Mesyuarat Kedua (Bajet) Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021
26 November 2021, 29 November - 30 November 2021, 1 Disember - 3 Disember 2021 dan 6 Disember - 9 Disember 2021
119) PENGGERAK BELIA SELANGOR (PEBS), TEAM SELANGOR DAN SUKARELAWAN SELANGOR (SERVE)
Tahun: 2021
Sesi: 2
Isu: Generasi Muda & Sukan
Adun: Y.B. Puan Dr. Daroyah Binti Alwi
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Mengangkat dasar kesukarelawanan, bagaimana untuk memastikan peranan dan KPI ketiga-tiganya tidak bertindih?
Penggerak Belia Selangor (PeBS) adalah program pimpinan anak muda yang merupakan wakil Kerajaan Negeri bagi menyampai dan melaksanakan dasar-dasar Kerajaan Negeri kepada belia-belia di setiap kawasan bagi keseluruhan Negeri Selangor. Pelantikan Penggerak Belia Selangor (PeBS) ini seramai 5 orang bagi setiap Dewan Negeri juga digalakkan untuk membentuk jawatankuasa belia di setiap kawasan. Peruntukan Penggerak Belia Selangor (PeBS) bagi setiap kawasan adalah sebanyak RM 20,000.00 setahun. Penggerak Belia Selangor (PeBS) berperanan melaksanakan program berdasarkan 10 Dasar Belia Selangor;
- Pendidikan dan latihan kemahiran
- Keusahawanan dan pekerjaan
- Kepimpinan dan organisasi
- Teknologi maklumat dan komunikasi
- Kemasyarakatan, jaringan dan kesukarelawan
- Kesejahteraan dan kesihatan
- Sukan dan kecergasan
- Agama dan akhlak
- Kebudayaan dan kesenian
- Pengantarabangsaan
Selangor Volunteer atau dikenali sebagai SERVE pula adalah produk yang diletakkan di bawah EXCO Kemasyarakan, Jaringan dan Kesukarelawan Penggerak Belia Selangor (PeBS) bagi menyantuni semua lapisan masyarakat yang berminat dengan kerja-kerja sukarela dan misi kemanusiaan. Bagi tahun 2020, SERVE telah berkhidmat di beberapa program seperti Misi Kemanusian Bencana di Yan, Kedah, Misi Bantuan Banjir di Taman Mesra, Seri Setia dan sewaktu ketiadaan air di Selangor di Bukit Subang, Kota Anggerik. SERVE mensasarkan seramai 5600 orang sukarelawan yang berdaftar pada tahun 2022 iaitu seramai 100 orang disetiap DUN.
Team Selangor pula adalah agensi swasta yang menjalankan program-program pemerkasaan komuniti berpaksikan kepada dasar Kerajaan Negeri tanpa mengira latar belakang politik dan had umur. Team Selangor juga telah mewujudkan beberapa unit merangkumi segmen alam sekitar, mahasiswa dan komuniti.
-
Berapakah peruntukan yang telah disalurkan kepada ketiga-tiganya?
Bagi Penggerak Belia Selangor (PeBS), program-program dan aktiviti-aktiviti adalah menggunakan peruntukan sebanyak RM 20,000 bagi setiap DUN manakala SERVE menggunakan peruntukan sedia ada di bawah Penggerak Belia Selangor (PeBS) dengan pemantauan daripada Seksyen Agihan Pembangunan, Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Selangor. Team Selangor pula ditempatkan di bawah Seksyen Makro dan Penswastaan, Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Selangor. Peruntukan bagi Team Selangor adalah dikawal dan dipantau oleh Seksyen Makro dan Penswastaan sepenuhnya.