiga (3) proses utama yang terlibat adalah seperti berikut:

    • Proses permohonan bantuan kewangan oleh pemohon
    • Proses mengemaskini maklumat pemohon oleh pejabat ADUN.
    • Proses mengemakini status permohonan dan pemantauan permohonan bantuan secara real time oleh Pejabat Daerah dan Tanah (PDT)

     

    Sistem ini dikhususkan penggunaannya kepada pemohon, Pegawai Pejabat ADUN yang mengendalikan bantuan kewangan dan Pegawai di peringkat PDT pelaksana.

     

    Sistem ini akan diperluaskan pelaksanaannya kepada lima puluh satu (51) pejabat ADUN selebihnya dan sembilan (9) PDT.

     

    1. Sistem eMMKN

    Sistem eMMKN bertitik tolak daripada Keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) bagi pelaksanaan mesyuarat secara digital sepenuhnya seiring dengan kemajuan teknologi bagi memudahkan capaian oleh YB AMMKN yang terlibat bagi memastikan urusan Kerajaan Negeri berjalan lancar.

     

    1. Sistem Pakej Kita Selangor 2.0

    Pakej Kita Selangor 2.0 (PKS 2.0) telah dilancarkan oleh Y.A.B Dato’ Menteri Besar pada 9 Jun 2021.  PKS 2.0 ini mempunyai tiga (3) strategi dan 26 inisiatif selaras dengan iltizam Kerajaan Negeri Selangor untuk menjaga kebajikan dan kelangsungan kehidupan rakyat Negeri Selangor, memastikan kelestarian ekonomi serta perniagaan dan kawalan kesihatan untuk mengekang penularan wabak COVID-19.  Sistem PKS 2.0 memudahkan permohonan bantuan secara dalam talian dan menyediakan paparan pemuka (dashboard) untuk memantau bilangan permohonan dan baki bantuan.

     

     

    • Projek Rintis Pembangunan Sistem Pemantauan Sungai (Domain Infrastruktur Digital)

    Prototaip untuk mengesan lokasi punca-punca pencemaran yang berisiko dan lokasi yang berpotensi menyebabkan pencemaran, seterusnya memantau punca-punca itu secara berterusan di sungai terpilih yang membekalkan air mentah di Selangor. Sistem pemantauan sungai ini memfokus kepada kekangan insiden pencemaran sebelum bahan pencemar masuk ke dalam sungai dan bukannya pengurusan selepas bahan pencemar telah memasuki sungai.

  2. Sektor manakah yang paling terkedepan dalam penggunaan STI?

    Sektor yang paling kedepan dalam penggunaan STI merupakan Sektor Pendidikan. Kerajaan Negeri Selangor telah menyediakan insentif melalui program-program pembangunan Latihan Kemahiran Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) Negeri Selangor yang telah bermula pada tahun 2015 sehingga kini. Program-program ini melibatkan pelajar-pelajar sekolah rendah dan menengah serta pelajar-pelajar daripada Institusi Pengajian Sektor Awam (IPTA) dan Institusi Pengajian Sektor Swasta (IPTS) di Negeri Selangor. Kerajaan Negeri telah mengambil langkah untuk menggalakkan pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) bermula pada tahun 2017 di mana program-program STEM dan Inovasi telah diserap ke dalam program Karnival Pendidikan Negeri Selangor.

     

    Pada tahun 2018, Program STEM juga telah dilibatkan dalam Karnival Pendidikan melalui Pertandingan Inovasi antara sekolah-sekolah dan pameran STEM dengan kerjasama National STEM Movement. Pameran ini telah dilaksanakan dengan kerjasama dengan pelbagai IPT dan berjaya menarik pengunjung daripada pelbagai lapisan umur masyarakat. Selain itu, pada tahun 2019, Kerajaan Negeri telah menjadikan Program Pembangunan Inovasi dan Pendidikan sebagai salah satu agenda kepada pembangunan pendidikan Negeri Selangor. Pemerkasaan terhadap penggunaan STI masih diteruskan dalam Sektor Pendidikan. Sehingga tahun 2021, beberapa program berkaitan STI di bawah Jawatankuasa Tetap Pembudayaan Inovasi dan Smart Selangor telah dilaksanakan seperti berikut :

     

    1. Program Pembangunan Latihan/Kursus Kemahiran Sains Teknologi dan Inovasi (STI)

    Kerjasama dengan pihak Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) bagi memberikan pendedahan dan kemahiran asas dalam bidang-bidang berkaitan Sains, Teknologi dan Inovasi untuk pelajar menengah atas dari sekolah-sekolah yang telah dikenal pasti di seluruh Selangor.

     

     

    1. Program Science, Technology, Engineering, Mathematics (STEM) Selangor

    Kerjasama dengan pihak Malaysian Association of Creativity & Innovation (MACRI) bagi menarik minat dan meningkatkan bilangan pelajar dalam memilih jurusan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan Sains, Teknologi dan Inovasi khususnya dalam kehidupan seharian serta memberi pendedahan kepada golongan pelajar di peringkat rendah dan menengah mengenai pentingnya sains dan teknologi terkini dan pelbagai kemahiran yang dapat melahirkan inovasi untuk pembangunan Negeri Selangor ke arah Selangor Smart State menjelang tahun 2025.

     

    • Program Bengkel Rantai Nilai Inovasi (BERNAS)

    Kerjasama dengan pihak Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) bagi melaksanakan program lanjutan pengukuhan pemahaman, latihan serta penilaian khusus untuk pelajar tahun akhir dan graduan dalam bidang kejuruteraan, sains hayat, teknologi maklumat dan multimedia. Program ini dapat meningkatkan kemahiran para graduan dalam memahami dan menyampaikan idea teknikal mereka dengan tepat dan ringkas terutamanya dari perspektif industri. Program ini telah berjaya meningkatkan kefahaman tentang rantai nilai inovasi serta kemahiran dalam mencanang idea-idea baru serta turut menggalakkan para graduan supaya dapat membangunkan idea dan inovasi baru.

     

    1. Program Science, Technology and Innovation (STI) Boot Camp untuk pelajar sekolah, pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dan guru dalam negeri Selangor

    Kerjasama dengan pihak Universiti Selangor (UNISEL). Program ini merupakan program untuk menghasilkan pelajar-pelajar yang berupaya membangunkan aplikasi digital seiring dengan inspirasi Smart Selangor. Antara kursus yang ditawarkan adalah :

    • Kursus Rekabentuk Kreatif Aplikasi Permainan Mudah Alih dengan menggunakan perisian MIT App Inventor
    • Kursus Little Data Scientist Using Excel Dashboard
    • Kursus Usahawan Digital
    • Kursus Aplikasi Pengajaran Interaktif Dalam Talian menggunakan ICT untuk guru
  3. Berapakah jumlah peruntukan dan peratus daripada Belanjawan yang dikhaskan untuk STI?

    Jumlah peruntukan yang dikhaskan adalah sebanyak RM1.35 juta di bawah Jawatankuasa Tetap Pembudayaan Inovasi dan Smart Selangor tahun 2022 bersamaan sebanyak 0.06% daripada Belanjawan Selangor 2022.

Lampiran

Tiada Lampiran.