Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2018
3 September 2018 hingga 7 September 2018
190) PENGGERAK BELIA TEMPATAN
Tahun: 2018
Sesi: 2
Isu: Generasi Muda & Sukan
Adun: Y.B. Dato' Dr Ahmad Yunus Bin Hairi
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah perancangan Kerajaan Negeri untuk memperkasakan Penggerak Belia Tempatan bagi Pembangunan Generasi Muda di masa hadapan?
Kerajaan Negeri Selangor telah menubuhkan Penggerak Belia Tempatan (PeBT) bertujuan untuk melahirkan kepimpinan belia yang berwibawa yang dapat menjadi ejen perubahan kepada golongan belia di Negeri Selangor serta bertindak sebagai jentera pelaksana Kerajaan Negeri dalam melaksanakan dasar-dasar berkaitan pembangunan belia di peringkat akar umbi.
Perancangan sesuatu program pembangunan belia di bawah Penggerak Belia Tempatan (PeBT) adalah berdasarkan kepada 10 teras yang terkandung di dalam Dasar Belia Negeri Selangor yang menjadi tonggak kepada pembangunan belia yang mampan. Pencapaian sesuatu program itu dinilai berdasarkan kepada kejayaan sesuatu pesanan atau input yang cuba disampaikan melalui programprogram yang dilaksanakan dapat disampaikan kepada golongan sasaran dan seterusnya dapat diaplikasikan untuk pembangunan generasi muda Selangor.
Di samping itu, pemerkasaan Penggerak Belia Tempatan (PeBT) juga akan diperkukuhkan menerusi program dan latihan selaras dengan kehendak Generasi Muda Selangor. Antara program dan latihan yang akan dianjurkan adalah Program Latihan Pemantapan Organisasi dan Kepimpinan dalam usaha untuk melahirkan PeBT yang sentiasa berkaliber, komited dan mempunyai pemikiran yang luas ke arah pembangunan generasi muda sebagai penggerak kepada pembangunan negara pada masa akan datang.
Seterusnya, Kerajaan Negeri juga akan mengambil inisiatif untuk mewujudkan Blueprint Pembangunan Generasi Muda 2018-2022 yang akan dijadikan sebagai asas gerak kerja PeBT dan juga sebagai satu panduan dalam pembangunan generasi muda Negeri Selangor pada masa akan datang. Inisiatif ini akan melibatkan pemegang taruh yang berkaitan di dalam pembangunan generasi muda Negeri Selangor dan pemimpin Penggerak Belia Tempatan yang berada di peringkat akar umbi.
-
Apakah status Program Diploma Belia dalam kerjaya dan adakah ianya dapat membantu di dalam merealisasikan Dasar Belia Selangor?
Kerajaan Negeri juga amat prihatin dan menyedari akan kepentingan pendidikan kepada golongan belia khususnya di Selangor. Sehubungan itu, Kerajaan Negeri sentiasa berusaha untuk menarik lebih ramai anak muda menyertai Program Diploma Belia Dalam Kerja Pembangunan (Eksekutif) yang telah bermula pada 7 Mac 2014 di mana program ini adalah terbuka kepada semua kaum di kalangan belia yang terdiri daripada Pengerusi Penggerak Belia Tempatan (PeBT) , PeBT Zon dan NGO-NGO terpilih. Program ini dilaksanakan dengan kerjasama daripada Institut Pengajian Sains Sosial, Universiti Putra Malaysia (IPSAS,UPM) yang mempunyai kepakaran dalam bidang pembangunan belia. Melalui program ini, Kerajaan Negeri telah memberi tajaan sebanyak RM9,400.00 kepada 23 orang pelajar dengan jumlah tajaan sebanyak RM216,200.00 yang telah berjaya menamatkan pengajian dan menghadiri majlis graduasi yang telah diadakan pada 6 November 2017 oleh pihak UPM.
Justeru itu, Program Diploma Belia Dalam Kerja Pembangunan (Eksekutif) ini dapat membantu merealisasikan Dasar Belia Selangor di mana melalui program ini, Kerajaan Negeri telah berjaya melahirkan generasi muda yang yang berpendidikan dan berinovasi dalam menghadapi cabaran pada masa akan datang yang mampu untuk mambantu dalam memakmurkan Negeri Selangor khususnya.
Selaras dengan kejayaan tersebut, Kerajaan Negeri telah meluluskan Program Diploma Belia Dalam Kerja Pembangunan (Eksekutif) bagi Fasa ke-2 untuk pengambilan sesi 2018/2021 dengan tajaan kepada 30 orang pelajar dengan peruntukan sebanyak RM300,000.00.