Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor Tahun 2023
13 Mac 2023 - 17 Mac 2023 (Isnin - Jumaat)
93) PENGGUNAAN KENDERAAN ELEKTRIK DI AGENSI ATAU JABATAN KERAJAAN DI NEGERI SELANGOR
Tahun: 2023
Sesi: 1
Isu: Alam Sekitar
Adun: Y.B. Tuan Mohd Sany Bin Hamzan
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah pihak kerajaan berhasrat menggunakan kenderaan elektrik di agensi atau jabatan kerajaan yang terdapat di Negeri Selangor?
Perkembangan trend semasa turut menyaksikan permintaan terhadap kenderaan elektrik (EV) sedang melonjak di seluruh dunia. Di Malaysia, kerajaan telah mula mengatur langkah dalam penggunaan EV dengan melaksanakan pelbagai dasar untuk merancakkan industri ini. Inisiatif ini adalah selari dengan strategi yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) dan Pelan Pembangunan Mobiliti Rendah Karbon (Low Carbon Mobility Blueprint) 2021-2030 (LCMB) yang dibangunkan oleh Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) dan Kementerian Pengangkutan yang menekankan aspek pengurangan penggunaan tenaga dan pelepasan GHG melalui penggunaan mobiliti elektrik.
Negeri Selangor turut berhasrat menjadi negeri peneraju dalam penggunaan kenderaan elektronik (EV). Kerajaan Negeri menyambut baik cadangan dan akan mengkaji lebih mendalam ke atas pelaksanaannya ini. Kerajaan Negeri juga sedang mempertimbangkan penggunaan kenderaan EV sebagai kenderaan rasmi Jabatan dalam usaha meningkatkan penggunaan kenderaan tersebut, namun cadangan ini tertakluk kepada kelulusan dasar dan peruntukan sedia ada Kerajaan Negeri. Inisiatif ini akan dilaksanakan secara berperingkat dan ianya menunjukkan komitmen Kerajaan Negeri sebagai pelopor bagi pembangunan EV di Malaysia dengan kepimpinan melalui tauladan kepada pelabur, sektor swasta, korporat dan orang awam. Setakat ini, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang telah memulakan inisiatif penggunaan kenderaan EV sebagai kenderaan rasmi jabatan adalah seperti Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Majlis Bandaraya Shah Alam, Majlis Perbandaran Ampang Jaya dan Majlis Perbandaran Hulu Selangor.
Untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat, Mesyuarat Majlis Tindakan Perubahan Iklim Negara (MyCAC) Bil. 1/2022 yang telah diadakan pada 21 Jun 2022 yang dipengerusikan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri telah bersetuju dan meluluskan cadangan supaya Kementerian/Jabatan/Agensi yang menganjurkan acara-acara besar menggunakan kenderaan EV sebagai kenderaan rasmi Kerajaan dengan mewajibkan penaja kenderaan menggunakan EV sahaja. Antara faedah dari inisiatif ini adalah:
- dapat mengurangkan pelepasan GHG;
- kos pembelian kenderaan untuk acara-acara besar tidak menggunakan dana Kerajaan kerana lazimnya ditaja oleh syarikat swasta;
- menjimatkan kos bahan api dan subsidi kerajaan; dan
- melonjakkan ekosistem EV.
Dalam masa yang sama, Kerajaan Negeri juga turut menyasarkan sebanyak 1,000 pengecas EV akan dipasang diseluruh negeri pada tahun 2023 dengan kerjasama pihak swasta. Pelan Pembangunan Mobiliti Rendah Karbon (Low Carbon Mobility Blueprint) 2021-2030 (LCMB) yang dibangunkan oleh Kementerian Alam Sekitar dan Air dan Kementerian Pengangkutan turut menetapkan fokus utama iaitu pengurangan penggunaan tenaga dan pelepasan GHG melalui penggunaan mobiliti elektrik.
Secara kesimpulannya, langkah permulaan ini akan dapat melonjakkan ekosistem EV termasuk penggunaan EV di kalangan rakyat dan ketersediaan stesen pengecaj EV. Inisiatif ini juga menunjukkan komitmen Kerajaan Negeri untuk mencapai GHG sifar bersih menjelang tahun 2050 selain dapat mencerminkan konsep kepimpinan melalui tauladan dalam pembangunan ekosistem EV yang menyeluruh. Ia dapat menarik pelaburan dalam industri EV yang seterusnya akan mewujudkan peluang pekerjaan hijau baharu serta menggalakkan pemindahan teknologi dalam negara.