Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2016

31 October - 4 November 2016 dan 7 November - 10 November 2016

173) PENGAWALAN PENCEMARAN SUNGAI

Tahun: 2016

Sesi: 3

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Puan Yeo Bee Yin

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan negeri untuk mengelak pencemaran sungai di Selangor?

    Juga menjawab pertanyaan-pertanyaan berikut;

    1. Pertanyaan Mulut Oleh Y.B. Tuan Ir. Hj. Mohd Haslin Bin Hassan berkenaan Kualiti Air – Soalan #128
    2. Pertanyaan Mulut Oleh Y.B. Datuk Seri Dr. Wan Azizah Binti Wan Ismail berkenaan Langkah Atasi Pencemaran Air – Soalan #198
    3. Pertanyaan Mulut Oleh Y.B. Pn. Haniza Binti Mohamed Talha berkenaan Keselamatan Sumber Air Selangor – Soalan #240
    4. Pertanyaan Mulut oleh Y.B. Tuan Ng Suee Lim berkenaan Isu Pencemaran Sungai Semenyih – Soalan #271

    Pelbagai usaha telah diambil untuk mengimbangkan pembangunan yang pesat dan penjagaan sumber air. Kerajaan Negeri melalui Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) telah mewartakan semua 7 empangan di Negeri Selangor di bawah Seksyen 48, Enakmen LUAS 1999. Selain itu, sejumlah 105 batang sungai kini turut telah melalui proses pewartaan di bawah peruntukan yang sama termasuklah Sungai Semenyih. Tujuan pewartaan ini adalah untuk melindungi sungai dan rizab sungai daripada gangguan kepada kuantiti, kualiti dan persekitarannya.

    Pemantauan berkala dilaksanakan oleh Lembaga bersama agensi berkaitan bagi memastikan sumber air dan kawasan tadahannya terpelihara daripada aspek kualiti dan kuantitinya.

    Penguatkuasaan bersepadu dan tindakan perundangan tegas turut sentiasa dilaksanakan antaranya siasatan, notis dan pengeluaran kompaun termasuk pendakwaan di mahkamah.

  2. Adakah kerajaan belajar dari insiden pencemaran pada tahun 2014 dan 2015 dalam mengawal pencemaran sungai? Jika ya, apakah perbezaan pendekatan dari tahun 2014 ke tahun 2016?

    Terdapat perbezaan bagi insiden pencemaran yang berlaku pada tahun 2016 berbanding insiden pencemaran pada tahun 2014 dan 2015 seperti berikut;

    TAHUN KES PENCEMARAN TINDAKAN
    2014 Peningkatan ammonia di dalam Sungai Langat disebabkan faktor pencairan yang rendah (kekurangan hujan) 1.      Operasi  Pengepaman Air Kolam Orang Asli bukit Tampoi

    2.      Penyaluran Air Mentah Pahang-Selangor

    3.      Operasi Pembenihan Awan di Kawasan Tadahan Empangan.

    4.      Pemantauan Bersepadu melalui JK Kecemasan Pencemaran Sumber Air

    2015 Penurunan    pH     dan                         peningkatan Mangan di Sungai Semenyih 1.  Siasatan dan semakan bersepadu                                     bagi mengenal pasti punca pencemaran.

    2.  Penguatkuasaan ke atas premis yang menjadi punca pencemaran.

    2016 Pencemaran bau di Sungai Semenyih 1.  Ops Statik di sungai utama dan beberapa anak sungai.

    2.  Penguatkuasaan ke atas premis yang menjadi punca pencemaran.

    3.  Kerja-kerja pembersihan dan pemulihan tapak

    punca pencemaran.

    Kes-kes pencemaran diberi perhatian dan tindakan segera supaya ianya tidak menjejaskan keperluan masyarakat. Jabatan-jabatan teknikal berkaitan sentiasa berusaha untuk menguatkuasakan perundangan mengikut bidang kuasa masing- masing dan tampil dengan kaedah-kaedah baru untuk mengelakkan kejadian pencemaran yang sama berulang serta meningkatkan kualiti sumber air negeri.

    Isu pencemaran sungai ini tidak terhad hanya di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri. Terdapat beberapa aktiviti yang boleh menyumbang kepada pencemaran sungai di mana pengawalan dan penguatkuasaannya adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan, seperti kumbahan dan efluen perindustrian yang dikawalselia di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS), 1974. Kerjasama dan tindakan responsif serta kebersamaan oleh setiap agensi terlibat (Negeri/Persekutuan) adalah sangat penting oleh kerana setiap aspek yang terlibat di dalam sesuatu insiden pencemaran berada di bawah bidang kuasa agensi yang berlainan yang perlu diselaraskan untuk menyelesaikan dan mengangani insiden tersebut. Setiap isu pencemaran yang melibatkan tindakan pelbagai agensi teknikal ini akan diselaraskan melalui pendekatan Pengurusan Lembangan Sungai Bersepadu (Integrated River Basin Management, IRBM).

     

Lampiran

Tiada Lampiran.