Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2009
09 November hingga 13 November 2009 dan 16 November hingga 17 November 2009
151) PENGGANGGURAN
Tahun: 2009
Sesi: 3
Isu: Pekerjaan
Adun: Y.B. Tuan Amirudin Bin Shari
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Berapakah kadar pengangguran terkini di Negeri Selangor selepas kesan ekonomi global telah menyebabkan pengusutan yang agak signifikan pada beberapa sektor pembuatan.
Berdasarkan Laporan Ekonomi Negeri Selangor 2009, pengangguran bagi Negeri Selangor pada tahun 2009 adalah pada kadar 3.6% berbanding 3.2% pada tahun 2008. Peningkatan ini adalah kesan daripada kemelesetan ekonomi global yang melanda negara pada penghujung tahun 2008 sehingga kini. Sektor pembuatan dan perkilangan merupakan sektor utama yang terkena tempias penyusutan aktiviti import dan eksport negara. Oleh yang demikian, peningkatan pengangguran ini juga berpunca daripada faktor kehilangan pekerjaan dari kalangan yang telah bekerja sebelum ini.
-
Sejauh mana usaha Kerajaan Negeri seperti Selangor Retrechment Centre berjaya membantu penganggur di negeri di Selangor keluar dari masalah tiada pekerjaan
Selangor Retrenchment Helpline (SRH) yang dibangunkan adalah hasil kerjasama Pusat Teknologi, Maklumat dan Komunikasi (ICT) Negeri Selangor dengan syarikat Jobstreet.Com Sdn. Bhd (Jobstreet) bertujuan untuk mengumpul maklumat pekerja yang diberhentikan di negeri Selangor dan dalam pada masa yang sama membantu pekerja tersebut mendapatkan peluang-peluang kerjaya yang baru melalui penyuaipadanan (match-making) dengan syarikat-syarikat sedia ada yang berdaftar dengan Jobstreet.
Melalui sistem ini, pekerja yang diberhentikan boleh mendaftar dengan percuma melalui laman web www.selangor.gov.my. Kata laluan dan kata kunci (password) akan diberi bagi memudahkan penggunaan sistem tersebut di mana-mana tempat yang mempunyai jaringan internet. Setelah pendaftaran dilakukan, sistem akan menapis (filtering) maklumat yang diterima dan akan dipadankan (match-make) dengan kekosongan jawatan di dalam syarikat-syarikat yang telah sedia ada berdaftar. Tawaran kekosongan jawatan tersebut akan dibuat melalui e-mel pengguna dan sistem pesanan ringkas (SMS) berdasarkan maklumat yang dikemukakan oleh pengguna.
Selain itu, menerusi program ini, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Lembaga Zakat Selangor (LZS) turut menawarkan bantuan menerusi program sedia ada kepada mereka yang benar-benar layak. Antara bentuk bantuan yang boleh diberikan termasuklah bantuan kewangan bulanan, bantuan kewangan rawatan, bantuan sewa rumah dan bantuan pendidikan anak-anak. Mereka yang layak akan diberi bantuan mengikut kadar sedia ada serta pemantauan dalam tempoh masa enam (6) bulan.
Kerajaan Negeri turut menawarkan peluang latihan kepada pekerja yang diberhentikan atau yang berkemungkinan diberhentikan melalui institusi–institusi latihan di Negeri Selangor yang telah mendapat pengiktirafan dan pentauliahan daripada Jabatan Pembangunan Kemahiran Malaysia, sebuah agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia. Kos latihan akan ditanggung sepenuhnya oleh pihak Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Sumber Manusia yang akan mengambil masa satu (1) hingga enam (6) bulan mengikut modul kursus. Di samping itu, para pelatih juga akan turut diberi elaun minima sebanyak RM500.00 hingga maksimum RM800.00 sebulan bergantung kepada kelayakan status sama ada bujang ataupun telah berkahwin bagi meringankan beban menjalani kehidupan seharian. Dengan latihan yang diberikan ini membolehkan mereka diserap ke sektor yang masih memerlukan pekerja seperti sektor pelancongan, perhotelan dan perladangan. Ia juga dilihat antara langkah yang dapat mengurangkan kos operasi majikan yang terlibat sekali gus mengelakkan kemungkinan pekerja-pekerja diberhentikan.
Selain itu, usaha terkini Kerajaan Negeri di bawah Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan yang dipengerusikan oleh YB Puan Dr. Halimah Binti Ali dengan kerjasama Jabatan Tenaga Kerja Negeri Selangor akan melaksanakan Program Jom Kerja di seluruh daerah di negeri Selangor dengan lokasi pertama ialah di Sekinchan, Selangor pada 7 – 8 November 2009.
Melalui program ini, syarikat-syarikat yang berminat akan mendaftar dengan pihak JTK Selangor dan menyertai program ini dengan mengadakan walk-in interview. Selain membantu menyediakan peluang kerjaya kepada masyarakat di negeri Selangor terutamanya golongan belia dan ibu tunggal ia juga dapat membantu ke arah meminimumkan gejala sosial di negeri Selangor.