Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

15 November 2024, 18-22 November 2024, 25-28 November 2024

335) PENGGALAKKAN SENI DAN BUDAYA

Tahun: 2024

Sesi: 3

Isu: n/a

Adun: Y.B. Tuan Yew Jia Haur

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah inisiatif kerajaan untuk menggalakkan minat dalam seni dan budaya dalam kalangan generasi muda, seperti melalui program pendidikan atau pameran?

    Kerajaan Negeri adalah komited dalam usaha mengembang dan menyebar luas seni budaya negeri Selangor melalui pelbagai inisiatif yang dilaksanakan secara berterusan yang menyasarkan golongan belia dan remaja. Bagi tujuan tersebut, antara program yang

    1. Pertandingan Seni Warisan Cempuling 2024;
    2. Muzium ke Sekolah;
    3. Bengkel Edu Kreatif Pendidikan Seni Cempuling;
    4. Bengkel Edu Kreatif Seni Tarian;
    5. Bengkel Edu Kreatif Seni Gamelan; dan
    6. Pertandingan Permainan Tradisional.

    Kerajaan Negeri melalui PADAT juga adalah komited dalam melahirkan pelapis pemuzik cempuling dalam kalangan generasi muda termasuklah dalam kalangan komuniti, persatuan dan pelajar sekolah. Program Pertandingan Seni Warisan Cempuling merupakan antara usaha yang sedang dilaksanakan pada tahun ini dengan kerjasama Radio Televisyen Malaysia (RTM). PADAT juga turut memperkasa budaya dan warisan melalui perancangan program pendidikan yang menumpukan terhadap golongan belia dan remaja seperti kelas Gamelan dan kelas Asas Tarian Tradisional di Muzium Sultan Alam Shah dan penubuhan kumpulan kebudayaan di sekolah-sekolah yang akan menjadi pelapis bagi warisan dan tradisi.

    Di samping itu, Kerajaan Negeri turut menyokong penganjuran Pertandingan Tarian Sekolah-Sekolah Malaysia (TA’SEEM) Peringkat Kebangsaan Tahun 2024 yang diadakan pada 11 Julai 2024 di KSL Esplanade Mall, Klang. TA’SEEM merupakan program tahunan melibatkan pelajar-pelajar sekolah dari seluruh negara termasuk Selangor dan anya dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk menggalakkan dan mengiktiraf bakat pelajar dalam seni tarian. Program ini menjadi platform untuk mempamerkan tarian tradisional, moden, dan campuran genre, sambil memperkenalkan kepelbagaian seni tarian dan memupuk semangat kekitaan di kalangan pelajar dari pelbagai latar belakang.

    Akhir kata, Kerajaan Negeri Selangor adalah komited untuk memperkasa seni dan budaya negeri, khususnya dalam kalangan golongan belia dan remaja. Inisiatif seperti pertandingan seni, bengkel pendidikan seni, dan program pendidikan budaya sepanjang tahun 2024 bertujuan memperkenalkan generasi muda kepada warisan budaya negeri. Kerjasama dengan RTM dan KPM turut menggalakkan penyertaan dalam seni, memupuk semangat kekitaan, serta memastikan kelestarian tradisi budaya Selangor untuk generasi akan datang.

  2. Bagaimanakah kerajaan menggalakkan komuniti setempat untuk terlibat dalam aktiviti budaya, seperti acara tradisional, festival dan pertunjukan seni?

    Kerajaan Negeri sentiasa menyokong dan mengalakkan penglibatan komuniti setempat dalam program kebudayaan di peringkat negeri, kebangsaan mahupun antarabangsa. Bagi tujuan itu, Kerajaan Negeri dengan kerjasama Majlis Kebudayaan Negeri Selangor (MKNS) telah menganjurkan Malam Gala sempena program Silang Budaya Selangor – Thailand di Pattani, Thailand yang turut menampilkan kumpulan cempuling Daerah Kuala Langat dan kumpulan muzik asli keroncong Sri Kenchana Daerah Kuala Selangor. Program Silang Budaya diadakan secara tahunan sejak tahun 2023 yang melibatkan lawatan kerja ke negara-negara anggota ASEAN yang terpilih untuk memperkenal dan mempromosikan seni dan budaya Negeri Selangor menerusi penglibatan penggiat seni dan budaya tempatan di peringkat antarabangsa.

    Jabatan Kebudayaan Kesenian Negara (JKKN) Selangor telah turut menganjurkan Festival Selangor@ Batu Laut 2024 yang menampilkan aktiviti seperti persembahan tarian, muzik, pameran kraf tangan dan makanan warisan dengan kehadiran pengunjung melebihi 20,000 orang termasuk penglibatan pelbagai pihak termasuk komuniti setempat. Selain daripada mempromosi kebudayaan dan warisan negeri, program ini turut menyokong ekonomi komuniti tempatan dan menyokong sektor pelancongan Selangor.

    Di samping itu, menerusi kerjasama strategik dengan Daerah/Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan penggiat-penggiat seni, termasuk Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), Kerajaan Negeri juga telah menganjurkan program-program berikut:

    1. Festival Juara Tradisi Sabak Bernam pada 20 Julai 2024 di Homestay Haji Dorani Sabak Bernam;
    2. Jelajah Seni, Budaya Dan Warisan Sabak Bernam pada 27-28 September 2024 di Dataran Tonggak 10, Sabak Bernam;
    3. Fiesta Warisan Kebudayaan Subang Jaya pada 28-29 September 2024 di Subang Parade; dan
    4. Pesta Seni Sukan Sunnah Sabak Bernam pada 9 November 2024 di Balai Rakyat Berjaya, Sabak Bernam.

Lampiran

Tiada Lampiran.