Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

16 Mac 2020 - 17 Mac 2020

32) PENGGERAK BELIA TEMPATAN (PEBT)

Tahun: 2020

Sesi: 1

Isu: Generasi Muda & Sukan

Adun: Y.B. Tuan Halimey Bin Abu Bakar

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Prestasi Terkini Pengerusi PeBT

    Kerajaan Negeri Selangor telah menubuhkan Penggerak Belia Tempatan (PeBT) bertujuan untuk melahirkan kepimpinan belia yang berwibawa yang dapat menjadi ejen perubahan kepada golongan belia di Negeri Selangor serta bertindak sebagai jentera pelaksana Kerajaan Negeri dalam melaksanakan dasar-dasar berkaitan pembangunan belia di peringkat akar umbi.

     

    Perancangan sesuatu program pembangunan belia di bawah Penggerak Belia Tempatan (PeBT) adalah berdasarkan kepada 10 teras yang terkandung di dalam Dasar Belia Negeri Selangor yang menjadi tonggak kepada pembangunan belia yang mampan. Pencapaian sesuatu program itu dinilai berdasarkan kepada kejayaan sesuatu pesanan atau input yang cuba disampaikan melalui program-program yang dilaksanakan dapat disampaikan kepada golongan sasaran dan seterusnya dapat diaplikasikan untuk pembangunan generasi muda Selangor.

    Sehubungan itu, berdasarkan kepada Laporan Prestasi PeBT Sesi 2018/2020 bagi tahun 2019, ke semua Pengerusi PeBT Negeri Selangor telah menunjukkan prestasi yang memberangsangkan. Ini adalah berdasarkan pelaksanaan sebanyak 555 buah program secara keseluruhannya. Jumlah ini menepati 10 teras dari Dasar Belia Selangor.

    Berikut adalah pecahan nilaian penganjuran mengikut teras-teras utama Dasar Belia Selangor :-

    BIL TERAS JUMLAH PROGRAM PERATUSAN
    1. Pendidikan & Latihan 34        6.1%
    2. Keusahawan & Pekerjaan 36 6.5%
    3. Kepimpinan & Organisasi 34 6.1%
    4. Teknologi Maklumat & Komunikasi 20 3.6%
    5. Kemasyarakatan, Jaringan & Kesukarelawanan 98 17.7%
    6. Kesejahteraan & Kesihatan 48 8.46%
    7. Sukan & Kecergasan 181 32.6%
    8. Agama & Akhlak 41 7.4%
    9. Kebudayaan & Kesenian 45 8.1%
    10. Pengantarabangsaan 18 3.2%
    JUMLAH 555  

     

     

     

     

    Selain itu, PeBT juga telah mengambil inisiatif untuk lebih mendekati golongan generasi muda yang terdiri daripada mahasiswa-mahasiswi dengan melaksanakan program di peringkat IPTA/IPTS. Di antara program-program yang telah dilaksanakan adalah seperti berikut :-

    1. Program Seminar Jenayah Seksual, Pedofilia & Pornografi di UNISEL Shah Alam;

     

    1. Bengkel Pengucapan Awam dan Retorik Komunikasi di SMK Telok Panglima Garang; dan

     

    • Program Pertukaran Budaya Antarabangsa PeBT MPKJ di AIESEC UNMC Sempena Bulan Kemerdekaan.
  2. Mengapakah Masih Ada pengerusi PeBT Yang Tidak Aktif & Siapa Yang Harus Dipersalahkan

    Kerajaan Negeri sentiasa menambahbaik prestasi PeBT bagi memastikan teras-teras utama pembangunan  belia dapat dipraktikkan ke peringkat akar umbi. Kerajaan Negeri kini dalam tindakan untuk menambahbaik Garis Panduan PeBT selaras dengan kehendak generasi muda pada masa kini.

    Untuk makluman, Kerajaan Negeri telah melaksanakan lantikan Pengerusi PeBT bagi sesi 2018/2020 melalui proses temuduga yang telah dilaksanakan di peringkat PBT. Proses temuduga ini melibatkan Ahli Dewan Negeri kawasan, Ahli Majlis Zon kawasan, wakil dari PBT dan wakil MSN Selangor dimana proses tapisan dibuat disana dan hanya calon yang berjaya dilantik sebagai PeBT bagi sesi 2018-2020.

    Namun begitu, masih terdapat pengerusi PeBT yang tidak aktif memandangkan Pengerusi PeBT terdiri daripada pelbagai latar belakang dan mempunyai kerjaya di bidang masing-masing. Kita tidak menafikan dalam 288 pengerusi PeBT yang telah dilantik, terdapat sebilangan kecil yang tidak konsisten dan juga tidak aktif. Faktor pertama adalah disebabkan kekangan masa oleh Pengerusi PeBT kerana ada di kalangan mereka bekerja lebih masa dan di luar kawasan. Ini sedikit sebanyak merencatkan penglibatan mereka dalam melaksanakan aktiviti atau tugasan selaku Pengerusi PeBT.

    Selain itu, terdapat di kalangan Pengerusi PeBT yang tidak banyak bekerjasama dengan Ahli Dewan Negeri atau Ahli Majlis PBT. Akan tetapi mereka masih terlibat dalam program-program di luar kawasan atau zon mereka dan program-program anjuran Kerajaan Negeri. Sehubungan itu, Kerajaan Negeri berharap Pengerusi PeBT akan terus bekerjasama dengan Ahli Dewan Negeri atau Ahli Majlis PBT untuk sentiasa bergiat aktif di kawasan dan terlibat dalam penganjuran bersama.

    Dalam soal keaktifan PeBT ini, kerajaan Negeri Selangor sentiasa melihat ruang penambahbaikan yang perlu dilaksanakan dari semasa ke semasa selari dengan Dasar dan Visi Belia Negeri Selangor iaitu ‘Membangunkan sepenuhnya potensi belia bagi memastikan penglibatan aktif, adil dan saksama di negeri Selangor’.

     

  3. Cadangan Untuk Menaikkan Elaun Pengerusi PeBT Supaya Mereka Lebih Pro Aktif & Bertanggungjawab

    Kerajaan Negeri telah menubuhkan Penggerak Belia Tempatan bermula pada tahun 2009 sebagai agen penggerak kepada pembangunan Negeri dengan jumlah keseluruhan peruntukan adalah sebanyak RM2,764,800.00. Justeru itu buat masa ini, Kerajaan Negeri masih mengekalkan peruntukan program Penggerak Belia Tempatan (PeBT) seperti tahun-tahun sebelum ini di mana setiap Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) akan diperuntukkan sebanyak RM120,000.00 yang menjadikan jumlah keseluruhan peruntukan program adalah sebanyak RM1,440,000.00 untuk semua PBT bagi menjalankan program-program PeBT yang telah dirancangkan. Untuk makluman, peruntukan tersebut akan disalurkan kepada PBT di mana PBT dikehendaki untuk memantau dan merancang pelaksanaan program PeBT masing-masing untuk memastikan pelaksanaan program adalah sebagaimana yang telah dirancangkan. Di samping itu, PeBT juga boleh melaksanakan program-program PeBT secara gabungan dengan zon-zon yang lain bagi mendapatkan impak program yang lebih berkesan dan mendapat sambutan daripada masyarakat setempat.

    Seterusnya, peruntukan elaun Penggerak Belia Tempatan (PeBT) juga masih dikekalkan iaitu sebanyak RM500.00 sebulan untuk elaun Pengerusi Induk PeBT dan RM400.00 sebulan untuk elaun Pengerusi PeBT yang menjadikan jumlah keseluruhan peruntukan elaun adalah sebanyak RM1,324,800.00.

     

     

Lampiran

Tiada Lampiran.