Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025
18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025
83) PENGGANTIAN RIZAB TANAH MELAYU
Tahun: 2025
Sesi: 1
Isu: n/a
Adun: Y.B. Tuan Muhaimin Harith Bin Abdullah Sani
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah kaedah yang digunakan oleh Kerajaan Negeri untuk menggantikan Tanah Rizab Melayu yang hilang?
Kerajaan Negeri melalui Pejabat Tanah Galian Negeri Selangor (PTGS) telah mengeluarkan dua (2) Pekeliling Pengarah Tanah dan Galian Selangor berhubung dasar dan garis panduan pembatalan dan penggantian Tanah Rizab Melayu iaitu Pekeliling PTGS Bilangan 7/2001 dan Pekeliling PTGS Bilangan 3/2015. Kedua-dua pekeliling ini telah menekankan mengenai proses pembatalan dan penggantian Tanah Rizab Melayu yang perlu dijalankan secara serentak.
Melalui penggunaan pekeliling tersebut, pemantauan akan dibuat dari semasa ke semasa melibatkan pembatalan dan penggantian Tanah Rizab Melayu. Oleh itu, sebarang kekurangan keluasan pengantian Tanah Rizab Melayu akan dapat dikenalpasti dan diselesaikan.
-
Bagaimanakah Kerajaan Negeri melaksanakan dasar yang ada supaya Tanah Rizab Melayu terpelihara dan terjaga?
Demi memelihara dan mengekalkan hak dan kepentingan orang Melayu pada masa kini dan seterusnya, projek-projek pengambilan tanah yang melibatkan TRM Negeri Selangor akan diuruskan sepertimana yang terpakai melalui Pekeliling Pengarah Tanah dan Galian Selangor Bilangan 7/2001: Dasar dan Garis Panduan Pembatalan dan Penggantian Tanah Rizab Melayu Selangor Darul Ehsan dan Pekeliling Pengarah Tanah dan Galian Selangor Bilangan 3/2015: Garis Panduan Urusan Pembatalan dan Penggantian Tanah Rizab Melayu (TRM) Semasa Pengambilan Tanah bagi Tujuan Awam atau Kemudahan Awam bagi Kegunaan Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan di Negeri Selangor Darul Ehsan.
Disamping itu juga, segala permohonan yang melibatkan pembatalan Tanah Rizab Melayu akan diangkat ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) untuk mendapat pertimbangan terlebih dahulu sebelum sebarang kelulusan diberikan.