Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2012

19 Mac - 23 Mac 2012 dan 26 Mac - 27 Mac 2012

97) PENGGUNAAN AIR LOMBONG

Tahun: 2012

Sesi: 1

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Tuan Dr Shafie Bin Abu Bakar

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Kerajaan Selangor akan menggunakan air lombong bagi menampung sekiranya kekurangan air di Selangor. Adakah kerajaan dalam keadaan kritikal menghadapi keperluan air?

    Mengikut Kajian Semula Sumber Air Negara (KSAN, 2000-2005) yang telah dilaksanakan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia, taburan hujan tahunan bagi Negeri Selangor adalah 2190mm.

    Setelah mengambil kira jumlah penyejatan dan pengisian semula (recharge) air bumi, jumlah air larian permukaan adalah 760 mm iaitu bersamaan 6.38 billion meter padu setahun (17,000 juta liter sehari (JLH).

    Keperluan air termasuk bekalan air, penternakan dan sebagainya di Negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya pada tahun 2010 berjumlah 6,132 JLH dan keperluan ‘environmental flow’ dianggarkan sebanyak 1,700 JLH.

    Jumlah keseluruhan keperluan air adalah 7,832 JLH. Ini bermakna sejumlah 9,168 JLH air larian permukaan yang masih belum dimanfaatkan termasuklah air di dalam kolam tadahan banjir, kolam bekas lombong dan sebahagiannya mengalir terus ke laut.

    Pengurusan sumber air yang efektif menggunakan kaedah dan pendekatan yang sesuai dengan mengambil manfaat daripada jumlah hujan yang banyak perlu dilaksanakan untuk menjamin kecukupan keperluan air.

  2. Menurut kajian, air lombong membahayakan kesihatan, bagaimanakah mengatasinya?

    Lembaga Urus Air Selangor dan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor telah mengadakan pensampelan kualiti air terhadap 30 buah kolam bekas lombong pada tahun 2005 dan memilih 17 buah lombong yang sesuai dijadikan sumber air alternatif. Salah satu kreteria utama pemilihan kolam bekas lombong adalah ujian kualiti airnya adalah menepati piawaian air mentah oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

    Pada tahun 2011, pensampelan dilakukan sekali lagi terhadap 17 buah lombong tersebut bagi mengkaji kesesuaian sumber air lombong untuk tujuan semakan kualiti terkini dan juga pewartaan. Sekiranya air kolam bekas lombong digunakan sebagai sumber bagi bekalan air, air tersebut perlu dirawat dan mesti menepati piawaian air minum oleh Kementerian Kesihatan Malaysia selain mendapat kelulusan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara untuk menjalankan operasi loji pembersihan air.

  3. Jika benar-benar kritikal adakah kerajaan negeri bercadang menyalurkan air dari luar Selangor?

    Daripada Kajian Semula Sumber Air Negara (KSAN, 2000-2005), Negeri Selangor masih mempunyai banyak sumber air yang boleh digunakan dengan pengurusan yang efisien dan mantap. Penyaluran air mentah dari negeri luar pada masa ini adalah tidak perlu dan ia menjadi sumber terakhir bagi Negeri Selangor.

Lampiran

Tiada Lampiran.