Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022
14 Mac 2022 - 18 Mac 2022 Dan 21 Mac 2022 - 25 Mac 2022 (Isnin - Jumaat, dan Isnin - Jumaat)
66) PENGGUNAAN PERUNTUKAN UNTUK PENGHASILAN KANDUNGAN MULTIMEDIA BUAT AHLI DEWAN NEGERI
Tahun: 2022
Sesi: 1
Isu: Sains, Teknologi & ICT
Adun: Y.B. Tuan Edry Faizal Bin Eddy Yusof
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah yang menghalang Kerajaan Negeri daripada membenarkan sebahagian peruntukan DUN digunakan untuk kos penghasilan kandungan (content) multimedia misalnya video penerangan dan infografik?
Peruntukan Ahli Dewan Negeri dibiayai menerusi Vot Pembangunan P01 (Pejabat Menteri Besar dan Setiausaha Kerajaan Negeri) PK4-04004 – Perkhidmatan Masyarakat yang diselaraskan oleh Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor. Jumlah agihan peruntukan ADN buat masa ini adalah seperti LAMPIRAN A – Pindaan Kali Pertama.
Peruntukan ini disalurkan setiap tahun ke Akaun Bank Pegawai Pengawal iaitu Pegawai Daerah dan baki peruntukan yang tidak dibelanjakan adalah dibenarkan dibawa ke tahun seterusnya setelah mendapat kelulusan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan) / Pengarah UPEN.
Bagi memastikan pengurusan peruntukan ADN adalah selari dengan prinsip keupayaan, kebertanggungjawaban dan ketelusan, Kerajaan Negeri melalui Perbendaharaan Negeri Selangor telah menyediakan Garis Panduan Penggunaan Peruntukan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (AMMKN) dan Ahli Dewan Negeri Selangor (ADN) telah disediakan. Pada masa ini, garis panduan terkini adalah seperti yang terkandung di dalam Pekeliling Perbendahaan Negeri Selangor (PPNS) Bilangan 1 Tahun 2019.
Penggunaan peruntukan ADN yang digariskan di dalam PPNS Bil.1/2019 adalah seperti berikut:
i) Pengurusan Pejabat ADN
Kos perbelanjaan pengurusan pejabat tidak melebihi RM72,000 setahun bagi penyewaan ruang pejabat, penyewaan mesin fotostat, penyelenggaraan pejabat, pembayaran bil utility, pembelian computer, pencetak, alat tulis, perbelanjaan mesyuarat serta lain-lain peralatan dan keperluan dalam pengurusan pejabat.
ii) Projek-projek Kecil
Projek kecil merangkumi perolehan kerja bagi projek infrastruktur, kemudahan awam termasuk penyelenggaraan. Kos bagi setiap satu Projek Kecil hendaklah tidak melebihi RM50,000.00 dan proses perolehan serta pengurusan kontrak hendaklah dibuat melalui Pejabat Daerah dan Tanah.
Projek-projek kecil perlu dilaksanakan pada kadar sekurang-kurangnya 30 peratus daripada peruntukan yang diberi selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri meningkatkan kualiti infrakstruktur awam dan infrastruktur asas yang dapat dimanfaatkan oleh setiap lapisan masyarakat di kawasan masing-masingiii) Sumbangan Kemasyarakatan Secara Tunai
Sumbangan tunai diberikan kepada setiap penerima (individu/persatuan) adalah tidak melebihi RM10,000.00 setahun dan bukanlah sumbangan bulanan.
iv) Program dan Aktiviti Mesra Rakyat
Program Mesra Rakyat seperti program turun padang, sesi dialog bersama rakyat, ziarah, program menceriakan kawasan sempena perayaan, program belia dan sosial, program-program kemasyarakatan termasuk perolehan pembelian barang-barang serta perkhidmatan boleh dilaksanakan tidak melebihi RM20,000.00 bagi setiap program.
v) Wang Pendahuluan ADN
Setiap ADN dperuntukkan sejumlah RM50,000.00 pada setiap masa bagi Wang Pendahuluan daripada peruntukan ADN bagi tujuan sumbangan/bantuan kepada mangsa bencana alam, kebakaran/kemalangan.
vi) Pengubahsuaian Pejabat ADN
Setiap ADN dibenarkan membuat kerja-kerja pengubahusaian pejabat sekali sahaja setiap lima (5) tahun dengan menggunakan peruntukan ADN dan tidak melebihi RM20,000.00.
Perbendaharaan Negeri Selangor juga dari semasa ke semasa mengeluarkan surat arahan/surat pekeliling bagi peluasan penggunaan peruntukan ADN selaras dengan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri berdasarkan keperluan semasa semasa pendemik COVID-19, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan bencana banjir Negeri Selangor.
Pekeliling Perbendaharaan Negeri Selangor (PPNS) Bilangan 1 Tahun 2019 turut dilampirkan bersama sebagai penduan penuh.