Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023

10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)

267) PENGGUNAAN KEDIAMAN SEBAGAI RUANG HIBURAN

Tahun: 2023

Sesi: 2

Isu: Pentadbiran

Adun: Y.B. Puan Michelle Ng Mei Sze

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah pendirian Kerajaan Negeri berkenaan salah guna kediaman sebagai ruang hiburan yang membawa kacau ganggu?

    Untuk makluman Yang Berhormat sekalian, Kerajaan Negeri sehingga kini tidak membenarkan mana-mana rumah kediaman dijadikan atau digunakan sebagai ruang atau premis hiburan. Bagi tujuan pengoperasian sebagai premis hiburan, syarat-syarat yang dikenakan bagi meluluskan permit pusat-pusat hiburan di Negeri Selangor adalah berdasarkan Garis Panduan Pemberian Lesen Hiburan Dan Tempat-Tempat Hiburan Di Kawasan Pentadbiran Pihak-Pihak Berkuasa Tempatan Di Negeri Selangor. Antara syarat yang dikenakan adalah lokasi premis bagi permohonan premis hiburan mestilah tidak kurang dari 300 meter daripada kawasan rumah ibadat, sekolah dan hospital. Premis yang dicadangkan itu juga tidak kurang dari 100 meter daripada Pejabat Kerajaan dan rumah kediaman. Jawatankuasa Mesyuarat Pelesenan di setiap Pihak Berkuasa Tempatan akan mempertimbangkan terlebih dahulu konsep dan aktiviti hiburan yang akan dijalankan berserta cadangan lokasi, masa hiburan dan butiran syarikat sebelum sesuatu permohonan diluluskan. Sekiranya cadangan tersebut diluluskan, pemohon adalah dikehendaki untuk mengemukakan permohonan kepada Pihak Berkuasa Tempatan dan kelulusan permohonan lesen hiburan adalah tertakluk kepada sokongan daripada pihak Polis dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

  2. Sila nyatakan bilangan kes yang berjaya dikuatkuasa dan cara penguatkuasaannya bagi setiap Majlis.

    Sepanjang tahun 2023, sebanyak 18 buah tempat hiburan di lima (5) kawasan Pihak Berkuasa Tempatan telah dikenakan tindakan penguatkuasaan. Bilangan kes dan tindakan yang telah dilaksanakan adalah seperti berikut:

  3. Apakah penambahbaikan kepada undang-undang atau pentadbiran yang diperlukan untuk menangani isu ini?

    Kerajaan Negeri sedang dalam tindakan untuk menambah baik Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan Selangor 1995. Cadangan yang sedang dirangka adalah merangkumi cadangan pindaan beberapa Akta dan memperkasakan tindakan penguatkuasaan oleh Pihak Berkuasa Tempatan. Cadangan pindaan yang melibatkan Akta, untuk pertimbangan Kerajaan Persekutuan adalah seperti yang berikut:

     

    1. Meningkatkan dan meminda kadar penalti di bawah Seksyen 82 Akta Kerajaan Tempatan 1976 [Akta 171] dan Seksyen 86 Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 [Akta 133] dengan menetapkan kadar siling;
    2. Mempelbagaikan kaedah penyampaian Notis Kacau Ganggu di bawah Seksyen 82 Akta Kerajaan Tempatan 1976 [Akta 171] dan Seksyen 86 Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 [Akta 133] memandangkan kaedah penyampaian notis sedia ada yang diperuntukkan adalah hanya penyerahan secara kendiri. Perkara ini telah menjadi satu kekangan kepada PBT untuk menguatkuasakan tindakan terhadap mana-mana pihak yang menyebabkan kacau ganggu; dan
    3. Meminda peruntukan Seksyen 82 Akta Kerajaan Tempatan 1976 [Akta 171] dan Seksyen 86 Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 [Akta 133] dengan memberikan kuasa kepada PBT untuk menutup premis perniagaan memandangkan peruntukan sedia ada hanya memberikan kuasa untuk menutup rumah kediaman.

     

    Namun, Kerajaan Negeri Selangor maklum akan kekangan untuk menjamin cadangan pindaan Akta akan diteruskan. Oleh itu, cadangan yang sedang diperhalusi di bawah Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan Selangor 1995 untuk kawalan ke atas ruang hiburan yang melibatkan kacau ganggu adalah seperti berikut:

     

    1. Memperkasakan tafsiran pada Seksyen 2 supaya sesuai dengan isu semasa dan tidak berlaku masalah di peringkat penguatkuasaan dan pendakwaan.
    2. Menetapkan kadar syiling minimum dan maksimum bagi kesalahan di bawah Enakmen supaya kadar penalti tersebut setimpal dengan kesalahan yang dilakukan dan memastikan tindakan penguatkuasaan seperti kompaun lebih berkesan.
    3. Meletakkan kadar  minima  penalti  dan menaikkan kadar penalti denda agar dapat memberi pengajaran kepada pesalah dan ada had minima yang ditentukan oleh Mahkamah.
    4. Melonggarkan kaedah penyampaian notis dengan meyediakan pilihan alternatif kepada Pegawai Pelesen berkenaan kaedah penyampaian notis pembatalan lesen.

Lampiran

Tiada Lampiran.