Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2014
24 November - 28 November 2014 dan 01 Disember - 05 Disember 2014
321) PENGGUNAAN AIR
Tahun: 2014
Sesi: 3
Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam
Adun: Y.B. Tuan Ng Tien Chee
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Nyatakan jumlah bekalan air mentah dan terawat di dalam Negeri
Terdapat 34 Loji Rawatan Air di Negeri Selangor yang beroperasi untuk merawat air mentah dari sungai-sungai utama di Negeri Selangor antaranya seperti Sungai Selangor, Sungai Semenyih, Sungai Langat bagi membekalkan air terawat kepada SYABAS untuk diagihkan kepada pengguna di Negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan
Dari segi reka bentuk, 34 loji boleh mengeluarkan sebanyak 4,606 JLH air terawat. Keupayaan optimum berdasarkan kepada rekod pengeluaran tertinggi yang pernah dicapai oleh kesemua loji ini adalah sebanyak 5,282 JLH. Namun jumlah air terawat yang boleh diagihkan oleh SYABAS kepada pengguna adalah berubah-ubah seperti berikut:-
Bil Tarikh Keupayaan Agihan Air Terawat (JLH) 1 12 Mac 2012 4371JLH 2 19 Julai 2012 4411 JLH 3 01 September 2012 4436 JLH 4 22 Januari 2013 4546 JLH 5 05 Mac 2013 4566 JLH 6 01 April 2013 4661JLH 7 01 Julai 2013 4686 JLH Manakala, purata jumlah air terawat yang dibilkan kepada pengguna setakat tahun 2013 adalah sebanyak 3014JLH sahaja.
Berdasarkan data pengeluaran oleh 34 Loji Rawatan Air yang direkodkan sebanyak 4686 JLH dan data pengebilan yang direkodkan oleh SYABAS
sebanyak 3014JLH, dianggarkan sebanyak 1672JLH atau 35% air terawat hilang sebagai air tidak berhasil (NRW). Justeru itu, sekiranya masalah NRW tidak diatasi, maka sebanyak mana jua air terawat dari mana-mana sumber yang dimasukkan ke dalam sistem agihan, sebanyak 35% akan hilang sebagai NRW sedangkan kos setiap meter padu air tersebut telah pun dikira dan ditanggung oleh pengguna dalam bentuk tarif.
Di dalam beberapa perbincangan dengan pihak Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), adalah dicadangkan bahawa rizab bekalan air yang terbaik perlu disediakan adalah pada tahap 10% – 20% bagi mengurangkan gangguan bekalan air kepada pengguna.
Berdasarkan kepada rizab bekalan air yang tipis, Kerajaan Negeri Selangor berpandangan bahawa selain dari menjadi tanggungjawab Kerajaan Negeri untuk menyediakan kapasiti bekalan air yang mencukupi, adalah juga menjadi tanggung jawab Kerajaan Negeri Selangor untuk memastikan bahawa SYABAS selaku operator tunggal yang dipertanggungjawabkan dalam membekal dan mengagihkan air bersih kepada pengguna merupakan operator yang benar- benar berkemampuan dan kompeten dalam memenuhi tanggungjawab sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perjanjian Konsesi.
Kegagalan SYABAS dalam menurunkan NRW kepada 19.98% seperti dijanjikan dalam perjanjian konsesi menunjukkan bahawa SYABAS merupakan operator yang tidak kompeten dan tidak berkemampuan dalam melaksanakan obligasi sebagaimana yang telah diperuntukkan dalam Perjanjian Konsesi. Kegagalan SYABAS menyebabkan negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya terlepas peluang untuk mendapatkan penjimatan kira-kira 663 JLH yang sepatutnya dihasilkan dari penurunan NRW seperti dijanjikan SYABAS. Kapasiti 663JLH itu adalah lebih kurang jumlah air yang dikeluarkan oleh Loji Sungai Semenyih yang dianggarkan boleh menampung keperluan 353,000 akaun atau dari bilangan orang, boleh menampung penggunaan untuk seramai 1.2 juta orang.
-
Nyatakan jumlah penggunaan air per kapita dalam Negeri dan Negara
- Berdasarkan maklumat rasmi yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), penggunaan per kapita nasional untuk penggunaan domestik bagi Semenanjung Malaysia bagi tahun 2012 adalah 212 liter/orang/hari. Manakala bagi Negeri Selangor, penggunaan domestik adalah sebanyak 235 liter/orang/hari.
Dalam usaha untuk mengurangkan penggunaan air ini, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) telah mencadangkan supaya surcaj digunakan. Walaupun cadangan tersebut baik, namun pelaksanaannya akan diperhalus oleh Kerajaan Negeri Selangor.
Selain langkah mengenakan surcaj, Kerajaan Negeri Selangor juga akan menggalakkan pengguna melaksanakan pemasangan alat-alat penjimatan air (Water Saving Devices (WSD)) yang dapat mengurangkan penggunaan air secara automatik. WSD adalah termasuk sistem penjimatan pancuran air (heads,
handsets dan sistem kawalan), peralatan paip (heads, sinki, bibs and mixers) dan sistem tandas (sistem dwi-siram, tangki curahan dan bidet) serta mesin basuh dan mesin membasuh pinggan.
Kempen-kempen yang akan dibuat adalah usaha-usaha bagi memberi kesedaran kepada pengguna agar menggunakan air secara berhemah dan memastikan tiada unsur-unsur pembaziran dalam penggunaan harian. Kempen- kempen ini akan dijalankan melalui media massa.
Sekiranya penggunaan domestik di Negeri Selangor sebanyak 235 liter/orang/hari dapat dijimatkan sebanyak 20% daripada kadar penggunaan air semasa, ia boleh memberikan penjimatan yang dianggarkan sebanyak 850 JLH pada tahun 2020 daripada jumlah permintaan air sedia ada. Usaha-usaha lebih giat akan dijalankan oleh Kerajaan Negeri Selangor dan Kerajaan Persekutuan bagi mengurangkan penggunaan air per kapita.
-
Nyatakan perancangan komprehensif untuk menangani masalah kekurangan bekalan air
Memastikan sumber air di Selangor sentiasa berterusan dan tidak terganggu untuk digunakan oleh pengguna adalah menjadi tanggungjawab Kerajaan Negeri dan pelbagai usaha telah diambil bagi tujuan tersebut. Gangguan bekalan air boleh disumbangkan oleh beberapa faktor seperti berikut:-
- Gangguan yang disebabkan oleh ketidakcukupan air mentah;
- Gangguan akibat penutupan loji disebabkan oleh penyelenggaraan berjadual;
- Gangguan akibat penutupan loji disebabkan oleh faktor luar jangka seperti pencemaran sumber air, gangguan bekalan elektrik kerosakan peralatan loji, atau kerosakan paip induk yang disebabkan oleh pihak
Kerajaan Negeri maklum bahawa masalah gangguan bekalan air boleh mendatangkan kesan dan risiko yang besar dari segi sosial, ekonomi dan politik serta imej kerajaan. Oleh yang demikian, Kerajaan Negeri Selangor sentiasa berusaha untuk memastikan masalah gangguan ini dapat diatasi dan seterusnya dikurangkan.
Dalam usaha untuk memastikan air mentah sentiasa cukup untuk dirawat oleh
34 Loji Rawatan Air di Negeri Selangor, selain dari memberikan persetujuan kepada pelaksanaan Projek Langat 2, Kerajaan Negeri juga telah bersetuju untuk membangunkan projek yang dinamakan Hybrid of River Augmentation Storage/System (HORAS) di kawasan Kuala Selangor. Melalui pembangunan dua projek ini, Kerajaan Negeri yakin masalah ketidakcukupan air mentah dapat diatasi sepenuhnya.
Selain dari penambahan sumber air mentah, Kerajaan Negeri juga telah menggariskan dasar bagi memastikan sumber air mentah dari sungai-sungai sedia ada tidak dicemari. Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan semua agensi yang berkaitan sentiasa berganding bahu memantau supaya semua
penyumbang kepada pencemaran sumber air mentah dapat dihukum melalui kuat kuasa undang-undang dan peraturan sedia ada.
Masalah gangguan bekalan air juga berkait rapat dengan sistem paip utama dan paip komunikasi yang ada di negeri Selangor. Kebanyakan paip utama dan paip komunikasi di Negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya adalah dari jenis Galvanise Iron (G.I) dan Asbestos Cement (AC). Paip-paip ini kebanyakannya telah pun mencapai usia 40 tahun dan akibat faktor usia tersebut, pengaratan dalaman paip berlaku menyebabkan saluran paip menjadi sempit dan kecil yang turut menyumbangkan kepada masalah paip bocor dan paip pecah hingga menyebabkan gangguan kepada pengguna.
Selain dari masalah usia paip, kadar permintaan yang telah meningkat akibat dari pembangunan kawasan baru dan pertambahan populasi penduduk di sesetengah kawasan. Disebabkan permintaan air yang berbeza mengikut kawasan terutamanya di kawasan yang padat penduduknya, yang mana ada kalanya kadar permintaan itu melebihi tahap pembekalan sedia ada dan secara tidak langsung telah mengakibatkan kekurangan bekalan air berlaku di kawasan tersebut.
Gangguan bekalan air yang disebabkan oleh penutupan loji atau disebabkan oleh paip pecah adalah merupakan sebahagian dari masalah operasi yang dihadapi oleh operator rawatan air dan operator pengagihan air. Di Negeri Selangor ini, terdapat empat operator rawatan air iaitu SPLASH, ABASS, Puncak Niaga dan KASB manakala operator agihan air adalah diletakkan di bawah kendalian SYABAS.
Keadaan industri yang dikendalikan oleh operator swasta tanpa penglibatan Kerajaan Negeri menyulitkan Kerajaan Negeri untuk membuat kawalan dari segi operasi. Oleh yang demikian, salah satu tujuan Kerajaan Negeri memuktamadkan penstrukturan semula industri perkhidmatan air negeri Selangor adalah untuk memastikan operasi loji rawatan air dan pengagihan air kepada pengguna dapat dikawal secara langsung oleh Kerajaan Negeri. Dengan mempunyai kawalan secara langsung ke atas operasi tersebut, Kerajaan Negeri boleh mempunyai kawalan secara langsung di dalam operasi dan seterusnya mengurangkan lagi keadaan gangguan bekalan air kepada pengguna. Model Holistik yang dicadangkan oleh Kerajaan Negeri dalam usaha memuktamadkan penstrukturan semula industri perkhidmatan air Negeri Selangor ini sememangnya telah terbukti sebagai penyelesaian ke atas semua masalah pengurusan bekalan air secara komprehensif dan dapat menjamin pengurusan air yang mengutamakan tahap kecekapan dan keberkesanan perkhidmatan sebagaimana yang telah dicapai di di Pulau Pinang, Melaka, Negeri Sembilan dan Johor.