Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2011

11 Julai 2011 hingga 13 Julai 2011

138) PENGAUDITAN DALAMAN

Tahun: 2011

Sesi: 2

Isu: Pentadbiran

Adun: Y.B. Tuan Lee Kim Sin

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah keberkesanan audit dalaman di jabatan-jabatan dan PBT memandangkan juruaudit melapor kepada ketua jabatan.

    Secara pentadbiran, Ketua Unit Audit Dalam adalah bertanggungjawab terus kepada Ketua Jabatan untuk menjamin keberkesanan Unit Audit Dalam. Perkara ini termaktub dalam Pekeliling Perbendaharaan Bilangan 9 Tahun 2004 – Pelaksanaan Audit Dalam Kementerian/Jabatan Persekutuan dan Kerajaan Negeri. Semua aktiviti dan rancangan audit diluluskan oleh Ketua Jabatan. Surat pemerhatian audit akan dikemukakan terus kepada auditi dengan salinan kepada Ketua Jabatan.

    Sebelum Rancangan Audit Tahunan diluluskan secara rasmi oleh Ketua Jabatan, Juruaudit Dalaman hendaklah membentangkan rancangan tersebut dalam mesyuarat Jawatankuasa Audit (JKA) untuk persetujuan. hasil pengauditan yang telah dilaksanakan akan dibentangkan di mesyuarat JKA, dibincangkan dan diteliti secara terperinci bagi memastikan tindakan susulan dan pemantauan yang berkesan dapat diambil.

    JKA  diperingkat kerajaan negeri Selangor dan agensi telah ditubuhkan bertujuan untuk :-

    • membincangkan isu-isu yang dibangkitkan oleh Unit Audit Dalam atau Jabatan Audit Negara
    • Memastikan tindakan pencegahan dan pembetulan diambil oleh pihak pengurusan supaya kelemahan-kelemahan berkaitan dapat diperbetulkan dan tidak berulang.

    Setiap Jabatan/Agensi juga dikehendaki menubuhkan Jawatankuasa Pengurusan Kewangan dan Akaun (JPKA) dan mesyuarat yang perlu diadakan sekurang-kuranya 3 bulan sekali (4 kali setahun). Ahli-ahli jawatankuasa adalah terdiri dari semua Ketuaketua Bahagian/Unit. Mesyuarat ini diadakan bertujuan untuk mengawasi, memantau dan menyelia semua urusan kewangan agar berjalan lancar dan menepati peraturan yang ditetapkan yang mana antara perkara yang perlu dibincangkan dalam mesyuarat ialah teguran-teguran daripada Jabatan Audit Negara dan Bahagian Audit Dalam.

    Sehubungan dengan ulasan di atas, walaupun Juruaudit Dalaman melapor terus kepada Ketua Jabatan, pengauditan yang dilaksanakan adalah bebas dan tidak dipengaruhi oleh Ketua Jabatan.

  2. Adakah kerajaan mempertimbangkan perjawatan juru audit setiap jabatan dipertanggungjawabkan oleh jabatan Audit Dalam Negeri?

    Tidak

  3. Apakah keberkesanan jawatankuasa audit dan pengurusan korporat di setiap PBT?

    Di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Jawatankuasa Audit dan Pengurusan Korporat (JKAPK) ditubuhkan untuk menjalankan peranan sebagai satu badan bebas bagi memastikan wujud sistem ‘check & balance’ dalam pengurusan kewangan dan pengurusan korporat. JKPAK merupakan komponen penting dalam memastikan akauntabiliti dan pengurusan korporat yang efektif. setiap JKAKP dianggotai oleh sekurang-kurangnya 5 orang Ahli Majlis bukan eksekutif yang dipilih dalam Mesyuarat Penuh Majlis. Jawatankuasa tersebut akan melantik seorang pengerusi di kalangan mereka dan Unit Audit Dalam akan bertindak sebagai urus setia.

    JKAPK bermesyuarat sekurang-kurangnya 3 kali setahun yang mana isu-isu yang berbangkit daripada penemuan audit dibentangkan dan dibincangkan dalam mesyuarat tersebut. Mesyuarat juga akan memastikan kelemahan/masalah yang berbangkit diambil tindakan dan diselesaikan serta memastikan kelemahan yang sama tidak berulang. Auditi juga akan dipanggil untuk menjawab teguran Audit dalam mesyuarat tersebut. Seterusnya isu-isu yang dibincangkan dalam mesyuarat JKAPK akan dibentangkan dalam Mesyuarat Penuh Majlis pada setiap suku tahun.

    Di PBT, JKAPK telah memainkan peranan secara aktif melalui mesyuarat yang dilaksanakan secara kerap. Kekerapan mesyuarat adalah seperti berikut :-

    Bil. Pihak Berkuasa Tempatan Kekerapan Mesyuarat
    2011 (Setakat Jun) 2010
    1 Majlis Bandar Raya Shah Alam 5 11
    2 Majlis Bandaraya Petaling Jaya 6 11
    3 Majlis Perbandaran Subang Jaya 5 6
    4 Majlis Perbandaran Klang 2 4
    5 Majlis Perbandaran Ampang Jaya 3 7
    6 Majlis Perbandaran Selayang 1 5
    7 Majlis Perbandaran Kajang 3 8
    8 Majlis Perbandaran Sepang 2 3
    9 Majlis Daerah Hulu Selangor 4 4
    10 Majlis Daerah Kuala Langat 3 3
    11 Majlis Daerah Kuala Selangor 4 5
    12 Majlis Daerah Sabak Bernam 2 3

Lampiran

Tiada Lampiran.