Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

301) PENGECUALIAN CUKAI PINTU RUMAH KOS RENDAH, KAMPUNG TRADISI DAN BAGAN

Tahun: 2024

Sesi: 1

Isu: Kewangan & Ekonomi

Adun: Y.B. Tuan Muhaimin Harith Bin Abdullah Sani

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah status dan perincian semakan semula oleh Kerajaan Negeri untuk mengecualikan cukai pintu dalam tempoh tahun 2024 sehingga 2028 di seluruh Selangor?

    Pada tahun 2023, Kerajaan Negeri telah menilai dan membuat semakan semula keperluan pengecualian cukai taksiran sama ada perlu diteruskan, diberhentikan atau diberikan secara bersasar. Justeru, mulai 2024, Kerajaan Negeri telah bersetuju untuk meneruskan pengecualian cukai taksiran rumah kos rendah namun diberikan secara bersasar untuk kediaman kampung. Bagi tahun 2025 dan seterusnya, perkara ini akan dicadangkan untuk dibentangkan semula kepada pertimbangan Pihak Berkuasa Negeri dengan mengambil kira hasil pelaksanaan pengecualian cukai taksiran kediaman kampung secara bersasar ini.

  2. Adakah Kerajaan Negeri berhasrat untuk manaikan cukai pintu di seluruh Selangor dalam tempoh 4 tahun sehingga 2028?

    PBT Negeri Selangor sedang dalam proses penyediaan senarai nilaian baharu bagi tempoh menjelang tahun 2025 melainkan MPKj yang telah menaikkan cukai pintu mulai tahun 2024. Dalam proses ini, semua PBT sedang membuat penilaian semula ke atas semua pegangan milik PBT yang akan melibatkan cadangan kenaikan cukai taksiran. Ini adalah berikutan daripada hasrat untuk menilai semula kadar Tahun Aras Nilaian yang telah lama tidak disemak iaitu di antara tempoh 17 hingga 38 tahun. Tahun Aras Nilaian adalah merupakan tahun di mana sesuatu Nilai Tahunan atau Nilai Tambah itu dikuatkuasakan dan setiap PBT mempraktikkan Aras Nilai Tahunan yang berbeza dan tidak seragam.

    Proses ini juga adalah selaras dengan kehendak perundangan melalui seksyen 137(3) Akta Kerajaan Tempatan 1976 [Akta 171] yang menyatakan bahawa sesuatu Senarai Nilaian hendaklah disediakan dan disiapkan sekali tiap-tiap lima (5) tahun atau dalam tempoh yang dilanjutkan sebagaimana yang ditentukan oleh Pihak Berkuasa Negeri.

Lampiran

Tiada Lampiran.