Mesyuarat Ketiga Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2018
23 – 30 November 2018 dan 3 – 5 Disember 2018
143) PENGGERAK BELIA TEMPATAN (PEBT)
Tahun: 2018
Sesi: 3
Isu: Generasi Muda & Sukan
Adun: Y.B. Tuan Mohd Zawawi Bin Ahmad Mughni
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Adakah terdapat cadangan menambah peruntukan PeBT bagi menyemarakkan lagi program belia Selangor?
Kerajaan Negeri telah menubuhkan Penggerak Belia Tempatan bermula pada tahun 2009 sebagai agen penggerak kepada pembangunan Negeri dengan jumlah keseluruhan peruntukan adalah sebanyak RM2,764,800.00. Justeru itu buat masa ini, Kerajaan Negeri masih mengekalkan peruntukan program Penggerak Belia Tempatan (PeBT) seperti tahun-tahun sebelum ini di mana setiap Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) akan diperuntukkan sebanyak RM120,000.00 yang menjadikan jumlah keseluruhan peruntukan program adalah sebanyak RM1,440,000.00 untuk semua PBT bagi menjalankan program-program PeBT yang telah dirancangkan. Untuk makluman, peruntukan tersebut akan disalurkan kepada PBT di mana PBT dikehendaki untuk memantau dan merancang pelaksanaan program PeBT masing-masing untuk memastikan pelaksanaan program adalah sebagaimana yang telah dirancangkan. Di samping itu, PeBT juga boleh melaksanakan program-program PeBT secara gabungan dengan zon-zon yang lain bagi mendapatkan impak program yang lebih berkesan dan mendapat sambutan daripada masyarakat setempat.
Seterusnya, peruntukan elaun Penggerak Belia Tempatan (PeBT) juga masih dikekalkan iaitu sebanyak RM500.00 sebulan untuk elaun Pengerusi Induk PeBT dan RM400.00 sebulan untuk elaun Pengerusi PeBT yang menjadikan jumlah keseluruhan peruntukan elaun adalah sebanyak RM1,324,800.00.
Selain itu, untuk makluman, pelantikan PeBT dibuat setiap dua tahun sekali. Sehubungan itu, bagi menghargai jasa dan komitmen yang telah diberikan oleh PeBT sepanjang pelantikan, Kerajaan Negeri akan mengadakan Program Apresiasi dan Watikah Pelantikan Penggerak Belia Tempatan (PeBT) Negeri Selangor 2018 yang dijadualkan akan diadakan pada awal Januari 2019. Program ini diadakan sebagai satu inisiatif Kerajaan Negeri untuk memberi penghargaan kepada generasi muda Selangor yang menyumbangkan idea dan cadangan pembangunan belia dalam segala sudut seperti kesukarelawan, politik, keusahawanan, kesenian, kebudayaan dan kesukanan. Berikutan melalui program ini, Kerajaan Negeri akan menyampaikan beberapa anugerah kepada PeBT seperti Anugerah PeBT Terbaik di Peringkat PBT, Anugerah PeBT Selangor Terbaik, Anugerah Teras PeBT Terbaik dan Anugerah Kepimpinan PeBT sebagai penghargaan kepada PeBT yang telah berkhidmat dan juga sebagai pendorong kepada PeBT yang akan dilantik.
-
Adakah terdapat cadangan insentif tambahan kepada PeBT dan belia?
Sama seperti di SUB (a)
-
Apakah program pembangunan yang telah dan akan diwujudkan bagi memupuk jatidiri dan nilai insani belia? Senaraikan.
Untuk makluman, menyedari akan kepentingan generasi muda kepada pembangunan Negeri Selangor, Kerajaan Negeri telah mewujudkan Dasar Belia Negeri Selangor pada tahun 2013 sebagai kerangka asas kepada pelan pembangunan belia di Negeri Selangor. Dasar Belia Selangor (DBS) yang julung kali dibangunkan ini merupakan manual pembangunan belia untuk dijadikan rujukan kepada pemegang taruh berkepentingan dalam bidang keutamaan belia di Selangor.
Justeru itu, bidang keutamaan pembangunan belia yang diberi tumpuan dalam DBS mencakupi Pendidikan dan Kemahiran, Keusahawanan dan Pekerjaan, Kepimpinan dan Organisasi, Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Kemasyarakatan, Jaringan dan Kesukarelawan, Kesejahteraan dan Kesihatan, Sukan dan Kecergasan, Kebudayaan dan Kesenian, Agama dan Akhlak serta Pengantarabangsaan.
Sehubungan itu, program-program pembangunan generasi muda telah dirangka berdasarkan kepada bidang-bidang keutamaan tersebut. Di antara program pembangunan yang telah dan akan diwujudkan bagi memupuk jatidiri dan nilai insani belia adalah seperti berikut:-
- Program Memberdaya Pemimpin Muda Selangor
Program ini akan memberi nilai tambah ‘7 kemahiran insaniah’ seperti kepimpinan, kerja berpasukan, kemahiran komunikasi, kemahiran menyelesaikan masalah, etika kerja, flexiblity dan adaptasi dan kemahiran interpersonal.
Program Empowering Volunteers Connecting Opportunites
Melalui program ini dapat memperkasa organisasi Badan Bukan Kerajaan (NGO) serta dapat memberi sokongan dalam aktiviti dan perkhidmatan yang diberikan oleh Badan-badan NGO.
- Program Kesedaran dan Peningkatan Rohani
Penganjuran program ini sebagai memenuhi keperluan umat Islam yang ingin meraih seberapa banyak pahala dan ganjaran dengan mengerjakan pelbagai amal ibadat di dalam bulan Ramadhan serta menggalakkan generasi muda untuk mengimarahkan Ramadan dengan Qiamullail.
- Bengkel Latihan Kepimpinan Penggerak Belia Tempatan (PeBT)
Program ini dapat melahirkan pemimpin yang berkompetensi bagi mengembangkan lagi potensi belia di Selangor seterusnya mengembangkan program-program pembangunan belia dan komuniti.
- Bengkel Pemberdayaan NGO Belia Negeri Selangor
Program ini menekankan aspek kepimpinan dan organisasi belia di Selangor agar dapat diberikan perhatian di bawah Kerajaan Negeri. Selain itu, melalui program ini akan dapat memberi keupayaan kepada tenaga belia dalam menentukan kekuatan dan ketahanan pembangunan sosial dan ekonomi. Justeru, satu strategi diambil dengan melihat perkembangan belia dari aspek kognitif, sosial, emosi dan fizikal melalui pelbagai kaedah orientasi teorikal mengenai asas-asas proses perkembangan yang mempunyai implikasi kepada masalah-masalah belia dewasa ini.
- Program Smart Tour Volunteer Team Selangor
Program ini merupakan program pemangkin kepada gerakan berskala besar anak muda di dalam kerja-kerja kesukarelawan yang melibatkan Unit Penggerak Belia Tempatan dan Team Selangor bagi memberikan satu impak dan imej yang baik kepada masyarakat sekeliling