Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

91) PENGGUNAAN POLESTERIN

Tahun: 2024

Sesi: 1

Isu: Kerajaan Tempatan

Adun: Y.B. Tuan Chua Wei Kiat

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Adakah polestrin masih dibenarkan untuk guna di Negeri Selangor?

    Penggunaan polisterina tidak dibenarkan di Negeri Selangor berdasarkan kepada keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Ke 21/2016 bertarikh 23 Jun 2016. Pelaksanaan larangan ini telah berkuatkuasa sepenuhnya pada bulan Januari 2017 dan masih diteruskan sehingga kini melibatkan semua jenis perniagaan di Negeri Selangor termasuk premis makanan dan pasar malam.

  2. Apakah langkah Kerajaan Negeri bagi mengurangkan penggunaan polestrin di Selangor?

    Kerajaan Negeri Selangor sentiasa memastikan penggunaan polisterina dikurangkan dan tidak lagi digunakan di kalangan masyarakat. Ianya dipergiatkan dengan penganjuran kempen-kempen kesedaran alam sekitar yang menfokuskan kepada kesan penggunaan bekas polisterina terhadap alam sekitar dan kesihatan serta menggalakkan masyarakat untuk membawa sendiri bekas makanan dan minuman.

    Kerajaan Negeri dengan kerjasama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) telah mengadakan pelbagai program/aktiviti kesedaran dan pendidikan seperti berikut:

    • Menjalankan penguatkuasaan secara berterusan oleh PBT ke atas premis-premis perniagaan yang berlesen;
    • Menggalakkan premis-premis perniagaan memaparkan notis kempen tiada beg plastik dan polisterina dan menyediakan bekas alternatif yang boleh diguna semula dengan harga yang berpatutan;
    • Mengadakan Kempen Bebas Plastik dan Polisterina di setiap acara/program Kerajaan Negeri dan PBT seperti Hari Tanpa Kenderaan, Pesta Pantai, Fun Ride dan lain-lain yang menyokong ke arah kelestarian alam sekitar;
    • Menjadikan bekas makanan/minuman dan beg guna semula sebagai salah satu pemberian/sumbangan semasa program atau acara bersama komuniti; dan
    • Mengadakan program khas membawa bekas makanan sendiri di bazar-bazar ramadhan dan pasar malam dengan memberikan insentif berbentuk kupon kepada pengguna yang menyertai program tersebut.
  3. Adakah kerajaan mempunyai hasrat untuk haramkan penggunaan polestrin?

    Berdasarkan kepada keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Ke 21/2016 bertarikh 23 Jun 2016, Kerajaan Negeri Selangor akan terus menguatkuasakan larangan penggunaan polisterina bukan sahaja di premis-premis perniagaan, malah larangan ini akan dilaksanakan di bangunan/organisasi Kerajaan dan swasta.

    Larangan ini merupakan satu bentuk langkah kawalan dalam menjaga persekitaran dan memberi kesedaran kepada masyarakat. Kerajaan Negeri juga dalam perancangan untuk menangani isu ini dengan pendekatan serta perspektif nasional seterusnya beralih kepada material yang lebih mesra alam. Antara tindakan yang boleh diambil oleh PBT adalah:

    • PBT wajar menyemak dan memastikan syarat larangan penggunaan polisterina telah diletakkan dalam syarat-syarat permohonan lesen premis perniagaan;
    • Mengedarkan semula notis larangan penggunaan polisterina kepada semua premis perniagaan, bangunan Kerajaan dan swasta;
    • Mengadakan sesi dialog atau townhall bersama pengusaha, pengilang dan persatuan perniagaan bagi menjelaskan dasar/polisi Kerajaan Negeri agar dapat menangani isu-isu tersebut dengan lebih berkesan; dan
    • Menjalankan penguatkuasaan secara bersepadu di semua premis perniagaan berdasarkan peraturan semasa yang berkuatkuasa.

Lampiran

Tiada Lampiran.