Mesyuarat Ketiga Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2008
20 Oktober hingga 24 Oktober 2008 dan 28 Oktober hingga 29 Oktober 2008
101) PENGGABUNGAN SYARIKAT-SYARIKAT AIR
Tahun: 2008
Sesi: 3
Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam
Adun: Y.B. Puan Gan Pei Nei
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Dasar penswastaan keperluan asas rakyat seperti air, elektrik serta perubatan telah meningkatkan beban kehidupan rakyat. Kerajaan negeri Selangor telah mengambil inisiatif untuk menghakmilik negerikan bekalan air . Apakah status terkini proses penggabungan syarikat-syarikat yang terlibat dengan pengurusan air di Negeri Selangor?
Proses penggabungan atau penstrukturan semula syarikat-syarikat air di Negeri
Selangor masih di peringkat perundingan terma, syarat-syarat dan penawaran harga
oleh peneraju iaitu Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB).
Sehingga kini, Pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor telah mengadakan beberapa siri
perbincangan mengenai pelan penstrukturan semula, penilaian aset-aset bekalan air
dan semakan ke atas model kewangan yang bersesuaian.
Selain itu juga, Pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor telah menubuhkan satu panel
khas bagi membuat penilaian ke atas kos yang terlibat bagi tujuan penstrukturan semula
industri perkhidmatan air di negeri Selangor. Ahli-ahli panel yang menganggotai panel
khas ini terdiri daripada golongan profesional dari pelbagai bidang iaitu perundangan,
kewangan dan ahli perniagaan yang akan memberi nasihat kepada Pentadbiran
Kerajaan Negeri terutama dari segi kos yang terlibat. -
Bilakah proses penggabungan syarikat-syarikat terlibat dijangka akan disiapkan dan berapakah kos yang terlibat?
Proses penggabungan atau penstrukturan semula ini dijangka akan selesai
dilaksanakan pada penghujung tahun 2008 ini. Kos yang terlibat adalah bergantung
kepada pengauditan aset-aset bekalan air yang akan dijalankan oleh Pengurusan Aset
Air Berhad (PAAB) kelak. Siling harga yang telah ditetapkan oleh pihak Kerajaan adalah
sebanyak RM9 bilion bagi tujuan penstrukturan semula industri perkhidmatan air di
negeri Selangor. Namun begitu, kos ini masih belum muktamad dan masih dalam
peringkat perbincangan sehinggalah proses pengauditan selesai. -
Apakah langkah-langkah yang akan diambil oleh kerajaan bagi memastikan bahawa kadar harga air yang dikenakan adalah munasabah, pada masa yang sama tidak menjejaskan belanjawan Kerajaan Negeri.
Bagi memastikan kadar harga air yang munasabah, Kerajaan Negeri Selangor
mengambil pendekatan dengan menjadikan syarikat-syarikat air sebagai asset light
company bagi mengurangkan kos pembangunan dan penyelenggaraan aset-aset
bekalan air oleh syarikat-syarikat air ini. Selain itu, Kerajaan Negeri Selangor juga
menyarankan supaya syarikat-syarikat air beroperasi dengan mementingkan soal social
obligation selain daripada keuntungan semata-mata.
Selaras dengan penguatkuasaan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 dan Akta
Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara, bidang kawal selia perkhidmatan bekalan air
adalah terletak di dalam bidang kuasa Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).
Melalui penguatkuasaan akta ini segala bentuk kenaikan kadar harga air terawat adalah
berdasarkan kepada faktor ekonomi dan kualiti perkhidmatan. Sehubungan dengan itu,
SPAN akan sentiasa memantau kadar tarif air terawat bagi memastikan ia tidak
membebankan para pengguna.